my best friend forever

iklan nuff

Sila godek

Memaparkan catatan dengan label tart. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tart. Papar semua catatan

Tart Nenas Gebu Anymz, Hasue menggoda...sedapnya

Update ringkas je ni, kakpb try buat tart nenas gebu dari Puan Anymz kita yang baik hati ni. Rela kongsi resipi yang sedap ni dalam blog dia. Mula terberkenan dari Hasue yang menghasut suruh buat (eh...ada ke?:)...saje je)
Emak kat sana memang suka tart, begitu juga dengan MIL kakpb. Harapnya mereka suka makan tart resipi ni sebab kakpb rasa tart ni memang citarasa orang-orang lama. Termasuklah kakpb yang orang lama sikit dari emak...:)



 Tak dapat nak celoteh panjang. Baru lepas solat subuh, terus update blog. Lepas ni nak sambung tugasan sikit, si bujang tu pergi sekolah baru boleh buat biskut.


Snap gambar tart yang dah masuk dalam botol. Malas nak keluarkan, tak larat dah. Buat tart ni yang tak laratnya nak menekan acuan tu. Letih sebab puasa pun ye. Orang tekan ke atas dulang tapi style kakpb lain sikit......tekan ke atas, macam jet nak dilancarkan..:))

Anymz, minta izin dan halalkan resipi ni publish kat blog kakpb ye. Terima kasih banyak sebab berkongsi resipi dan mudah-mudahan bertambah rezeki Anymz sekeluarga.

TART NENAS GEBU
oleh: @blogsurirumah
sumber: Anymz My Kitchen

bahan2 pastri

4 oz butter- 115 gram
4oz minyak sapi- 115 gram
1 biji telur gred B
1 lb tepung gandum-450 gram

sedikit garam
air sejuk
Cara membuatnya:
  • Pecahkan telur di dalam bekas adunan,
  • Masukkan butter dan minyak sapi
  • Gaul hingga sebati dengan hanya menggunakan whisk
  • Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
  • Akak tidak menggunakan air sejuk tapi setelah adunan menjadi doh letakkan sebentar di dalam peti ais.
  • Guna acuan seperti gambar di bawah.
  • Tekan adunan dan bentukkan tart mengikut kesesuaian anda.
  • Jika letak inti yang banyak maka dapatlah tat yang tebal.
  • Bakar pada suhu 170C-180C selama 20-25 min
 Kakpb ikut juga cara Anymz tu tapi tersilap la pulak. Ni kira anak murid yang tak dengar kata. Anymz suruh masuk tepung sikit2, kakpb habiskan tepung tu walaupun masuk sikit2. Sudahnya kena guna air sejuk untuk lembutkan. Takpe, ini pengajaran. Bagaimana pun pastri kakpb tu tetap lembut dan gebu. Inti tart kakpb beli je, tak kuasa nak tunggu masak inti.



Tart Nenas dan kisahnya..


Seharian semalam kak pb sibuk dari pagi sampailah ke malam. Sibuk apa eh? Tak kerja pun sibuk jugak ke? Sibuk goreng mi hoon untuk anak murid cikgu fahmi kak pb ni, seratus orang je tapi berkecahnya dapur macam ribu orang order.....hehe.....habis je bungkus bangkis, mob lantai pulak. Sambung lagi masak untuk tengahari, sambung sidai kain baju, sempat singgah pasar KK sebelum buat semua tu tau!

Selesai tugasan tempahan orang punya, kak pb buat tart nenas pulak. Entah kenapa semalam angin rajin sudah mari daaa......sampaikan tak sempat balas komen kawan-kawan di blog. Takpe, lepas ni hubby ke Sandakan lagi kerana tugasan dia sebagai jurulatih kriket, boleh la kak pb conker pc ni.

Eh, lupa nak perkenalkan hidangan yang di atas tu. Itu upah kak pb, seharian berpenatan di dapur, malamnya kami berdua lepak di Restoran Kak Nong lagi selepas menghantar anak bujang ke rumah opahnya. Opahnya asal cuti je mesti nak budak tu kat rumah dia dua tiga hari. Biasalah, orang tak ramai anak, macam tu ler.......
Best woooo.....honey dew pearl strawberry ni, ada macam rumpai laut di atasnya. Pearl tu sedap di kunyah, krup krap....ada isi jagung manis, filling strawberry yang di blend halus. Biasanya kak pb tak suka desert begini tapi kali ni, habis semangkok kau! Cuaca pula panas terik......hemm...apa lagi, laku la ais dimana-mana saja.

Ok, resipi tart nenas ni kak pb ambil dari teman di Bintulu Sarawak, jiran sebelah je ni tapi kak pb belum ada kesempatan nak melawat Sarawak. Terima kasih Reen, sedap sangat tart ni, lembut dan gebu, lepas tu ada rasa masin-masin sikit sebab marjerin kot (kak pb campur planta sikit je) Nak terjah blog Reen sini, macam-macam ada.

sebelum ni pernah juga buat tart tapi guna resipi lain, ada di sini

TART NENAS
oleh: blog surirumah
sumber: fb Reen Khan

3 cawan tepung gandum
1 sudu besar gula icing
250 gm butter
2 sudu tepung jagung
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar susu tepung
**cara
1. Campurkan kesemua bahan tadi menjadi 1 dan boleh dibentuk.
2. Letakkan jem nenas di dalamnya..
3. Bakar 170 c
** inti
1 Parut jer nenas tu, pastu tapis jap air dia.. Masak jer ngan gula, daun pandan dan sebatang kulit kayu manis. Masak sampai pekat n berkilat.. Boleh buh air sikit untk bg dia mesra.. Gula dia biasanya saya ikut rasa.. Tak suka manis sgt.. Suka cam ada masam2 sikit.. Tu selera saya la
1 adunan guna 2 biji sedang nenas
** Butter tu saya campurkan dengan sedikit margerin supaya tart tu tahan sbb margerin ada bahan pengawet kann.


#Inti nenas kak pb beli je, tak kuasa nak menebeng tepi dapur. 


Ada kisah disebalik tart nenas ni.........kak pb pergi kedai bakery nak cari acuan tart. Tanya tokeh tu, mana acuan tart yang macam ni, yang gulung punya? Dia pun tunjuk, kak pb sangka acuan tu kak pb dah ada. Oh, ni saya ada......ingatkan ada yang baru ke...takpelah, saya tak mau. Lepas tu baliklah dengan kodifennya ada acuan di rumah. 
Doh dah siap, carilah dalam kotak toyogo acuan yang kata ada tu......emaaaaaak....tak adaaaaa! rupanya yang ada acuan deko kek yang hampir serupa. Aku sengal!! Akhirnya terpaksa guna acuan samprit, naik pedih tangan ni menekannya. Adoi hai....kena beli jugak lepas ni....




Dapat sebotol lebih, cukup dulu kot. Akan di terbangkan ke semenanjung malam ni, itu pun kalau adik ipar janji nak bawa elok-elok, tak mo campak dalam bagasi. Kena duduk di samping dia sepanjang masa, sanggup ke dia?

BLUEBERRY CHEESE TART, birthday Mizan

Assalammualaikum dan selamat berhari minggu semua.

Minta maaf sangat sebab kak pb tak sempat nak blog walking semalam. Line tenet pun buat hal, hari ni dah tambah quota, barulah ok sikit. Tapi kak pb tak sihat sangat beberapa hari ni. Entah kenapa bahagian belakang tengkok ni sakit benar, orang kata salah bantal? Mungkin kak pb tidur tak beralih dan bantal tinggi kot. Kekadang tengah berteleku atas katil dengan mengadap lappy pun mata boleh terpejam. Sampaikan rahang jadi sengal kerana bertongkat dengan tangan. Kelakar pula bila fikir balik.......mesti korang pun biasa macam tu kan? Tangan pegang remote tv tapi mata pejam......ada tak? Ada tu...

Semalam kak pb pergi partey......party birthday laaa.....anak makcik/pakcik hubby yang bongsu. Buat kat Sutera Harbour (mereka memang ahli kelab tu). Kak pb sampai dah lewat, pukul 2 lebih baru terjengol. Game dah mula dengan badot 3 orang melayan bebudak tu. Sebab lambatnya, kak pb buat cheese tart yang makcik tempah. Alah.....ciput je, 50 pcs, tapi ada selingan yang lain menjadikan lambat keluar rumah.

Kelakar tengok bebudak ni berlimbo rock, aktif betul semuanya. Anak makcik ni sekolah cina jadi majoriti yang datang chinese ler. Rupa dia pun ada sikit2 cina kan?


Cheese tart kali ni kak pb guna resipi dari Ita Masam Manis, yang asalnya dari dapur Azita Zain. Tapi kak pb punya shell tu kurang garing sebab kak pb memang suka macam ni.......hehe....nak cover silap la tu. Takde silapnya, dah bakar macam biasa, cuma mata ni kena tambah power spec kot. Nampak dah kuning masak, rupanya.....tapi kira masak la tu. Fillingnya memang blueberry tapi tak sempat nak buktikan, jadi bayangkan je tau.

Tak sempat keluarkan dari acuan, dah snap gambar. Ni pun yang last bakar, lain-lain dah masuk paper cup dan kotak. Siap untuk di bawa. Kak pb minta izin kongsi di sini ye Ita. Sebelum ni buat juga cheese tart tapi guna resipi lain. Masa tu memang tak reti langsong nak deko bunga2 tu, main tibai je. Cuba tengok kak pb buat dulu, kelakar kan?

Bila dah baca satu persatu Ita punya blog, barulah siuman sikit kak pb punya cheese tart. Bunga pun adalah rupa walaupun kaler main ikut sedap suka suki aku je! Ok la.....walau dah ramai yang tau, kak pb kongsi/copy juga di blog ni untuk simpanan di hari tua kak pb. Aik? muda lagi ke?

BLUEBERRY CHEESE TART 
oleh: blog surirumah
sumber: Azita
copy: Ita Masam Manis 

170gm marjerin atau butter
50gm gula aising
1 biji telur Gred C
290gm tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla
acuan tart 
 
 Pukul marjerin dan gula dengan menggunakan senduk kayu atau spatula. Jangan putar lama sangat.
Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi dengan senduk kayu.
Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
Uli hingga menjadi doh yang lembut. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh.
Untuk mendapatkan doh yang baik masukkan doh dalam plastik bag dan simpan dalam peti ais semalaman.
 

Ambil sedikit adunan dan tekan ke dalam acuan tat. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar.Bakar pada suhu 170C selama 20 - 25 minit atau sehingga masak.
Crust atau shell ni kita boleh sediakan awal. Simpan dalam bekas kedap udara dan ia tahan lama. Tunggu Crust atau shell benar2 sejuk sebelum kita letakkan filling dan cheese. 
 
untuk filling
250gm cream cheese
50gm gula kastor / gula halus
1 biji telur Saiz B
½ sudu teh esen vanilla / esen lemon

Keluarkan cream cheese 20 ~ 30 minit sebelum digunakan. JANGAN biarkan cream cheese mencapai ke suhu bilik.
Putar cream cheese dan gula hingga berkrim.
Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi.
Ambil sedikit cream cheese tadi dan titikkan sedikit pewarna yg kita suka. Kacau rata sehingga warna bergaul sempurna. Proses untuk melorek dilakukan ketika cheese tadi masih lembut. jangan biarkan cheese terlalu lama nanti dia dah mula mengering dan proses melorek tidak secantik yg kita inginkan.
(bab ni baru belajar, terkial2 melorek dgn pencungkil gigi)
 
 
  1. Dengan menggunakan pencungkil gigi, buat garis kecil2 di bahagian tepi.
  2. Bilangan garis2 kecil tersebut mengikut citarasa sendiri lebih banyak lebih cantik!
  3. Kemudian dengan menggunakan bahagian yang tajam, tarik daripada atas ke bawah  dalam bentuk bulatan untuk mendapatkan bentuk tersebut.
 Bakar selama 5 minit pada suhu 170C. Sentuh cream dengan hujung jari. Jika tidak melekat, maknanya telah masak. Jika tidak, bakar dalam seminit lagi.

Fuhh.....panjang lebar cikgu Ita menulis, susah payah dia buat untuk kita semua. Besar pahala tu Ita, terima kasih banyak dan mudah2an perhubungan kita sesama blogger berkekalan hendaknya dengan memanjangkan resipi ini.

Tat Gunting/gulung

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi... SURAH AL-MAIDAH,AYAT 88:"Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan oleh Allah kepada kamu,iaitu yang halal lagi baik,dan bertakwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman"

Jem nenas pb dah lama terperap dalam peti ais. Buntu fikir nak buat apa. Makan dengan roti, tak sedap sebab jem ni bukan yang biasa dalam botol seperti ladys choice tu. Akhirnya, pb buka buku masakan tart dan brownies. Jumpalah gambar tat gunting yang comel. Masalahnya, pb tak yakin boleh buat dengan cantik dan cepat. Cari idea macamana nak buat ni? Terjumpa acuan kuih samperit, belasah je la. Pb picit atas tapak tangan dan gulungkan dengan inti.


TAT GUNTING
Resipi dari buku ALAF 21 oleh Salhah Bujang.

Bahan A
250 gm mentega
50 gm gula icing
2 biji kuning telor
1/2 sudu teh esen vanila

Bahan B diayak
250 gm tepong gandum
100 gm tepung jagung
50 gm susu tepung

Bahan lain
Inti nenas secukupnya
Kuning telor untuk sapuan

Cara membuatnya:
1. Putar mentega dan gula icing sehingga sebati.
    Masukkan telor dan esen vanila, putar lagi.
2. Kemudian masukkan bahan B perlahan-lahan, uli hingga menjadi doh yang lembut.
    Rehatkan sekejap.
3.Ambil satu sudu kecil, letak inti ditengahnya. Bentuk membujur sedikit.
   Gunting doh seperti bentuk nenas.
4. Sapukan kuning telor sebelum dibakar pada suhu 180C, lebih kurang 20 minit.

nota pb: kita tak buat bentuk nenas sebab rasa susah dan lambat pula.
ambil acuan samperit, tekan atas tapak tangan, terus letak inti dan gulungkan.


Dapat dalam 2 botol, separuh bagi makcik, separuh lagi buat kudapan sambil tengok tv......yeaaa...tambah berat badan!!

Tat Bluberi Crumble

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Dalam pada badan tak sihat (sikit je) pb sempat buat tart untuk Kak Rose/ kakyon yang datang bercuti di Sabah 3 hari ini. Bagaimanapun ketika ini pb belum sempat berjumpa dia kerana kakrose sekeluarga masih belum pulang dari kaki gunung Kinabalu. Seronok sakan kakrose dengan famili yang ramai tu.......

Tat Bluberi Crumble ni dari buku Kompilasi TAT dan BROWNIES oleh Salhah Bujang. Dah lama beli, tapi bila nak buat tart, selalu tak jumpa cari. Sekarang ni pb dah susun semua buku resipi kat satu tempat.

Pb tolong salinkan resipi kat sini ye. Cuma bahan pastrinya pb tak ikut dalam buku ni. Kalau ada sesiapa yang nak cuba, silakan. Seeloknya buat separuh adunan dulu.

Bahan-bahan:

  • 500 gm tepung gandu
  • 250 gm mentega
  • 100 gm gula icing
  • 2 biji telur
  • 1 sudu teh esen vanila
  1.  Bahan topping:
  •  180 gm tepung gandum
  • 80 gm gula merah/perang
  • 80 gm mentega lembut
  • 1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • Jem bluberi secukupnya

Cara membuat kulit tart:

  • Campur tepung dan gula aising. Gaul rata.
  • Masukkan mentega dan uli lembut sehingga menjadi serbuk yang kasar.
  • Tuangkan telur dan esen vanila. Uli hingga lembut.
  • Bentuk doh di dalam acuan tart.
  • Bakar dalam ketuhar selama 15 minit pada suhu 180C.

Topping:

  • Campur gula merah, tepung gandum, serbuk kayu manis dan serbuk penaik. Digaul rata.
  • Masukkan mentega dan gaul sehingga menjadi serbuk yang kasar (crumb). Biarkan sekejap.
  • Masukkan 1/2 sudu makan jem bluberi kedalam kulit tart dan tabur crumb di atasnya. 
  • Bakar sekali lagi selama 20-25 minit pada suhu 180C.




Tart ni sesuai dengan mereka yang tak suka makanan manis. Sedang elok je......

Harap kak rose suka ^..^