my best friend forever

iklan nuff

Sila godek

Tahniah anak, mewakili Sabah pula

 
Tahniah anaknda ibu Aziz Iskandar kerana terpilih mewakili Sabah dalam English in Camp. Seramai 4 orang termasuk Aziz akan ke Perlis katanya. Mungkin bulan depan.

Alahai....makin jauh anak ibu pergi cari ilmu, risau ni. Tapi hari-hari ibu doakan yang terbaik. Ibu tau, anak ibu bukanlah fasih sangat berbahasa Inggeris, anak ibu ni pemalu sikit. Ibu perhatikan anak ibu ni sukakan cabaran. Kalau cikgu suruh volunteer, dia yang angkat tangan. 

Baguslah.....walaupun tak begitu fasih Inggerisnya, sekurang2nya dia tidak pasif seperti setengah budak yang suka sorok2 muka, duduk kat belakang, rasa takut dan tak yakin. Sejak tadika lagi dia suka sangat tonjolkan diri. Dia suka dipanggil ke pentas terutama kalau disuruh buat sesuatu yang ada ganjaran. Bialah budak-budak!!

Harap-harap bila berjauhan anak ibu pandai pilih sahabat yang baik, yang tidak merosakkan dirinya.
Buktikan pada mereka yang dulu memperlekehkan anak ibu.

 

Takoyaki, gantikan fish flake dengan sate ikan

Semakin hari semakin malas nak update blog ni. Bukan apa, idea dah hampir pupus kot. Maklumlah....usia meningkat ni tenaga nak berblog pun macam lemau je. Tak sama masa baru2 buat blog dulu. Sekali update, baca sendiri, syok sendiri....hehe...
Sekarang ni update lebih kurang, belek2 kejap blog kawan, komen sana sikit sini sikit, dah log out. Tak larat nak ngadap lama-lama. Tugasan pula tak pernah surut. Hari-hari termasuk sabtu dan ahad pun bertugas tau!!
 Ok...beberapa hari lepas kakpb asyik bereksperimen takoyaki je. Sebab anak bujang kakpb tu suka sangat takoyaki ni. Sekali keluar beli RM3.50 ada 3 biji. Kalau hari2 nak? Sebulan dah berapa? Oklah anak sorang, dibuatnya anak ramai......tepok dahi ibu!
Masalahnya bukan pasal harga atau hari2 kena keluar duit belanja anak. Kakpb selalu persoalkan, orang yang buat tu bersih atau tidak, paling penting solat atau tidak. Bila kita buat sendiri, bolehlah kita jampi serapah dengan selawat dan zikir nama Allah kan.....
Bulat tak? oklah kan.....

Sebenarnya kakpb dah lupa kat mana salin resipi takoyaki ni. Minta maaf sangat pada tuan punya resipi. Mungkin sebab terlalu banyak carian diblog, sampaikan kakpb tak boleh ingat nama blog tu. Bagaimana pun kakpb nak ucap terima kasih jugalah.......resipi yang simple dan sedap sangat. Kakpb ni bukan penggemar makanan Jepun melainkan anak je. Bila beli takoyaki kat luar, memang kakpb tak teringin nak makan. Tapi bila dah buat sendiri, sedap pula.



 
Takde fish flake, kakpb tumbukkan sate ikan dan tabuuuuuur!!
Guna acuan kuih cara ye adik-adik manis :)

TAKOYAKI
@blogsurirumah
 
50 gm tepong gandum
30 gm potato starch
200 ml susu segar/kotak
1 sk baking powder 
1 biji telor
kiub pati ikan bilis

Kakpb blend semua dalam blender. Gunakan acuan kuih cara untuk membentuk jadi bulat tu agak susah juga. Kena sabar sebab acuan tu takde penghadang tepinya. Jadi adunan mudah melimpah keluar. 
Taburkan sayur2an dan bila adunan dah garing sikit, kakpb balikkan dan tuang lagi adunan hingga menjadi bulat.

Bahan-bahan sayur kakpb guna kobis, karot dan lada benggala. Hiris kecil2. Disebabkan tiada TAKOnya, kakpb guna udang dan crab stick.

Sos takoyaki pula kakpb ikut citarasa sendiri. Masak gula melaka/kabung dengan air. Tambah sikit gula pasir. Masukkan sedikit sos tomato, kicap pekat, sedikit sos cili. Bawang putih dan sedikit halia ditumbuk. Ikut resipi kawan2 yang kakpb tengok, ada yang letak air asam jawa. Boleh juga tu. Sos worcestershire memang takde dalam simpanan. Dulu2 rajin masak burger sendiri, ada juga beli.

Bila dah siap bulat2 dalam pinggan, curahkan sos tadi. Picitkan mayonis dan thousand island. Kakpb ganti fish flake dengan sate ikan. Tumbuk halus dan taburkan atas takoyaki....hehe....kretif tak?

Wordless Wednesday : Wakakukz - Tak Peduli



Boleh cari kat youtube dan kalau minat like la banyak2 ye!! Sokong band anak saudara...hehe..

Tahniah anak peserta terbaik (English In Camp)

Minta maaf ye sekiranya apa yang kakpb update diblog ini buatkan mata dan hati teman2 kakpb sakit, berbulu orang kata. Bukan nak menunjuk yang kakpb ni pandai atau dah berjaya mendidik anak, tidak sama sekali. 
Kakpb tahu ramai lagi orang diluar sana yang lebih berjaya dari anak kakpb. Ramai lagi yang lebih fasih berbahasa Inggeris, berkarisma, tokoh pelajar dan sebagainya ketika disekolah dulu. Tapi takde pun ibubapa dia nak cerita kat orang. Kakpb tak berniat pun nak bangga diri tapi takkanlah nak cerita yang tak baik kan? Harus sebarkan yang elok-elok untuk motivasi orang lain atau sebagai tanda kenangan atau bacaan untuk anak, juga saudara mara.

Ok, 11hb dan 12hb April lepas anak kakpb dipilih menghadiri English In Camp untuk wakil sekolah dia. Tak tahulah kenapa dia. Nak kata fasih sangat berbahasa Inggeris, tak juga. Cuma dia tu selalunya confident dengan apa yang dilakukan sekalipun salah atau tidak pandai.

Kakpb nasihat, bagus confident tu tetapi biar bertempat atau kena pada perkaranya. Anak kakpb memang suka aktiviti kawad, bola sepak, berbasikal, roller skate, renang dan banyak lagi aktiviti lasak. Biasalah anak lelaki kan......kalau tak lasak, bukan lelaki namanya...hehe..

Sebelum pergi tempohari kakpb dah bekalkan barang mandian, lampu suluh, sleeping bed, mosquito repellent, baldi kecil dan lain2 lagi. Perginya dua hari satu malam je tapi susahnya hati ibu. Risau kalau ada aktiviti mandi sungai (nasib baik cuma merentas sungai).

Petang sabtu dia balik, senyum simpul masuk pintu rumah. Ingatkan apa, rupanya dia dapat anugerah Best Participant bagi lelaki. Keseluruhan murid lebih kurang 60 keatas katanya. Ayah dan ibu syukur sangat. Mungkin kecil pada orang lain tapi dah cukup membanggakan kami. Tahniah anaknda :)

 

Sayur ni kakpb masak minggu lepas. Kacang buncis kecil dan comel, apa namanya eh? kakpb goreng dengan ikan sardin. Sedap sangat (bagi kakpb) Resipi tak perlu tulis la ye. Biasa je, tumis bawang, cili kering, ikan sardin dan masukkan sayur. Siap.


nota: hari ni anaknda ada pertanding sahiba pula, luar dari sekolahnya....
harap2 dia tak menggelabah...

Buku Masakan saudara dari Singapore

Masa kakpb balik KL tempohari, kakak ada tunjuk buku masak yang dia dapat dari anak kepada emak saudara sepupu. Dia tu (allayarhamah) adalah sepupu kepada emak kakpb. Betul tak mak saudara sepupu, ke salah?

 Emak saudara kakpb tu yang kami panggil Makngah Bedah memang seorang yang pandai memasak, menurun daripada arwah emaknya, kami panggil Tok ucu zam. Kecik2 dulu selalu tengok mereka ni ambil tempahan memasak. Tok selalu jadi mandur bila umur makin meningkat. Arwah Makngah anak nombor dua dari enam adik beradik. Seorang lelaki dan lima perempuan. Sekarang tinggal mak long (di Singapore), mak uda (KL), mak itam (di Kanada), mak ucu (dah meninggal) juga ayahandak yang lebih awal pergi menemui Ilahi. Alfatihah untuk mereka yang kami kasihi.

Kakpb tak dapat nak jelaskan lebih lanjut tentang buku masak ni kerana kakpb tak sempat nak baca keseluruhannya. Dapat snap sekeping dua foto. Insyaallah kalau dapat beli, kakpb share sikit apa yang ada didalamnya.

Sah kakpb kecil lagi masa ni.....arwah disebelah kiri (tak clear fotonya, nampak sebelah muka je). Depan beliau ialah maklong.


Banyak resipi menarik yang dikongsi oleh anak beliau dalam buku ni. Resipi dihimpunkan Rita Zahara, kakpb tak pasti anak nombor berapa. Jumpa dia pun masih kecil dulu. 


Berbaju merah ialah suami kepada arwah makngah dan kiri tu kakak kepada Rita Zahara (mungkin belah kanan)
Suami makngah seorang yang suka berlawak, manja dan ngada-ngada...hehe...Ingat lagi kalau pergi rumah dia kan.....suka sangat menyakat makngah. Makan nak bersuap. Sayang...darling....sentiasa dibibirnya..romantik sungguh.

Kalau tak silap kakpb, buku ni boleh didapati di kedai buku MPH. Cubalah cari. Insyaallah segala resipi yang ada dalam buku ni memang original dari makngah kami.


Udang Shuhaida??

Kenapa Shuhaida? Entahlah....mungkin penciptanya bernama Shuhaida? 
Buka majalah lama, tengok-tengok, selak-selak resipi......
Sedap-sedap pula hidangan chef dalam majalah Keluarga ni.

Kebetulan ada pula stok udang, hemmm.....kolestrol lagi!!
Tak apalah, lepas makan kita 'workout' ye!


UDANG SHUHAIDA
sumber: majalah Keluarga Julai 2010
@blogsurirumah

Bahan:
300 gm udang
5 sudu sos thai
7 sudu mayonis
Gula dan serbok perasa 
sedikit minyak

Cara:
Panaskan minyak, goreng udang hingga kekuningan dan ketepikan.
Untuk sos, campurkan sos Thai dan mayonis dalam kuali diatas api.
Kemudian masukkan udang yang telah digoreng tadi.

Senang je kan....
Pejam mata pun boleh!!


 

Rempah Kerutub Nurani Spice (Premix)

Lama betul kakpb simpan rempah kerutub kiriman dariJohor ni. Dek takut expired tarikhnya, 2 hari lepas kakpb nekad masak. Terima kasih ye Seri Kandi rempah awak sedaplah! ehh....bukan awak punya tapi kiriman awak....hehe... Rempah kerutub jenama Nurani Spice siap ada cara-cara memasaknya tau.

 

Tak perlu bawang bagai, bancuh rempah dengan air. Tumis, masukkan bahan yang nak dimasak. Masukkan santan (kakpb ganti susu kotak). Kakpb tambah kentang, tunggu ayam masak kecilkan api. Dah siap.

Boleh cari Seri Kandi ye kalau nak rempah tu (area Johor) kalau kawasan lain kakpb tak tau ada ke tak.

KUIH LOPES

  Suka makan lopes? Mesti ramai yang suka kan? Tapi nak buatnya amatlah leceh, susah dan makan masa lama. Teringat arwah tok dulu, selalu buat lopes macam ni, diikat dengan tali bertingkek-tingkek berdaun pisang. Sekarang susah nak jumpa bentuk tigasegi tu.

Masa balik kl baru2 ni, kakpb belajar buat dari kakak. Serius kakpb memang tak tau langsong macam mana nak balut lopes. Sambil tolong dia, sambil belajar sebab nak bawa balik ilmu lopes...hehe...akhirnya dapat juga. Cuma tidak sebaik secantik yang kakak buat.

Colour agak hijau, terlebih tuang pula.



Buat lebih untuk simpan dalam peti ais. Bila2 nak makan senang.


Tengoklah warna tu!! Kelihatan pulut berbiji sedikit sebab kakpb belum mahir menyukat beras pulut ketika membungkusnya.

 
Selepas 2 jam direbus, inilah rupanya..

Disini, kakpb share sikit bagaimana membuat lopes yang di ajar oleh kakak. Mungkin ada persamaan dengan orang lain, tak apalah....

KUIH LOPES
@blogsurirumah

1/2 kg beras pulut (basuh dan direndam semalaman bersama kapur makan dan pewarna hijau)
Daun pisang yang panjang (kalau pendek susah nak balut)
Gula melaka/merah
Kelapa parut putih saja

Toskan beras pulut dalam tapis.
Koyakkan daun pisang selebar 4 jari
Layurkan daun atas api
Bentukkan segitiga daun yang dibahagian keras dulu
Isikan beras pulut sesudu besar (jangan lebih takut keras seperti yang kakpb buat)
Lipatkan sehingga membentuk segitiga
Seterusnya balut hingga kehujung daun
Kakpb tak ikat dulu, nanti buat lagi dan tindehkan sehingga menjadi 4 bungkus barulah di ikat.
Rebus selama 2 jam atau lebih. Kalau banyak lagi lama kot rebusnya.

Boleh tengok sini, cuma cara kakak kakpb buat lain sikit je....

Laksam

Ahad lepas abang ipar kakpb datang, ada tugasan disini. Bawa geng office dia seramai 6 orang. Dapatlah kakpb hidangkan laksam ni. Menambah dia makan.

LAKSAM
@blogsurirumah
sumber: Azie Kitchen

 Bahan-bahan:
 3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
5 cawan air suam (3 cawan air mendidih + 2 cawan air biasa)
1/2 sk garam

Kakpb tak bancuh dengan air panas pun. Guna air biasa pun ok.
Kacau rata dengan senduk.
Panaskan pengukus. Letakkan tudung periok atau apa2 bekas leper, sapukan minyak sedikit.
Tuangkan adunan atas tudung periok. Tutup pengukus.
Kukus 5-10 minit sehingga adunan menggelembong.
Angkat, gulungkan ketika masih panas. Kakpb guna spatula je.
Langkah demi langkah boleh tengok kat Azie Kitchen.

Bahan untuk dihiris:
Timun jepun (kat sini murah)
Taugeh buang ekor
Kobis hiris halus
Kacang panjang
Daun kesum


Kuah Laksam

1 kg ikan basong (ikan sadin atau apa2 ikan pun boleh)
Direbus bersama asam keping
Buang tulang dan dikisar halus guna air rebusan tadi
Santan secukupnya (kakpb tak sukat pun)
Bawang merah (dlm 7/8 biji) *
2 ulas bawang putih *
sedikit halia *
1 sudu kecil lada hitam @ serbuk *
(semua bahan bertanda * di mesin)
2 batang serai diketuk
Garam dan gula

Tuang santan dalam periok. Masukkan bahan kisar dan juga ikan tadi.
Masukkan serai, garam dan gula.
Kacau hingga mendidih.


Sekali sekala makan begini memang tak cukup sepinggan. Kena pula ada sambal belacannya. Oh ye, sambalnya kakpb buat seperti biasa. Blend cili hidup, cili padi, belacan bakar, garam dan gula. Perahkan limau kasturi. Insyaallah sedap. Cubalah!