my best friend forever

iklan nuff

Sila godek

Nasi Goreng Kampung

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Apa nak cerita ni? Cuti sekolah tak balik semenanjung jadi tak banyak benda yang aku dapat kongsikan. Balik-balik tulis pasal sarapan, makan apa, buat apa........ahhh...bosannya.

Malam tadi kami makan chicken chop lagi. Kebetulan adik ipar ku ada di sini sebelum pulang ke Pantai Timur (cikgu juga) Meriah la sikit rumah ni bila ada tetamu seorang dua. Hampir habis ayam seekor. Tinggal sekeping bahagian dada, takde orang nak. Sebab aku buat mashed potato, coleslaw, kentang goreng dan sos perang. Kalau makan kat luar untuk empat orang, dah berapa tu?

Pasal makan lagi? nak buat macam mana, dah nasib surirumah macam aku ni. Kalau bergaji besar macam kawan-kawan blogger yang boleh pergi luar negeri, boleh la aku stroy lain dari yang lain. Apa-apa pun aku tak kesah dan bersyukur dengan apa yang aku miliki. Masa bujang dulu pun aku dah puas kesana kemari bersuka ria.

Ok, pagi ni kami sarapan nasi goreng kampung je. Walaupun simple, sedap dan bertambah2 aku makan. Apa taknya, semalam kami tak makan nasi. Tengahari tu, aku buat mi bandung. Jadi, celik mata je pagi ni perut dah berkeroncong minta di isi.


Nasi goreng ni style aku sendiri....

5/6 biji cili padi (yang tak pedas sgt tu, orang kata cili akar)
3/4 ulas bawang merah kecil
sedikit belacan
segenggam ikan bilis
sayur-sayuran (biasa orang suka kangkong tapi aku gunakan sawi manis)
kalau ada carrot pun boleh (tapi tak 'kampong' la pulak ye?)

Biasanya kalau nasi goreng aku lebih suka cili padi, bawang dan belacan di tumbuk (bukan kisar dgn mesin ye).
Ikan bilis digoreng dan ketepikan dulu.
Tumis bahan tumbuk tadi sehingga naik bau, masukkan nasi putih.
Kemudian masukkan ikan bilis dan sayur2an. Kalau suka nak letak telor, boleh juga.
Tambah garam dan serbuk perasa (biasanya garam dan aji di masukkan ketika menumis)
Dah siap nasi goreng ku, pedas dan 'kampong la sangat'.......hehe....

video 'Marilah' yang mengghairahkan!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Aku baru nak komen pasal video Prema Yin yang mengghairahkan di youtube. Rupanya Abg Nara kita dah buat entry tentang video yang di arahkan oleh Gambit Saifullah dan Umair Mohamed. Aku memang minat dengan Gambit ni (minat lakonan je tau, bukan minat rupa) Tapi bila tengok hasil kerja yang tak melambangkan cara hidup rakyat Malaysia, rasa kecewa juga.

Pelakon lelakinya pula si Shah Jezle (sorry la kalau salah eja nama dia ni, aku memang tak berapa nak ambil tau sangat pasal mamat ni) Mungkin Gambit tu rakan seperjuangan dia, jadi dia terima bulat2 apa yang di arahkan, agaknya la..........tak sesuai la video macam ni.......seolah2 nak suruh orang 'berxxxx' je? Tak boleh salahkan penonton kalau berfikiran negatif sebab sah-sah jalan ceritanya agak lucah.

Siapa2 nak tengok, boleh pergi blog beautiful nara. Lepas tu fikir-fikirkanlah, sesuai tak ditonton oleh mak bapak kita? Mau tutup muka rasanya!!


nota aku: apalah nak jadi dengan artis kita ye? dah AMERIKA sangat tu....

Selamat Bercuti dan soalan jam solar pula...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Selamat bercuti kepada semua guru-guru dan mereka yang masih bersekolah atau sesiapa saja yang menghabiskan cuti tahunan di musim cuti sekolah selama dua minggu ini. Pasti ramai yang balik kampung kan? Anak ku juga merungut kerana kali ni kami tak pulang ke semenanjung. Katanya, kawan-kawan semua ada kampung, kenapa kita tak balik macam mereka?

Aku jelaskan, kalau dia nak balik sorang, ayah boleh belikan tiket. Nak ke? Dia geleng kepala. Aku jelaskan lagi, kalau balik sana, takde kawan nak main bola. Baru dia ceria sikit. Hehe......budak-budak ni kalau pasal main bola, memang dia sanggup tak jalan ke mana-mana.

Semalam (waktu malam) dia tanya ku lagi, ibu tau tak nak buat jam solar. Aku jawab dengan bangga, alah....senang je tu.....letak je jam kat tengah matahari, jadi la jam solar. Salah tu! Dah tu macamana pulak, kan jam solar kena pancaran matahari? Sebenarnya aku tahu juga sikit2 pasal solar ni........saje je nak tau jawapan dia.

Anak ku pun beri penerangan, dah macam cikgu sekolah malam pulak. Katanya, ibu ambil sekeping kadbod, letakkan ditengah cahaya matahari. Pacakkan diatasnya dengan pensil atau apa2 saje, kayu, chopstik dll. Buatkan garisan berpalang seperti jam dan bila bayang terbentuk di sebelah pensil itu, menandakan pukul berapa waktu itu. Oh gitu......(walaupun sebenarnya aku dah tau tapi ku angguk-anggukkan juga kepala seolah-olah aku baru tau)

Kanak-kanak ni kalau dia nak bercakap, kita kena layan. Kalau tak nanti dia frust, parent tak ambil tau apa yang dia pelajari dan minati. Lebih2 lagi anak ku, suka sangat tengok program TVIQ, lepas tu terus nak buat eksperimen kat dapur. Semalam dia minta garam dan ais. Kalau setakat eksperimen yang tak gunakan bahan tajam, aku biarkan saja.

Ok la......aktiviti kami cuti ni memang area rumah je. Mungkin akan pergi juga mandi manda sekitar KK. Tak kisah la dimana pun berada, kami akan cuba ceriakan hidup kami selama dua minggu ni dengan pelbagai cara yang menjimatkan perbelanjaan.

Segmen : Cenderahati Dari PCL n MamaDiana

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

PCL dan Mamadiana nak bagi cenderhati, aku nak join la......senang je...aku pun dah masak pagi tadi. Boleh ngadap komputer kejap.


PCL dan Mama Diana, akak suka entry ni....http://villakejora.blogspot.com/2011/05/supprise-dan-tauladan.html sebab ada lucu, suspen dan pengajaran.

Itu saja, senang kan? Agak2 apa cenderhati yang nak diberi tu? Siapa2 nak join, boleh la klik blog mereka sebab mereka berdua ni peramah orangnya...hehe....ayat macam bodek je kan...

Blog menghina Islam dalam BH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Pagi ni aku tengok tv3, berita tentang blog yang menghina Islam telah diadukan pada pihak berwajib. Aku harap sangat orang yang bertanggung jawab tu dapat di tangkap dan kenakan hukuman yang setimpal. Suka suki je nak menghina agama kita. Kita tunggu je selepas ni kesudahannya. Aku tolong copy paste kat sini.....

NGO buat aduan blog hina Islam, Rasulullah
Oleh Roselan Ab Malek
bhnews@bharian.com
2011/05/27

Penulis papar gambar babi, jerung atas Kaabah

JERANTUT: Sebanyak 15 badan bukan kerajaan (NGO) daerah ini yang mewakili kira-kira 10,000 ahlinya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, kelmarin, berhubung kenyataan dalam laman blog yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Antara NGO yang membuat laporan polis pada jam 6.50 petang itu termasuk Majlis Belia Daerah, Belia 4B, Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Rakan Muda, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Pemuda UMNO, UMNO Bahagian dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Bekas Ketua Kampung (PEBAKA).
Wakil NGO berkenaan, Mohd Faiz Mohd Mahayuddin, berkata laporan polis itu dibuat kerana tindakan penulis blog itu melampau kerana menghina agama Islam dengan memaparkan gambar seekor jerung dan babi di atas Kaabah.

“Banyak gambar dipaparkan itu menghina umat Islam, mempermainkan ayat al-Quran dan kata-kata mencerca Allah serta Nabi Muhammad SAW,” katanya, kelmarin.

Beliau mendakwa, entri blog itu dikesan sejak 6 Mei lalu menggunakan nama Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara atau makciksittalwuzara99.wordpress.com dengan mengeluarkan pelbagai kata-kata mengguris hati umat Islam.

Beliau berkata, sebuah akaun laman sosial Facebook turut dikesan menggunakan profil ‘Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara’.
“Kami mendesak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menyiasat lebih lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik blog berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Adzland Zakaria daripada PERKASA berkata, tindakan penulis blog berkenaan biadap kerana memburukkan agama Islam sesuka hati walaupun penulis itu mengaku beragama Islam.

“Walaupun ia menggunakan gambar teknik pertindihan, ia amat menyedihkan bagi umat Islam dan wajar disekat penyebarannya, malah laman blog itu masih boleh diakses sehingga petang kelmarin,” katanya.

Mohd Faizal Jamlos dari Majlis Belia Daerah pula berkata, mereka juga akan menghantar memorandum kepada SKMM untuk mengesan pemilik blog berkenaan.

nota aku: nak tengok dia update apa kat twitter dia, masih berlagak lagi ke?

Mengapa ada manusia seperti ini?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Malam tadi ketika aku melayari forum http://www.cari.com.my/, rasa nak gugur jantung ni dengan kesengalan satu makhluk, mengutuk, mengeji dan menghina agama suci kita. Ada twitter pulak tu, sakitnya hati kalau baca dia punya status. Memang la takde kena mengena dengan aku tapi.........kenyataan dia yang keterlaluan. Baca la sendiri kat ...sini

Kebetulan, hari ni hari 'sentap' aku. Kecil hati, sedih, rasa macam ditikam hati ini. Patut la orang kata, ucapan yang keluar dari bibir, lebih berbisa dari mata pedang. Aku rela luka berdarah daripada menerima kata-kata yang memedihkan hati dan seluruh tubuh ku.

Apa-apa pun yang 'orang' kata pada ku, aku terima. Aku tak mampu nak balas kerana aku menghormati 'orang' itu sebagai saudara ku yang 'terhormat' dan 'dihormati' selama ini. Aku berterima kasih kerana selama ini 'dia' banyak bertolak ansur, menolong walau tanpa kami pinta dan harapan ku semoga pertolongan itu dengan niat yang 'ikhlas'. Sekiranya di ungkit-ungkit, hilanglah semua pahala itu. Kan sayang?

Aku dan suami bukanlah jenis yang lupa budi orang pada kami. Sampai mati kami akan sebut dan hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.

Maaf sekiranya sms dan panggilan talipon tidak berjawab. Kerana itu saja cara ku untuk meredakan perasaan yang pilu ini. Aku tidak mahu bermusuhan, tidak mahu marah berpanjangan. Biarkan aku sendirian untuk seketika.

Organ paling besar dalam tubuh

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Sambung cerita malam tadi, ibu dan anak dalam bilik tidur. Ayahnya tusyen satu jam kat ruang tamu. Lepas tengok drama Nora Elena (masa ni berebut tv, ayahnya Cinta Melody, anaknya One Piece dan ibu Nora Elena), aku dan anak lepak2 atas katil sementara tunggu isyak.

Minggu ni minggu peperiksaan sekolah anak ku. Tapi aku tengok dia relax je. Biasanya aku dan hubby akan 'push' dia belajar dua minggu sebelum periksa. Jadi bila tiba minggu peperiksaan, dia cuma ulang kaji serba sedikit.

Kat atas katil, soalan dari mulut anak ku. Kalau ibu pandai, jawab soalan ni. Dalam tubuh badan manusia, organ apakah paling besar peratusnya. Aku jawab hentam keromo, perut, otak, lemak dan bla..bla...Semua jawapan ku salah. Dia tanya lagi, nak mengalah ke tak?

Biasalah, ibu mana boleh kalah dengan anak kan? Ego pulak tu.......sambil mata kat tv, otak ni berfikir2, semua aku dah sebut tapi masih salah. Anak ku kata, mengalah je la bu.......(agaknya dia pun malas nak tunggu jawapan dari ku sebab aku macam nak taknak je menjawab)

Tidak, ibu takkan mengalah walaupun sampai esok pagi, kata ku. Hahaha.....anak ku gelak, masih taknak mengalah tu.....katanya. Ibu tak kira, ibu takkan mengalah walaupun sampai dua tiga hari mencari jawapannya. Saje aku menyakat. Sebenarnya aku pun malas nak mencari jawapannya.

Ada ke diantara kita ni yang masih belum tahu? Atau taknak ambil tahu? Atau buat-buat tahu (macam aku).
Kalau ada masa lapang, boleh baca di SINI


nota aku: anak ku memang suka kongsi pengetahuan dengan ibu dia..
tau jawapannya? KULIT daaa....

Dia kanser, aku 'cyst'

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Malam ni aku ditinggal dua beranak sebab hubby keluar main bowling. Ish...iye ke main bowling? Tak dengar pun dari balik sekolah ada game malam ni, tetiba kawan dia ajak keluar nak belanja. Betul ke awak ni? Aku tanya dalam gurauan. Iye la.....ada orang belanja sebab nak pindah sekolah. Ok la.....selamat bergumbira ku ucapkan pada hubby ku.

Tadi mata ku ngantok sangat, apa taknya? Pukul 4.30 pagi mata ku dah terjegil tak boleh sambung tidur. Fikir nak buat sarapan untuk anak nak ke sekolah. Gitulah orang perempuan, surirumah pulak tu........

Semalam aku tengok tv rancangan Anita Sarawak (dah lama rancangan tu). Saje layan sebab dah takde cerita menarik petang tu. Astro kat rumah ni cuma pakej mini dan sport je. Apa yang aku nak sentuh ni bukan pasal astro aku tu. Tapi tentang professor perempuan tu yang mengidap kanser payudara. Sebak aku lihat ketika dia cerita tentang kematian adiknya yang penghidap kanser juga.

Kata professor tu dia seorang yang sihat, selalu bersenam dan jaga pemakanannya. Kenapa dia yang disahkan mengidap kanser. Mulanya ada ketulan dipayudara tapi tak sakit. Bila dia pergi buat mamogram, doktor sahkan dan ketika itu dia rasa dunia ni gelap gelita, nak turun dari katil pun tak nampak kasut kat mana.

Aku teringat diri ku sendiri yang dulu memang ada 'cyst' (benjolan) di bahgian bawah lengan kiri. Pernah buat mamogram dan doktor kata jangan bimbang, cyst tak sama dengan cancer. Sebenarnya aku dulu mengidap Endometriosis dan telah pun dibedah beberapa tahun yang lalu. Seksa dibedah tu buat aku serik. Setiap bulan bertunggu tangga kat hospital Putrajaya.

Apa yang aku tahu, kata doktor 'cyst' tidak merbahaya. Walaupun begitu aku tetap bimbang dengan keberadaannya di bawah lengan ku. Setiap malam aku urut dengan losyen halia. Orang-orang tua dulu kata, kelenjar.
Sebenarnya airmata ku menitis juga ketika melihat pesakit2 seperti dalam tv meluahkan perasaan mereka seolah aku yang menderita. Sebak mereka, sebak jugalah aku. Kekadang air mata dia orang tak jatuh, air mata ku pula yang berjurai.  Hehe....aku memang sensitif, tengok Diari Af pun aku nangis.....

terputus sementara

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Dua hari line broadband terputus, kerana apa? Belum bayar le jawabnya. Macam serba tak kena je kalau tak dapat internet. Sebab segala-galanya dihujung jari setiap hari aku, disitulah blog aku, nak baca berita, facebook, twitter dan segalanya.

Jadi, aktiviti ku sementara internet terputus, hanya melayan kraf felt ku. Kata hubby, bagus juga takde internet ni. Aku tanya, kenapa pulak? Iyelah.....tekun sikit awak mengadap felt tu, kalau tak sekejap buat, sekejap tinggal.

Betul juga cakap dia. Tapi bosan tau kalau tak dapat berinternet ni. Macam bodoh je rasa seharian tu. Alhamdulillah, dah ok ni, takde la aku sunyi sangat. Boleh buka youtube, tengok cara-cara omputih buat berbagai-bagai bentuk rekaan dari kain felt.

Sebenarnya ada benda yang aku nak kongsikan semalam tapi sebab terputus internet, aku sambung lain kali je la ye. Tentang cancer payudara yang aku tengok semalam di tv. Rasa tersentuh pula hati ni........

Sarapan apa?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Pagi ni kami sarapan rojak simple. Takde tauhu, takde timun atau sengkuang. Buat mana yang ada je.....


Sedap juga ni.....

Main Scrabble

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Petang ni nampak kepulan awan hitam dikawasan rumah kami, besar kemungkinan malam nanti hujan agaknya. Harap-harap begitulah sebab cuaca panas terik hari ini. Semua serba tak kena. Ais dalam peti asyik kontang je........buat, habis....buat lagi....habis! Ingat nak kurangkan minum ais tapi tak boleh tahan de!!

Aktiviti seharian ni hanya berkurung dalam rumah. Keluar kejap pun cuma beli aiskrim. Nak ke shopping complex, fulus kering. Sekali keluar mau puluh-puluh ringgit juga. Baik lepak kat rumah sambil main Scrabble. Dah lama benda ni terperap dalam bilik.

Hari ni 'chef' tak masak tengahari sebab tadi pagi dah masak nasi lemak. Malam nanti makan apa yang ada je......
Best pulak main scrabble ni, boleh ngelat-ngelat.......hendaknya main dengan anak, kena sakat je dia...Ayah dia siap buka kamus lagi, berusaha cari, taknak kalah dengan anaknya. Anak aku ni kalau main permainan yang macam ni memang dia malas. Biasalah budak-budak, suka game yang boleh lari sana, lari sini.

Kadang kala mainan begini pun boleh jadi gadoh (gadoh2 sayang gitu). Sampai buka google translate, ada kamus taknak guna, malas nak cari, alasannya 'tulisan kecik sangat'.....hehe.....

Pie Inti Kentang dan daging

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Minta maaf la pada mereka yang datang ke blog aku ni tadi. Baru aku perasan rupanya entry pulut panggang tadi ada gambar yang tak dibuang. Itu la.....nak cepat punya pasal. Broadband pun kejap ok, kejap putus. Sakit hati nak upload gambar.

Malam ni aku sempat buat pie inti kentang dan daging. Buat pun nak cepat, rasa tak sedap badan pula. Resipi asalnya dari Bro Rozzan tapi banyak bahan yang aku takde, malas nak fikir, buat je la.........bukan sape yang nak makan, sendiri makan!

Untuk intinya:

2 biji kentang potong dadu dan rebus
1 batang carrot potong dadu dan rebua
Daging di cincang/potong kecil-kecil (ni aku rebus dulu)
1 biji bawang besar potong dadu
Lada hitam/lada putih
Gula dan garam
1 1/2 sudu makan tepung jagung larutkan dengan sedikit air
Minyak untuk menumis

Tumiskan bawang dan masukkan kentang, carrot, daging, lada hitam, garam dan gula.
Kemudian setelah rata, masukkan air tepung jagung tadi. (Bro Rozzan letak cendawan dlm tin, kacang peas dan macam2 lagi sayur)

Pastrinya aku gunakan resipi cheese tart. Tak taulah kena ke tak tapi hubby ku makan respon dia 'ok'. Baru letak sebiji dalam pinggan untuk di foto, dah lesap kena kebas sidia.

Testing bakar sebiji dulu. Baru lepas snap gambar, dah kena ngap!!

Masih berasap lagi, tak kira........nak makan jugak.....


Aku guna acuan ni, janji boleh bakar dan boleh keluar dari mangkuknya dengan tak pecah langsung. Tak cantik kan? Nak cepat tadi sebab aku tak suka duduk kat dapur malam-malam. Cuaca panas sangat. Dah mandi pun serupa tak mandi......


Ok la, maaf kalau resipi tak menarik hati. Apa yang penting hajat dah tercapai walaupun tak sempurna macam kawan-kawan blogger yang terror memasak. Aku cuma surirumah biasa yang tak pernah berkursus masakan dimana-mana. Hanya dengan minat dan kesungguhan yang aku ada. Setakat ni alhamdulillah, semua yang ku buat agak memuaskan hati. Di sokong pula oleh suami yang di kasihi.

Pulut Panggang inti serunding daging

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Hari ni hubby ada potluck lagi.......(sejak dua menjak ni asyik potluck je, cikgu tukar sekolah, sambutan hari guru dll). Kali ni 'bertema' la pulak, tradisional katanya. Kena masak kuih atau lauk pauk tradisional. Mula-mula ingat nak masak asam pedas ikan pari. Tapi malas pulak nak ke pasar besar. Seminggu entah berapa kali aku meround kat sana, naik jemu pun ada. Ikan takde juga yang murah. Aku rasa ikan yang boleh tahan murah adalah ikan kerisi dan kembung mata besar. Udang, sotong harga maintain je...

Panjang pulak membebel ye? Nak kongsi gambar aku buat pulut panggang tadi. Ni resipi sendiri-sendiri ye! Sempat talipon kakak tanya nak masak pulut guna santan ke tak......hehe....tak konfiden nak buat tu sebab dah lama tak buat.

Pulut Panggang dalam 500 gm kot. Aku  lupa nak timbang tadi. Lebih kurang muat dalam loyang ukuran 8 inci. Rendam dulu. Satu setengah cawan santan dan kukus bersama pulut. Letak sedikit garam.
Kalau ada adik2 yang tak kenal rupa pulut, tu la dia........tak mungkin tak kenal kan? tapi ada juga aku rasa yang tak tau beza beras pulut dengan beras biasa. Iyelah, kalau tak pernah kedapur, mana nak kenal kan?


Ni pula serunding daging yang kami beli ketika di Kelantan dulu. Walaupun dah berbulan, masih elok. Serunding ni sedap dimakan dengan nasi impit atau pulut. Disebabkan ada banyak, aku tak buat la inti kelapa untuk pulut panggang. Baik guna mana yang ada ni, tak la membazir.

 Bab mengisi pulut dalam daun pisang ni yang aku tak suka. Leceh......tu yang jarang nak buat.



Dah siap balut daun dan bakar atas kuali leper. Haaa.....masa ni boleh tinggal2, kejap pergi kat komputer, kejap pergi layan tv........hehe.....yang ni jangan tiru ye, perangai tak elok kalau buat kerja dapur sambil layan tv boleh mengundang bahaya. Silap-silap kuih tu hitam legam dek lupa.

Dah siap sepinggan penuh (gambar tu tak cukup penuh) untuk dibawa kesekolah. Harap-harap cikgu semua suka.



nota aku: seksanya hari ni nak upload gambar!!

Pau Goreng

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Aku suka sangat kuih ni. Kalau balik Selangor, nampak orang jual kuih ni, wajib aku beli. Iyelah, tak pandai buat, terpaksa suka orang buat. Tapi kali ni aku buat sendiri, macam tak percaya je, punyalah sedap. Dapat dalam 14 biji (besar2 tu) aku goreng setengah masak untuk frozenkan. Sebiji aku ngap, dah malam-malam tak boleh makan banyak. Tadi dah makan nasi.

Resipi ni aku ambil drp blog Kehidupanku Suatu Anugerah, terima kasih ye......

  • 410 gm tepung gandum (aku guna tepung pau)
  • 280 ml air
  • 4 sudu kecil dry yeast
  • 4 sudu besar butter
  • 5 sudu besar gula halus
  • 1/2 sudu kecil garam

Inti kacang merah ku tak ikut resipi Puan Rokiah. Aku buat sendiri. Rebus kacang buah pinggang. Bila dah lembut, aku blend dan masak dengan air gula melaka campur gula putih. Letak paste pandan sikit.

Cara-cara menguli doh pau seperti biasa. Aku tak salin drp blog Puan Rokiah, biasalah aku ni........ikut sedap tangan ku aje.

Aku gaul gula halus, butter dan garam bersama tepung. Dry yeast aku campur dengan air. Dah rata bancuhan tepung tadi, boleh masukkan air dan uli lagi hingga lembut. Kemudian aku tak tunggu doh naik. Terus kepalkan sebesar genggaman tangan dan isikan inti kacang merah.

Aku biarkan doh hingga kembang, baru digoreng hingga warna keemasan. Tapi tadi aku goreng setengah masak sebab nak frozenkan. Esok2 nak makan tinggal goreng je.

Puas hati aku sebab dapat makan kuih ni dari air tangan ku sendiri. Selalu beli kat gerai, nipis je orang buat. Bila sejuk, pau jadi leper. Tapi pau ni tak gitu, rangup dan lembut je.......

 Pau digoreng setengah masak...
 Potong sebiji sebab nak makan (walaupun perut kata taknak....taknak....tekak kata, nak jugak!)
Pau ku naik gebu dan licin........tengok macam ni pun aku dah agak, mesti jadi punya......


Terima kasih pada orang yang mencipta resipi-resipi yang aku ambil. Aku ni pandai meniru je, tak pandai mereka.

Sos Perang atau sos lada hitam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...


Sos perang ni aku ambil dari blog PotretKasih juga. Buat sekali dengan chicken chop hari tu tapi lupa nak letak kat blog. Ada kawan kat fb tanya, baru aku teringat. Gambar tak menarik sebab malas nak edit. Leceh la......

Resipi ni aku tak copy paste dan aku salin secara ringkas. Ikut fahaman ku.

  • 1 labu bawang besar (potong dadu)
  • 1 sudu besar mentega
  • 2 sudu besar tepung gandum (ayak dulu)
  • 1 liter air
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar kicap
  • 1 sudu makan sos tomato/cili
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 1/2 kiub perasa ayam/daging
  • garam

Caranya:
Panaskan mentega dan tumis bawang besar.
Tepung gandum dilarutkan dalam air, campur dalam periok.
Campur semua bahan dan kacau hingga pekat atas api.

Suami ku seorang GURU

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Terlebih dulu aku nak ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di Malaysia ni. Biasalah kan........mesti banyak sekolah buat persembahan sempena hari guru dan cikgu-cikgu pula berbungkus-bungkus dapat hadiah.

Semenjak hubby ku pindah sekolah di Sabah ni, dah takde hadiah seperti dulu. Sebabnya anak-anak murid dia sekarang ni boleh dikatakan kurang berkemampuan. Tak kisah la......aku tau, dia tak mengharapkan apa-apa dari anak-anak muridnya.

Cuma dia selalu cerita pada ku, dia gembira dengan perubahan yang berlaku pada anak muridnya. Kalau dulu mereka yang perempuan tak pakai tudung, sekarang dah ramai pakai. Hubby ku pula memang suka dengan budak-budak. Pernah dia minta tudung ku yang masih elok untuk diberi pada seorang anak muridnya yang hanya memakai topi kesekolah. Aku tanya kenapa dia pakai topi? Rupanya rambutnya sikit sangat, hampir botak. Jadi hubby cadangkan dia pakai tudung agar nampak lebih manis tapi agaknya dia tak mampu nak beli. Kesian kan?

Terbaru ni hubby kata, anak-anak murid dia selalu ajak sembahyang di surau. Mereka selalu sembahyang bersama masa zohor dan asar. Masalahnya kata hubby ku, lepas sembahyang tu........kejap-kejap anak murid datang jumpa dia, ajak sembahyang lagi. Awak dah sembahyang tadi kan? hehehe......sengih je bila hubby ku tegur.

Bagusnya mereka tu kata hubby ku, suka bertanya soal-soal agama seperti ambil air sembahyang dan lain2. Bersungguh-sungguh nak belajar yang buat hubby ku respect sangat bebudak tu. Mungkin di rumah kurang perhatian dalam soal ni.

Walaupun hubby ku garang dengan anak murid, mereka tetap suka dan sayangkan dia. Sebab dia akan garang dan tegas masa mengajar. Tapi diluar dari masa tu, dia suka melayan budak-budak dan perihatin dengan pembelajaran mereka. Kalau tengok beg sekolah anak murid dia koyak, balik rumah je dia cari beg anak dia yang masih elok untuk disedekahkan pada budak tu. Masalahnya yang lain pula cemburu.

Pernah sekali kami berikan baju-baju melayu yang anak ku tak boleh pakai pada seorang anak murid dia. Baju-baju tu memang nampak baru sebab anak ku ni kalau baju tempah, memang dua tiga bulan je boleh pakai. Lepas tu........tengok je la tergantong dalam almari! Bila sorang dapat baju tu.........yang lain pun nak juga. Jadi, lepas ni kalau nak bagi tak boleh tunjuk depan mereka. Kesian pula yang lain-lain tu.......

Walaupun hubby ku seronok dengan tugas sebagai guru, ada juga yang buat dia angin. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekolah yang agak daif, takde letrik, lantai berlubang dan bermacam-macam lagi. Baru-baru ni aku dengar ada 'menteri' datang. Kalau dah tengok dengan mata kepala sendiri tapi masih takde perubahan, tak taulah apa nak jadi. Baik letak jawatan dan jadi cikgu macam laki aku!!

nota aku: opppsss....i'm sorry!!

Mat Rempit kena baling telor...haha...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Petang tadi kami bertiga keluar cari barang keperluan ku. Sebelum tu layan anak makan di McD. Dia sorang je makannya, aku dan hubby makan kat rumah. Bosan kalau selalu sangat makan burger.

Waktu pulang dalam kereta, ntah macam mana, fikiran ku teringat kat arwah adik ku. Masa tu kami menetap di rumah kedai. Sekitar kawasan rumah kedai tu memang selalu ada sorang budak yang masih bersekolah bawa motor laju sangat. Kalau kat jalan besar, lantak la.......ni kat kawasan taman perumahan. Berbulu mata adik dan abang ku menengoknya.

Dia pulak lalu lalang depan kedai kami satu hari entah berapa kali. Agaknya mak bapak takde kat rumah, dapat kunci motor, apa lagi? Pecut le kan?

Sehari dua arwah adik ku tengok, boleh sabar lagi. Kalau dah setiap hari nampak dan mengganggu ketenteraman mata jiran-jiran? Hati pun sakit........

Satu petang tu.........arwah adik ku dah target nak baling telor kalau dia lalu. Kami adik beradik ingatkan dia main-main. Lagi pun, mesti susah nak kena sebab dia bawa motor laju.

Entah bagaimana, agaknya tangan adik aku tu bertuah kot..........balingan dia mengena betul-betul kat kepala budak tu. Aku dan adik beradik lain macam tak percaya sambil gelak sakan kita orang dibuatnya. Kesian pun ada juga......hehe....mesti dia taknak lagi lalu lepas ni.

Memang betul, esok lusa takde dengar ngauman motor dia. Peristiwa tu aku cerita kat anak ku, terguling-guling dia gelak kat belakang kereta. Kalau ku ingat balik, memang lucu sangat. Arwah adik ku dulu agak nakal juga orangnya. Sekarang peristiwa tu tinggal kenangan bersama arwah yang telah pergi.

nota aku: harap2 anak ku tak jadi mat rempit satu hari nanti.....

CUTE CHIHUAHUA

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Fuhh.....blogspot semalam bermasalah kan? Naik boring nak mencuba sign-in. Celik mata pagi ni, lepas sembahyang subuh, terus 'terkam' komputer. Sarapan pun belum fikir nak buat apa. Biarlah che hubby tunggu.......

Nak tayang kraf felt yang aku baru siapkan semalam.

Sebenarnya telinga dia tu colour putih tapi saje ku tukar pink. Anak ku komplen, tak cantik.........aduh, ibu baru nak cuba-cuba mahirkan jari ni dengan menjahit. Dah lama tak buat kerja macam ni.

Sebenarnya banyak bahan yang tak lengkap dalam simpanan ku. Kat sini tak macam di semenanjung. Susah sikit nak cari. Kedai yang ada buka lewat, tutup awal. Nampaknya aku kena order online. Semalam aku dah isi form tapi dah habis stock pulak. Takpelah lambat sikit, bukannya aku nak kemana-mana pun.

nota aku: kalau nampak tuan punya blog jarang blog walking, tu tandanya dia khusyuk dengan kraf felt!

Bingka Kacang Merah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Dah lama aku beli sepeket kacang buah pinggang (tak tau betul ke namanya? tulis kat stiker macam tu la). Saja gatal beli lepas tu tak tau nak buat apa. Ingatkan sama macam kacang merah, boleh buat inti pau.

Sudahnya aku rebus seperti biasa dan google cari resipi yang boleh guna kacang ni. Akhirnya aku jumpa resipi Bingka Kacang Merah di www.myresipi.com/ oleh rahel@myresipi.com. Bila dah jadi, sedap pulak.

BINGKA KACANG MERAH

  • 400 gm kacang
  • 150 gm gula pasir
  • 150 gm tepung gandum
  • 300 ml santan pekat
  • 3 biji telor
  • 1 1/2 sudu teh esen vanila
  • 2 sudu besar minyak
  • pewarna (merah)
  • 1/2 sudu teh garam

  • Cara-caranya:
  • Panaskan oven 170C. Gris acuan dan lapik dengan kertas minyak.
  • Satukan semua bahan dan kisar kecuali pewarna.
  • Setelah itu asingkan 1 1/2 cawan adunan untuk di warnakan.
  • Masukkan 2 cawan adunan asal kedalam acuan dan bakar selama 25 minit.
  • Kemudian tuang adunan berwarna dan bakar 15 minit.
  • Akhir sekali tuang adunan asal dan bakar 35 minit.
  • Biar kuih sejuk baru di potong.



Kuih ku tak cantik, agak kering di atasnya. Mungkin terlebih bakar, dasar pelupa la ni.......sambil bakar, sambil masak untuk makan malam. Rasa memang sedap. Macam rasa koleh kacang. Alamak! sebut koleh kacang, kuih kegemaran ku tu, terlior la pulak. Teringat kat kakak, dia pandai buat.

Pencil Case rekaan yang pertama

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Entah kenapa hari ni aku goreng mihun tak menjadi. Sampai dua kali goreng. Mula2 tu aku ingat, silap sendiri sebab aku curah air panas untuk rendam mihun. Kali kedua aku goreng lagi dan rendam sekejap je, air panas campur dengan air sejuk. Pun tak jadi juga. Sakitnya hati ni kalau masak tak menjadi. Tapi habis juga kami bedal untuk sarapan pagi......walaupun bergentel-gentel, rasa tetap maintain ok!!

Ni aku nak tayang kerjatangan aku yang baru siap. Pencil case untuk anak ku. Tak sabar-sabar nak tunjuk kat kawan dia esok pagi.

 ni bahgian belakang pencil case, ingat nak buat ikut kehendak dia tapi sebab kain felt ni jenis yang keras, susah sikit aku nak buat huruf kecil........hanya ini yang ibu mampu nak oiiii....

haha.....walaupun tak cantik, anak tetap puji cantik ibu dia buat......bola je dalam kepala dia, sampaikan nama Suarez pemain Liverpool pun nak catit kat pencil case dia.

Aku harap ini adalah permulaan ku untuk bergiat dalam bidang ni pula. Cuma susah sikit nak cari barang2 ni area Sabah. Online memang ada tapi takut tak memuaskan hati.

Chicken Chop (favourite anak)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Maaf pada teman-teman blogger yang telah meninggalkan pesanan di shoutbox tapi aku jarang membalas disitu. Biasanya aku akan pergi terus keblog orang itu. Jadi, jangan kecil hati ye.......

Taknak cerita panjang, kita layan je gambar Chicken Chop yang aku buat petang semalam. Resipi dari Potret Kasih juga. Terima kasih Puan Wana, resipi ni anak saya suka sangat. Sama macam kat Kenny Rogers.....hehe....

Resepi Grilled Chicken Chop

1 ekor ayam  ( di belah 4 dan ‘debone’kan ayam –  dapat 4 keping )
1 sudu besar lada hitam ( ditumbuk)
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar kicap manis
1 sudu makan kicap masin
1 sudu makan jus limau
1 sudu besar jus halia ( 1 inci halia di tumbuk dan perah jusnya kedalam ayam)
1 sudu kecil serbuk ayam ( granulled chicken stock)


Cara Penyediaan

1. Satukan semua bahan hingga rata. Kemudian peraplah ayam dalam petisejuk selama beberapa jam. Seelok-eloknya semalaman.
2. Semasa hendak membakar gaulkan dengan sedikit minyak masak dan bolehlah di bakar di atas periuk non stick. Balik-balikkan ayam hingga masak dan bolehlah di angkat.


Ayam ni aku letak atas kuali leper dan gunakan api kecil. Tak nak bakar kat oven, alasannya??.malas nak cuci...

Masa makan semalam, yang takde cuma coleslaw je, takde kobis dan carrot. Rasa tak lengkap pula. Takpelah, lain kali boleh buat lagi.

Satu hal lagi, sebelum ni aku tak pernah buang tulang ayam (dah tu, kalau nak makan chicken chop main order je). Tapi semalam aku buat sendiri, senang rupanya!! Lepas ni aku taknak makan chicken chop restoran luar. Entah bersih ke tak........kita ngap sedap je....




nota aku: kerana chicken chop ni, aku relax semalam sebab tak masak nasi dan lauk pauk, hehe...sukanya!!

Percubaan pertama Kraf Felt

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Malam tadi aku menjahit Fancy Pouch menggunakan kain felt. Ini percubaan pertama ku setelah memendam rasa selama beberapa bulan. Barang-barang dah berminggu aku beli tapi baru ni sempat menjahitnya.

Agak mudah bagi orang macam aku yang dah biasa mengait, menyulam dan seumpama. Cuma kena kreatifkan minda selepas ni. Kalau malas nak fikir, aku tiru je dalam buku Felties yang aku beli tu. Dah expert barulah aku mulakan rekaan ku. Chewah......nak jadi designer la pulak.....

Ini Felt kit yang aku beli dulu, baru selesai buat tadi tengahari. Menggigil-gigil jari ni cucuk benang dalam jarum. Lama dah aku tinggalkan kerja-kerja remeh macam ni, tapi aku suka kraftangan. Kalau ada saudara mara yang perlukan bantuan kerja-kerja macam ni, memang aku tak tolak.

 Bahgian dalam Fancy Pouch, kiri dan kanan berpoket.
 Bahgian depan pula....
Beginilah rupanya bila dah siap. Cantik ke? Pouch ni boleh di isi dengan lipstik, blusher, butang tudung, klip rambut dan lain-lain. Tapi tak boleh la isi benda berat atau yang besar.


nota aku: lepas ni kalau dah ok, aku nak jual online....

Kuah Kacang (untuk rojak)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Selamat tengahari semua, aku tak sempat nak update panjang-panjang ni. Ada kerja tak selesai. Buat kuah rojak ni dah dua kali tapi baru ni dapat upload gambar.

Akhir-akhir ni anak ku suka makan kuah rojak ni dengan mee. Dia suka makan macam tu je, sayur-sayur jangan harap nak makan. Melainkan kalau di blend, agaknya boleh telan kot. Kalau nampak potongan bawang pun dia tak makan, tu yang jadi masalah ku bila memasak.

Kuah Kacang ni hanya untuk makan dengan rojak, kalau makan dengan nasi impit aku tak letak keledek atau kentang.


Resipinya ikut suka ku sendiri......
Cili kering di mesin (guna dalam 2 sudu makan)
Bawang merah (mesin dlm 3/4 biji)
Bawang putih (seulas dua)
Kentang rebus (sebiji pun dah banyak kalau nak buat semangkok)
Kacang tanah yang dibuang kulit di mesin dengan air asam jawa bersama kentang yang telah di lecek.
Aku tak guna keledek sebab kat rumah ni jarang ada stok keledek berbanding dengan kentang. Tapi sedap tetap sedap!
Akhir sekali masukkan gula dan garam ikut sesedap rasa.

'Orang berbudi, kita berbahasa'

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Maksud peribahasa 'orang berbudi, kita berbahasa' adalah (mengikut http://peribahasamelayu.com/ ) bermaksud, setiap pemberian orang hendaklah di balas dengan pemberian, kita harus tahu berterima kasih.

Adakah kita sudah cukup berbudi bahasa? Mungkin ada juga yang kita terlepas pandang tentang mereka yang telah berbudi dengan kita, tapi lupa nak membalasnya. Namun sekiranya setiap hari kita berbudi dengan orang yang sama, contohnya kawan-kawan pejabat, kolej atau sebagainya tetapi mereka tak pernah nak membalas walau seinci balasan pada kita. Apakah perasaan kita? Sekurang-kurangnya ucap terima kasih pun sudah mencukupi, betul tak?

Contoh yang lain pula, seandainya anda menumpangkan kawan setiap hari ke pejabat dengan alasan dia tiada transport untuk seminggu dua, pasti sebagai kawan kita tak kisah kan? Tetapi bagi aku, sekiranya kita dah menyusahkan kawan kita walaupun dia tak minta, apalah salahnya kita hulur sekeping dua duit kaler merah untuk dia isi minyak. Kalau dia taknak terima, kita boleh beri dengan cara lain seperti belanja makan, belikan apa2 keperluan untuk famili atau anak-anak dia.

Ada setengah orang kita ni, bila kita kata "tak apa", mereka akan diam tanpa tindakan. Orang melayu ni tebal dengan sifat malu. Jadi, kalau kita nak balas pemberian orang, jika si penerima kata "tak apa", tak bermakna dia taknak terima. Kita hulur je seikhlas hati kita walaupun orang yang membantu kata dia 'ikhlas' tanpa mengharap balasan. Itu dinamakan ber'bahasa', bagi aku ler.........

Peribahasa ini juga kalau kita terapkan dalam persahabatan dengan teman-teman, bagi ku akan kekal selamanya. Contohnya hubby ku yang punya teman dari zaman U lagi hingga sekarang masih berhubung. Sebabnya, mereka mengamalkan sikap bila siteman telah menabur budi, temannya tak pernah lupa saat mereka dibantu satu ketika dulu. Hingga kini kalau dia datang kerumah atau kami kerumah dia, kami tak pernah lupa buah tangan dan begitu juga mereka.

Ketika ini aku cuba praktikkan pada anak ku. Harap2 dia akan faham satu hari nanti.

Untuk Ibu tercinta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

~~untuk semua IBU-IBU di dunia~~

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri pun membeikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Korban segalanya penuh rela
Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing
Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan
Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada
Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda
-Oleh kumpulan Nasyid Nowseeheart.

~~SELAMAT HARI IBU~~
kepada BONDA ku > Hajah Amnah Bte Hashim dan IBU MERTUA ku > Hajah Zaleha......
Semoga Allah panjangkan usia bonda berdua dan dimurahkan rezeki, SYURGAlah tempat mu IBU!!

CHEESE TART (makcik order)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Salam sejahtera semua.......
Update pantas ni sebab ada kerja menanti. Semalam seharian dari pagi sampai petang kat dapur. Petang jumaat tu kawan hubby minta buatkan laksa penang. Dia orang ni suka sangat order last minute. Barang-barang nak masak semua takde, kena beli pagi jumaat tu.

Order takde la beratus-ratus orang. Ciput je......hehe......tapi sibuknya kalahkan kat restoran. Lepas tu kebetulan pagi jumaat tu, makcik talipon nak order cheese tart. Pun tak banyak, tapi faham-faham je la......cheese tart ni makan masa sikit buatnya. Sebab acuan aku tu adalah dalam 9 biji. Pergi cari lagi kat bakery, haram.......tak jumpa pun.....size yang aku nak tak ada.






Resepi ada kat SINI.....

Grilled Steak & Mashed Potato....omputeh la pulak!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Nak makan style omputih plak la! Asyik nasi....bosan tau.....seminggu ada 7 hari, direct makan nasi. Mana boleh tahan kan?
Semalam aku, konon2nya nak makan steak tapi yang ada dalam simpanan ku cuma daging sekilo. Aku tak tau orang buat steak tu guna daging apa. Aku belasah je daging yang biasa ku beli kat pasar tu. Tapi ni bukan daging sejuk beku, ni fresh punya.

Cara potong pun main hentam je. Takde la aku habiskan sekilo tu, potong dalam 4-5 keping. Daging aku perap semalaman (rasanya lebih semalaman, petang Selasa hingga ke petang Rabu). Resepi asal aku ambil dari blog...Potretkasih

GRILLED STEAK
4 keping daging steak
4 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili/tomato
1 sudu makan lada hitam (tumbuk)
2 ulas bawang putih

Semua bahan di lumur pada daging dan simpan semalaman (perap)
Letakkan minyak zaiton semasa di bakar (kebetulan memang ada minyak zaiton kat rumah, lebih sedap dari minyak biasa)
Serius, aku punya daging memang tak menarik.......tapi dek keinginan mencuba, teruskan juga walau ada 'liat-liat' sedikit. Bagaimanapun aku masak, orang berdua tu makan je, tak banyak kerenah. Senang nak jaga mereka ni.......


Kat gambar atas tu ada kentang putar kan? Itu pun aku ambil resepi dari Potret Kasih juga. Anak ku kata, macam pernah makan kat Kenny Rogers la ibu.......wah....bangga ni kalau dapat pujian dari anak dan suami. Anak ku kata lagi, sebab cakap macam tu, nak bagi semangat kat ibu! hehe....terima kasih anak ku!

MASHED POTATO

2 biji kentang di rebus
1 sudu besar butter
1/2 cawan susu cair
Lada sulah dan garam

Caranya: campurkan semua bahan dan panaskan atas api kecil. Sebenarnya susu cair kat rumah ada sikit, malas nak buka yang lain, aku tambah dengan susu pekat dan sedikit air. Kacau rata.
Resipi ni aku lupa nak copy paste dari blog Potret Kasih, tapi takpe la.......sama kot cara dia dengan yang aku buat tu.


Bagus ni untuk orang yang nak diet, tapi kalau perut aku memang tak boleh la.......kejap2 nak makan, kejap2 nak ke dapur.....camne tu?

Ucapkan Terima Kasih

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

~~ terima kasih ibu ~~

Lama tak dengar ucapan tu dari mulut anak ku. Teringat masa dia kecil dulu (masa baru pandai cakap), ucapan terima kasih tak pernah lekang dari mulutnya. Bila dapat apa-apa dari ku samada gula-gula, keropok dan lain-lain kesukaan dia, wajib dia ucapkan 'terima kasih ibu'.

Sekalipun nak tidur malam, selepas dapat botol susunya, dia pasti cakap terima kasih. Tapi.......aku dah jarang dengar ucapan tu semenjak dia sekolah rendah. Kalau ucap pun, hampir tidak ku dengari.

Kadang kala rasa terkilan juga. Perkara yang telah kita ajar dari kecil, salam dengan orang lebih tua kena cium tangan. Ucapkan terima kasih jika mendapat pemberian dari sesiapa. Baca doa nak masuk tandas, tengok cermin, doa naik kenderaan dan sebagainya. Kecewa sekiranya tidak di praktik setiap hari.

Tapi dia masih kanak-kanak lagi. Sedangkan orang yang lebih tua pun tak ingat, apa lagi budak-budak yang masih belum baligh, betul tak?

Untuk pengajaran pada anak ku, kami berdua pasti akan tunjukkan contoh yang baik. Contohnya jika aku masak sedap-sedap, hubby akan ucapkan terima kasih depan dia dan aku pastinya berbangga. Jika ku hidangkan air segelas, dia ucap terima kasih juga........alhamdulillah....suami yang baik tu....hehe...

Bagaimanapun ada juga silap kami sana sini. Maklum lah......kita manusia takde yang sempurna. Setiap kesalahan perlukan pembetulan. Nak membetulkan tu bukannya lama sebenarnya. Kena buang rasa ego dalam diri, akui kesilapan dan muhasabah diri bila perlu.

Jadi, aku cadangkan kita muhasabah diri kita dan mulakan dengan ucapan terima kasih bermula hari ini.....

bila cuti....makan, tidor, makan dan tidor

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Tukar lagi background blog aku ni. Entah kenapa aku cepat bosan, tak boleh tengok rupa yang sama setiap hari. Kalau bab makan pun macam tu juga. Bila pagi dah makan nasi, tengahari mesti elak (bukan sebab nak diet). Begitu juga kalau blog, nasib baik tak bosan dengan hidup.....hehe....macam2 manusia ni kan?

Agak2 apa kata korang kalau akak berperangai macam ni, asyik tukar2 background? Mesti ada yang kata, asyik tukar je.......pening kepala aku tengok pompuan ni! Tak kesah la! Janji aku happy dengan apa yang aku buat.

Ok, hari ni makan tengahari kami dengan roti jala kaler hijau you. Anak aku taknak makan nasi, bosan katanya, macam ibu dia juga.


Aku guna susu kotak anak ku, yang dia bawa balik dari sekolah. Sedap dan lembut jadinya.....

Roti jala cicah dengan kuah kari yang ku masukkan telor dan sotong ball. Hias sikit dengan buah tomato.

Biasanya aku guna rempah kari Babas atau Adabi tapi kali ni aku cuba rempah kari Faiza dan rasanya aku suka sangat.

Petang ni nak buat lempeng pisang pulak. Anak ku tengok rancangan Jaguh Kampung hari tu, ada la dia orang buat lempeng kelapa. Malam tadi dia cakap kat aku, ibu...ibu....baik ibu masuk Jaguh Kampong.

"kenapa pulak?" aku heran apa kena mengena dengan aku. "betul, baik ibu masuk......sebab....ibu buat lempeng pisang....sedaaaap!!"

hik...hikk...gelihati aku, kesitu perginya?