my best friend forever

iklan nuff

Sila godek

Memaparkan catatan dengan label happy birthday. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label happy birthday. Papar semua catatan

Alhamdulillah..hari lahir ku

15hb October 2014......hari lahir ku yang ke..... (biarlah rahsia) yang dah tau tu, dendiam boleh? hehe...

Alhamdulillah masih bernyawa lagi dan bergembira dalam menyambut hari lahir tahun ni. Mudah2an Allah berikan kesihatan yang baik, boleh beribadat, menguruskan segala tanggungjawab didunia ni.

Terima kasih tak terhingga doa2 dari sahabat di facebook, whatsapp. Hingga ada yang update kat blog. Terhutang budi pula pada Reena kerana sudi highlight nama kami berdua. Kakpb share birthday, bukan kembar ek....dengan sahabat blogger Papablogger/Azmi/ameng/keluangman...hehe..

Bangun pagi semalam, 4.30 pagi...ahh..dah lewat nak tahajud, sementara masuk bilik air, buang itu ini, mandi....subuh pun sampai. Lepas mandi (dua orang tu bangun juga wish happy bday) terus capai telekong nak solat. Masa tu kaup sekali dgn sejadah, tak rasa apa pun.

Bila buka je.....nah...terkezut beruk...(beruk kalau terkejut melompat kot...hehe...kakpb tak melompat) menitis air mata ni, dek terharu sangat. Mungkin sebelum ni ada tersalah sangka dengan cikgu fahmi, tapi tidaklah fikir yang bukan2. Tahun lepas dapat warna merah, tahun ni pun merah juga. Ada sikit2 pink....hehe...terima kasih encik suami tercinta mati ku...

Susah payah awak sorok takut saya jumpa ek? Patut la anaknda tanya, birthday ibu nanti nak hadiah apa? Ibu tak terjawab pun, takde hadiah tak apa. Doakan ibu sihat, boleh masak dan uruskan rumahtangga, boleh beribadat.....dah cukuplah tu.  Rupanya dia berdua pergi senyap2 cari barang tu...

Oklah....jumpa lagi nanti dengan kisah apa, belum ada idea.
Oh  ye...selamat menjalani peperiksaan untuk mereka yang bersekolah agama. Seminggu ni anak kakpb exam SRU. Ada senang ada susah katanya. Nasiblah....


Selamat Hari Lahir anakanda Aziz Iskandar

Minta maaf kerana ibu tak sempat nak wish kat blog tempohari, birthday yang ke 12 tahun. Ibu sibuk dengan atok, nenek dan adik ayah datang bercuti disini. Apa pun ibu dan ayah tak pernah lupa mendoakan anak ibu supaya menjadi manusia yang berguna, taat suruhanNya, rajin menimba ilmu hingga berjaya dunia dan akhirat.

nota: 6hb Mac lepas hari lahirnya, baru nak update hari ini

Hari Lahir Imam ku dan ulangtahun perkahwinan

19hb Februari, ulangtahun perkahwinan kami hari ini. Semoga ikatan ini kukuh, tiada sesiapa pun yang dapat merungkainya melainkan 'ajal' datang menjemput. InsyaAllah.



Apabila kita sudah sanggup berkahwin, itu adalah bukti cinta sebenar sebab perkahwinan bukan semestinya menjanjikan kebahagiaan atau kesenangan, kadang-kadang ia adalah mukaddimah pada kesusahan. – DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

16hb Feb, 2014 hari lahir cikgu Fahmi, selamat hari lahir ye....semoga dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia agar dapat berbakti kepada Yang Esa, kedua ibubapa dan anak bangsa mu.

Sentiasa berdoa untuk kebahagiaan mu imam ku.

Semua lelaki adalah sama kacak, namun yang paling kacak di antara mereka ialah yang paling baik iman dan akhlaknya. - See more at: http://www.jomkenalislam.my/2012/10/kata-kata-hikmah-dan-peringatan-ustaz.html#sthash.BLTolr7y.dpuf
Semua lelaki adalah sama kacak, namun yang paling kacak di antara mereka ialah yang paling baik iman dan akhlaknya. - See more at: http://www.jomkenalislam.my/2012/10/kata-kata-hikmah-dan-peringatan-ustaz.html#sthash.BLTolr7y.dpuf
Suami yang terbaik adalah suami yang memaafkan segala dosa isterinya setiap hari sebelum tidur. - See more at: http://www.jomkenalislam.my/2012/10/kata-kata-hikmah-dan-peringatan-ustaz.html#sthash.BLTolr7y.dpuf



Selamat Hari Raya Idul Adha dan hari lahir ku

15hb October, 2013 umat Islam di Malaysia menyambut hari raya korban. Mereka yang dah ambil cuti awal tu, sekarang ni dah ada di kampung agaknya. Terutama mereka yang berasal dari pantai timur, tak seronok raya kalau tak balik ye?

Bagi kami di perantauan ni, sambutan seperti biasa saja. Kakpb akan masak lontong, nasi impit, rendang ayam dan kuah kacang. Tetamu kakpb hanyalah adik ipar dan seorang dua kawan cikgu fahmi. Itu pun kalau mereka takde hal kenduri rumah kawan atau menghadiri majlis korban di tempat kerja masing-masing.

Sedih juga saat begini tiada saudara mara untuk meraikannya. Tambahan pula hari selasa 15hb oct itu adalah hari lahir kakpb. Ini dalam sejarah, menyambut hari lahir pada hari raya haji. Alhamdulillah.....doakan kakpb sihat ye. Panjang umur dan dimurahkan rezeki dimasa akan datang.

Kakpb bersyukur sangat dikurniakan suami yang baik, memahami dan bertanggungjawab. Syukur juga dikurniakan Aziz Iskandar yang handsome, bijak dan cerdas budaknya. Hidup kakpb sudah cukup bahagia ada mereka berdua. Tidak lupa juga terima kasih kerana Allah kurniakan kakpb ibu yang melahirkan kakpb seorang yang kuat semangat, tabah, sabar dan paling kakpb tak lupa, lesung pipitnya tu.

Terima kasih 'emak' kerana melahirkan dan sentiasa ada disisi kami saat memerlukan.
Terima kasih 'arwah bak', walau kehadiran mu disisi ku tidak selama mana, insyaallah 'bak' tenang 'disana'.

Terima kasih kawan-kawan kakpb samada yang dah lama kenal atau baru kenal kerana sering membaca catatan kakpb ini. Kamulah teman dikala sunyi, setia bersama saat duka dan suka kakpb. Kamu menjadikan hari-hari kakpb sentiasa ceria dan bermakna. Semoga persahabatan kita berkekalan hingga ke hari tua......(tua dah pun sekarang ni) Amin.


foto pinjam dari google

Muffin Pisang Coklat Chips untuk birthday boy

Assalammualaikum,
Alhamdulillah kita bertemu lagi di hari isnin, minggu terakhir persekolahan. Jumaat ni dah cuti lagi....yeayy..kemana kita? Kakpb ada juga merancang dengan cikgu fahmi nak pergi jauh sikit, semalaman je la. Sebab tempat yang kami nak pergi tu katanya takde apa yang menarik. Tapi ada sesuatu yang kami cari....hehe...tungguuuuu...(alah, benda biasa2 je yang mahal di semenanjung tapi murah disana)

Oh ye, sabtu lepas kakpb sibuk buat muffin pisang untuk majlis anak makcik. Itu yang tak merayap ke blog teman2. InsyaAllah, kakpb akan luangkan juga masa untuk bertandang. Minggu lepas agak sibuk dengan birthday party, hari guru, minggu exam si bujang tu lagi, sekarang dah selesai. Tunggu keputusan je...


 
Muffin ni kakpb buat dalam tergesa-gesa. Majlis pukul 1 pm, terhegeh-hegeh ke dapur pukul 10 am. Resipi dari blog JintanManis dan kakpb gantikan inti dalam tu dengan coklat chip seperti kawan2 blogger lakukan. Makcik suka sangat, satu bekas dia hidangkan kat tetamu. Satu bekas lagi bawa balik rumah. Kakpb buat 3 round, tak berani nak buat sekali gus. Rasanya pernah buat sebelum ni tapi takpelah, minta izin copypaste lagi ye Ros?

MUFFIN PISANG INTI COKLAT CHIP
@blogsurirumah

Bahan-bahanya
2 cawan tepung gandum
1 cawan suku gula ( kakpb letak 3/4 cwn)
2 biji pisang yang ranum
1\2 cawan minyak masak
2 biji telur (kakpb guna telor omega)
1\3 cawan ( suku) susu segar - yg ni kakpb guna susu cair + sedikit air
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 1/2 sudu kecil baking powder
beberapa titik esen vanila
beberapa ketul coklat dairy milk ( ros guna jenama meiji)- (kakpb ganti coklat chip)

 Cara-caranya
1. Hancurkan pisang dengan menggunakan gelas dan letakkan 1/2 sudu kecil garam.
2. Ayak tepung gandum bersama baking powder dan soda bikarbonat, kemudian pukul telur hingga berbuih baru masukkan gula, pukul lagi hingga kembang.
3. Selepas itu, masukkan pisang dan kacau sebati, kemudian masukkan minyak, dan tepung sedikit demi sedikit, titik kan beberapa esen vanila, akhir sekali masukkan susu segar, masa ni jangan guna mixer ye, guna spatula atau senduk kayu je.
4. Cedokkan adunan tadi didalam papercup muffin ( isikan 3/4 papercup) dan letakkan coklat di tengahnya, bakar pada suhu 170darjah selama 18 ke 20 minit, sejukkan atas redai dan tabur sedikit dengan sugar powder. Sedia untuk dihidangkan. 






Share jugalah foto birthday boy sebagai kenang-kenangan ketika di Sutera Harbour. Tempat ni dah seperti rumah kedua mereka setiap hujung minggu. Biasalah, budak2 kan suka swimming? Penat macamana pun mereka tetap nak main air lepas berseronok dengan magic show, pecah belon, tanding makan biskut, menari atas kertas dan banyak lagi hingga pukul 3 petang. Pakcik badut yang melayan pun pening kepala keletah mereka ni. Majoriti kawan2 mereka chinese, memang hyperaktif betul!!



Kisah LD setiap hari

Assalammualaikum semua, alhamdulillah pagi ni merasa juga hujan setelah beberapa hari kepanasan yang amat. Kakpb dan seisi keluarga masih dalam keadaan yang aman buat ketika ini, cuma mulut kakpb ni diserang 'mata ikan' or ulser mulut. Ramai famili yang call tanya khabar bagaimana keadaan kami di sini. Terima kasih banyak-banyak kerana mendoakan. Walau sebenarnya hati kakpb tidak tenang sejak kes Lahad Datu ni, kenapalah begini jadinya? Marilah kita berdoa, mudah-mudahan mereka yang dikatakan pengganas ini dibawa keluar dari bumi Sabah. Cukup tidak menggembirakan hati kami untuk bersantai tepi laut dan seumpamanya.

Semalam tengahari, kakpb sekeluarga celebrate birthday Aziz kat Kenny Rogers. Dia tak nak ibuayah belikan kek, jemu katanya. Jadi, kami pun plan makan yang mengenyangkan samada KFC, Chicken Rice Shop, Pizza Hut atau KR. Nak ke One Borneo, jauh dari rumah. Tambah pula anak kakpb kata ada khabar angin dari kawan2 dia, One Borneo telah dimasuki pengganas....hehe...cerita bebudak ni menakutkan je.

Balik dari KK, cikgu fahmi kata jom kita lalu depan kem askar nak? Saja nak tengok apa aktiviti mereka dalam tengah kecoh dengan isu LD. Masa lalu depan kem tu, kakpb nampak tentera kita sedang membina kubu-kubu di setiap penjuru kem. Kubu yang macam guni-guni beras tu laa.....disusun hingga tinggi paras dada gitu. Ramai berkampong di sana. Berdepan dengan kem adalah kawasan laut/telok, ada juga segerombolan tentera kita sedang berbincang atau berkawal. Ada pondok2 kecil yang dibina dengan daun2 kelapa. Berdebar-debar bila tengok. Kepala dah membayangkan 'perang' yang akan tercetus sekiranya pengganas masih belum berundur.

Aziz tanya, ayah masih nak tinggal sini lagi ke kalau terjadinya peperangan?
Ayah kata, tengoklah macam mana nanti. Belum pasti.
Ayah taknak balik semenanjung?
Kalau dah terok sangat, kita cabutlah.....tunggu apa lagi?
Dalam hati kakpb, aku ni takpelah....korang yang kerja, sekolah lagi....macam mana tu?

pssst: ada setengah pihak yang tak setuju kerajaan kita siarkan gambar mayat penceroboh di media..

Selamat Hari Lahir Cikgu Fahmi


Selamat hari lahir, moga di panjangkan usia, di murahkan rezeki untuk keluarga yang menyayangi mu dan moga kamu tabah, sabar dan redha atas segala ketentuan yang Allah telah tetapkan untuk mu.

Walau cikgu fahmi komplen, katanya hadiah yang kakpb beri tu 'mahal',  'CINTA' kami berdua terhadap dia lagi mahal tau. Taknak la cakap panjang, nanti melalut kelain pula. Celebrate simple saja, makan malam di luar sambil hulurkan kad dan hadiahnya. Entah apa yang si Aziz tulis, kakpb pun tak baca. Tapi ayah dia tersengeh2 kakpb tengok malam tu. Hadiah yang memang dia perlukan dan pernah di sebut-sebut untuk memilikinya.

nota kakpb:  ulangtahun perkahwinan kami tapi tak dapat celebrate..19hb Feb.

Happy Birthday to ME

Ayat 128-129 Surah at-Taubah


1. Ayat ini boleh memanjangkan usia dengan izin Allah jika dibaca secara berulang-ulang kali.
2. Jika dibaca tujuh kali setiap hari maka ia boleh memudahkan urusan dunia dan akhirat.
3. Jika dibaca pada pagi, ia boleh menjauhkan ancaman untuk hari itu, begitu juga jika di baca pada waktu petang, boleh menghindarkan ancaman pada waktu malam. InsyaAllah.
4. Menambah keteguhan iman seseorang.

(sumber dari Himpunan Hadis Nabi dan Doa Harian)

Rasulullah SAW bersabda, "siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan". (hadis riwayat Tabrani)


Banyakkan menyebut Hauqalah seandainya kita ditimpa sesuatu yang kita tidak sukai. Imam a-Nawawi berkata, itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah diri dan menyatakan bahwa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki sesuatu urusan dan tiada berupaya untuk menolak sesuatu kejahatan (kemudaratan). Serta tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT.

Hari ini hari lahir ibu yang ke xx (kaum hawa suka berahsia, jadi jangan tanya ye) Harapan ibu? Ibu mendoakan mudah-mudahan ibu di panjangkan usia, sihat walafiat dan dapat melihat perjalanan hidup anak ibu yang di kasihi hingga ke menara gading, insyaAllah. Ibu nak anak ibu berani hadapi cabaran hidup ini samada suka atau tidak. Seandainya ibu menutup mata, ibu nak anak ibu memandikan jenazah ibu dan sentiasa mendoakan setiap kali lepas solat.

Begitu juga ibu harapkan pada ayah, seandainya ibu tiada.....jagalah anak kita dengan sebaik mungkin. Jika ibu menutup mata dan ayah ada di sisi, siramilah jasad ibu dan ingatilah setiap inci jasad yang pernah berbakti kepada ayah. Tangan yang memasak hidangan lazat untuk ayah, kaki yang
menurut kemana saja ayah pergi, bibir yang senantiasa mendoakan ayah didalam solatnya, mata yang memerhatikan ayah dengan penuh kasih dan wajah yang tidak secantik 'idaman' ayah inilah yang sentiasa berada di sisi ayah saat sudah dan senang.

Terima kasih ayah (cikgu fahmi) kerana telah menjadi pelindung ibu yang terbaik selama melayari bahtera perkahwinan yang penuh ranjau duri ini. Akan ibu kenang segala jasa ayah hingga akhir hayat.

Terima kasih juga kepada teman-teman blog yang sentiasa berada di sisi maya ini, kamulah teman terbaik kakpb di dalam hati ini.



BLUEBERRY CHEESE TART, birthday Mizan

Assalammualaikum dan selamat berhari minggu semua.

Minta maaf sangat sebab kak pb tak sempat nak blog walking semalam. Line tenet pun buat hal, hari ni dah tambah quota, barulah ok sikit. Tapi kak pb tak sihat sangat beberapa hari ni. Entah kenapa bahagian belakang tengkok ni sakit benar, orang kata salah bantal? Mungkin kak pb tidur tak beralih dan bantal tinggi kot. Kekadang tengah berteleku atas katil dengan mengadap lappy pun mata boleh terpejam. Sampaikan rahang jadi sengal kerana bertongkat dengan tangan. Kelakar pula bila fikir balik.......mesti korang pun biasa macam tu kan? Tangan pegang remote tv tapi mata pejam......ada tak? Ada tu...

Semalam kak pb pergi partey......party birthday laaa.....anak makcik/pakcik hubby yang bongsu. Buat kat Sutera Harbour (mereka memang ahli kelab tu). Kak pb sampai dah lewat, pukul 2 lebih baru terjengol. Game dah mula dengan badot 3 orang melayan bebudak tu. Sebab lambatnya, kak pb buat cheese tart yang makcik tempah. Alah.....ciput je, 50 pcs, tapi ada selingan yang lain menjadikan lambat keluar rumah.

Kelakar tengok bebudak ni berlimbo rock, aktif betul semuanya. Anak makcik ni sekolah cina jadi majoriti yang datang chinese ler. Rupa dia pun ada sikit2 cina kan?


Cheese tart kali ni kak pb guna resipi dari Ita Masam Manis, yang asalnya dari dapur Azita Zain. Tapi kak pb punya shell tu kurang garing sebab kak pb memang suka macam ni.......hehe....nak cover silap la tu. Takde silapnya, dah bakar macam biasa, cuma mata ni kena tambah power spec kot. Nampak dah kuning masak, rupanya.....tapi kira masak la tu. Fillingnya memang blueberry tapi tak sempat nak buktikan, jadi bayangkan je tau.

Tak sempat keluarkan dari acuan, dah snap gambar. Ni pun yang last bakar, lain-lain dah masuk paper cup dan kotak. Siap untuk di bawa. Kak pb minta izin kongsi di sini ye Ita. Sebelum ni buat juga cheese tart tapi guna resipi lain. Masa tu memang tak reti langsong nak deko bunga2 tu, main tibai je. Cuba tengok kak pb buat dulu, kelakar kan?

Bila dah baca satu persatu Ita punya blog, barulah siuman sikit kak pb punya cheese tart. Bunga pun adalah rupa walaupun kaler main ikut sedap suka suki aku je! Ok la.....walau dah ramai yang tau, kak pb kongsi/copy juga di blog ni untuk simpanan di hari tua kak pb. Aik? muda lagi ke?

BLUEBERRY CHEESE TART 
oleh: blog surirumah
sumber: Azita
copy: Ita Masam Manis 

170gm marjerin atau butter
50gm gula aising
1 biji telur Gred C
290gm tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla
acuan tart 
 
 Pukul marjerin dan gula dengan menggunakan senduk kayu atau spatula. Jangan putar lama sangat.
Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi dengan senduk kayu.
Masukkan tepung sedikit demi sedikit.
Uli hingga menjadi doh yang lembut. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh.
Untuk mendapatkan doh yang baik masukkan doh dalam plastik bag dan simpan dalam peti ais semalaman.
 

Ambil sedikit adunan dan tekan ke dalam acuan tat. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar.Bakar pada suhu 170C selama 20 - 25 minit atau sehingga masak.
Crust atau shell ni kita boleh sediakan awal. Simpan dalam bekas kedap udara dan ia tahan lama. Tunggu Crust atau shell benar2 sejuk sebelum kita letakkan filling dan cheese. 
 
untuk filling
250gm cream cheese
50gm gula kastor / gula halus
1 biji telur Saiz B
½ sudu teh esen vanilla / esen lemon

Keluarkan cream cheese 20 ~ 30 minit sebelum digunakan. JANGAN biarkan cream cheese mencapai ke suhu bilik.
Putar cream cheese dan gula hingga berkrim.
Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi.
Ambil sedikit cream cheese tadi dan titikkan sedikit pewarna yg kita suka. Kacau rata sehingga warna bergaul sempurna. Proses untuk melorek dilakukan ketika cheese tadi masih lembut. jangan biarkan cheese terlalu lama nanti dia dah mula mengering dan proses melorek tidak secantik yg kita inginkan.
(bab ni baru belajar, terkial2 melorek dgn pencungkil gigi)
 
 
  1. Dengan menggunakan pencungkil gigi, buat garis kecil2 di bahagian tepi.
  2. Bilangan garis2 kecil tersebut mengikut citarasa sendiri lebih banyak lebih cantik!
  3. Kemudian dengan menggunakan bahagian yang tajam, tarik daripada atas ke bawah  dalam bentuk bulatan untuk mendapatkan bentuk tersebut.
 Bakar selama 5 minit pada suhu 170C. Sentuh cream dengan hujung jari. Jika tidak melekat, maknanya telah masak. Jika tidak, bakar dalam seminit lagi.

Fuhh.....panjang lebar cikgu Ita menulis, susah payah dia buat untuk kita semua. Besar pahala tu Ita, terima kasih banyak dan mudah2an perhubungan kita sesama blogger berkekalan hendaknya dengan memanjangkan resipi ini.

Happy birthday suami ku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi... SURAH AL-MAIDAH,AYAT 88:"Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan oleh Allah kepada kamu,iaitu yang halal lagi baik,dan bertakwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman"

Semoga dimurahkan rezeki, sihat tubuh badan dan dimurahkan rezeki hendaknya. Hanya ini santapan kita dipagi hari, untuk mengeratkan lagi kasih sayang kita sekeluarga.

Si bujang kecik taknak sekolah tadi, katanya nak cuti sempena birthday ayah. Tapi tak dibenarkan, cuma sekolah agama nanti diberi kelonggaran.


Ulangtahun ku, nak beri hadiah siapa dapat teka....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Shukur alhamdulillah, dipanjangkan lagi usia pb di samping suami dan anak yang di kasihi. 15hb October, 19..... pb di lahirkan oleh seorang 'malaikat' yang cukup sabar dan tabah. Walau dalam kesempitan hidup, dalam keadaan berbadan dua, masih mengangkat air dari perigi. Ketika itulah katanya, pb di lahirkan. Allah menyelamatkan 'malaikat' itu dan anaknya kerana dia telah berkorban mengandungkan selama 9 bulan didalam perutnya.

'Malaikat' yang pb maksudkan adalah ibu pb.

'Emak' terima kasih kerana telah melahirkan ku.
Walau hanya 2 tahun aku dapat merasa kasih ayah, tak apa mak.
Emak kan ada? walau tidak semua kisah duka ku dapat ku kongsi bersama mu.
Kerana tidak mahu merunsingkan fikiran mu.

Mungkin 'Emak' sudah lupa tarikh lahir ku.
Tiada ucapan dari mu......
Apa yang penting bagi ku
Aku bangga dilahirkan dari rahim mu....


Oh ye, pada teman2 yang jadi follower pb atau tidak, pb ingat nak bagi hadiah sempena hari lahir pb ini. Nak hadiah, kena la jawab teka teki kan?

Hadiah apa? ermmm.....minyak wangi nak? satu kotak tau.....
Soalannya?

CUBA TEKA, APA HADIAH HARI JADI PB tahun ni?
Jawab, jangan tak jawab.
Pb bagi masa hingga hujung bulan October ni je!!

Kek Coklat Cheese n birthday

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Hari ni birthday anak ku, dari semalam lagi aku dah prepare buat kek coklat cheese untuk dia. Punyalah berselerak rumah padahal keknya sebiji je......hehe.....

Jadi malas nak update panjang2, korang pun bosan jugak nak baca. Resipi aku ambil drp cikmanggis tapi kek ku memang tak cantik gambarnya. Sedap memang sedap.......lebih2 lagi pada pencinta cheese macam anak ku. Bukan tak boleh beli untuk birthday dia, saje je nak menyusahkan diri sendiri. Itulah gunanya ada ibu yang surirumah sepenuh masa. Dengan bangga dia cakap kat kawan2 dia.......kek ni ibu aku buat sendiri tau! Ibu dia pun apa lagi, dalam hati ada sikit kembang daaa....

Cik Manggis, saya copy paste dari blog puan ye!

Bahan-bahannya:)

(A)
180 gm butter
20 gm serbuk koko
170 gm gula halus
4 biji telur
120 gm tepung naik sendiri (tepung ni takde, saya guna tpg gandum + 1 sk baking powder)
1 tsp baking powder

(B)
500 gm cream cheese
120 gm gula halus
1 tsp esen vanila
2 biji telur

Cara-caranya:)

(A)

  • Ayak tepung,serbuk koko dan baking powder 2x-ketepikan
  • Pukul butter dan gula hingga gebu
  • Masukkan telur dan pukul lagi .
  • Kemudian masukkan tepung dan kacau sampai sebati-ketepikan
(B)


Pukul keju hingga kembang.Masukkan gula,pukul lagi hingga gula hancur.
Masukkan telur dan esen vanila dan pukul hingga adunan benar-benar sebati

  • Sapukan loyang dgn butter dan alas dgn kertas minyak.
  • Tuangkan separuh adunan (A) kedalam loyang.
  • Kemudian tuangkan (B) hingga habis.. keatas (A)
  • Akhirnya tuangkan adunan(A) yang separuh lagi ke atas(B)
  • Bakar hingga masak.
Agak lama aku rasa membakar kek ni, lebih dari 1 jam rasanya. Lepas siap bakar, sejukkan dan toppingnya aku ambil dari buku chef Anuar. Hias dengan coklat kaler merah (jangan tak percaya, aku buat tu) ikut dalam buku cara2nya. Sepatutnya coklat putih lebih sesuai, dah itu je yang ada kat rumah. Malas la nak membazir beli lain. Lagi pun minggu ni dah sibuk2 kemas nak balik semenanjung cuti sekolah nanti. Hati dah kat sana!!




Gambar tak berkualiti, kamera tak repair lagi (bukan rosak rasanya, tuan dia tak pandai nak setting bagai). Takpe, tunggu acik kayo.......beli Nikon yang ramai orang guna sekarang, jeles aku tengok gambar kat blog member2 semua cantik. Tapi kena sabar, dulukan mana yang lebih penting.

Kepada anak ku yang di kasihi, ibu tak kisah penat buat kek asalkan anak ibu gembira hari ini. Pagi tadi kita dah makan di pizza hut, seronok kan? Takde hadiah mahal2 tahun ni, apa yang penting kita bersyukur di beri peluang merasai kehidupan ini dengan keluarga tercinta. Di panjangkan usia, dapat menikmati kegembiraan bersama kawan2. Ibu dan ayah tidak mahu memberi kemewahan tanpa had pada mu kerana ibuayah mahu kamu belajar hidup sederhana. Cuba lihat orang lain yang tidak sempurna, tiada kasih sayang ibubapa, tiada pelajaran kerana desakan hidup tidak mengizinkan. Syukurlah, kita memiliki semua yang diingini.

Selamat Hari Lahir dari kami, ibu dan ayah doakan Aziz menjadi anak yang soleh. Amin.

Selamat hari lahir untuk mu!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

 Selamat panjang umur untuk suami ku yang tercinta. 'Ibu' harap 'ayah' gembira, panjang umur, murah rezeki dan diberkati olehNya apa saja yang 'ayah' lakukan di dunia ini.

Tiada hadiah mahal dari 'ibu' hanya doa dan harapan moga kita kekal selamanya. Tiada kata2 indah, tiada hadiah berjenama, namun 'ibu' berikan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

Kali ni kita sambut birthday di Tawau. Nak celebrate macam mana pun tak tahu lagi ni. Mungkin hanya makan2 di luar kot. Esok hubby ku mula bertugas jadi hari ni kami mungkin kena cari hotel di Tawau. Rasanya tak jadi nak tidur rumah anak saudara. Dengar khabar ramai tetamu kat rumah dia. Hotel pun hotel la.......

Semakin tua...

Salam Sejahtera....

Syukur ke hadrat ilahi kerana melanjutkan usia ku sehingga kini aku bernafas, mampu menyedut udara nyaman di bumi Allah ini. Aku masih boleh menghidangkan juadah untuk mereka2 yang ku kasihi. Aku masih mampu melakukan apa yang aku sukai. Paling penting, aku masih boleh membebel kat anak dan suami ku tentang cawan bersepah atas meja lepas minum, kain baju berlonggok sana sini dan bla...bla..bla....hehe...

Alhamdulillah aku masih boleh menadah tangan memohon ampun kepada Dia yang Satu. Takkan ku lepaskan peluang ini untuk meminta segala yang terbaik untuk keluarga ku dan seluruh umat Islam amnya. Terlalu banyak yang aku minta, kadang kala terasa malu pula kerana sedikit sangat ibadat ku terhadapNya. Tapi....aku tahu, Dia maha pengasih lagi penyayang, maha pengampun dan maha mengetahui.

Ada yang ku minta, belum pernah tertunai. Mungkin ada hikmah disebaliknya dan aku sedar......tidak semua didunia ini akan kita perolehi. Dia lebih mengetahui segalanya. Aku redha dan pasrah....sering bermain di fikiran ku, inilah takdir namanya. Mungkin tiada yang memahami perasaan ku tapi.......hanya Dia yang tahu....Dia yang menentukan, mahu atau tidak, suka atau duka, hidup atau mati, sayang atau benci.....aku hanya mampu menadah tangan, memohon lindungi aku dari segala godaan syaitan......tabahkan hati menempuh dugaan hidup yang hanya pinjaman ini.

Berseloka pulak ye? Hari lahir aku ni, biasa2 je sambutannya, keluar makan malam dan lepak2 kat rumah. Dah semakin tua ni, malas nak seronok2 sangat cuma gembira kerana dipanjangkan usia dalam keadaan yang lebih baik dari mereka yang kurang bernasib baik di luar sana. Kemudian hari nanti, tak tau pula nasib ku bagaimana. Bila fikir hari tua, macam2 terbayang di fikiran. Ada tak orang sayang pada ku lagi? Ada tak anak yang akan pimpin ku jika keluar makan di restoran? Siapa yang akan membela ku ketika aku sakit? Entah la.......tak tercapai akal ku!!

Untuk kawan2 yang telah mengucapkan selamat hari lahir, terima kasih banyak2. Aku rasa tahun ni paling ramai wish kat aku di facebook. Kamulah teman2 ku ketika kesunyian dan aku sayang kamu semua!!!

Selamat panjang umur utk AKU

Salam Sejahtera....

Selamat HARI LAHIR untuk aku.........moga rumahtangga ku aman damai, bahagia selamanya.

Tiada sambutan meriah seperti artis atau surprise birthday cake macam orang lain, tapi aku tak kisah.

Apa yang penting, orang yang ku SAYANG ada di sisi saat2 aku dalam kesusahan atau senang.



'orang sebelah' belanja makan McDonald pepagi tadi..........dating berdua je tanpa anak sebab dia sekolah pagi. Jadi la......daripada takde (bak kata Rashid Sibir)

Terlanjur dah ada entry pasal birthday ni, aku nak ucapkan Happy Birthday juga pada teman2 blogger yang berbintang Libra seperti CHERYNA (13hb lepas) dan juga pada famili yang sama bintang dengan ku seperti Mak mertua dan adik ipar ku.


Malam nanti kata hubby nak belanja makan lagi kat luar. Tengok la kalau aku ada mood. Aku ni jenis yang malas nak melepak malam2 kat luar. Bagaimanapun aku nak ucap terima kasih kat dia. Ini pun dah cukup sempurna. Alhamdulillah.

SELAMAT PANJANG UMUR KAKAK

Pukul 8.30 pagi aku dan suami ambil kakak dan abg ipar di hotel Daya Kinabalu, sarapan di Sembulan. Selesai makan dan sembang2, kami terus hantar mereka pulang ke hotel semula. Rupanya........hari ni mereka nak tukar bilik yang lebih selesa (sebelum ni abg ipar ku tak puas hati bilik yg di booking oleh staff dia). Biliknya lebih besar, selesa dan ditingkat 11. Walaupun tinggal beberapa hari je nak balik, kira ok la tu................takde la sempit macam dulu.

Lepas tolong angkat barang kebilik baru, rupanya ada surprise untuk kakak..........ada kek harijadi......laa...aku pun lupa birthday dia. Sedangkan selama ni aku selalu ingat birthday adik beradik. Dalam lima orang adik beradik ku, aku sorang je bulan october (tu pasal lain skit...hehe..) mereka semua sambut birthday bulan julai.

Sambung balik kisah tadi. Rupanya, dia pun lupa birthday sendiri. Kami berempat pun potong kek dan bergambar untuk kenangan dalam bilik hotel. Aku pula tak bawa kamera. Handphone ada tapi nak save kat komputer tu yg problem sikit. Takpe, nanti aku suruh abg Ramli emailkan.

Di sini........aku nak ucapkan terima kasih banyak2 pada mereka kerana selama mereka disini, aku benar2 gembira. Bukan sebab selalu belanja makan diluar tapi aku ada teman untuk luah segala masalah selama berada di Sabah. Sebelum ni hanya handphone sebagai penghubung, tak puas rasanya.

Akhir sekali...........selamat panjang umur dan murah rezeki pada kakak ku yang tercinta. Moga kehidupan kalian diberkati, di rahmati dan kekal berdua hingga keakhir hayat. Amin.

~~Happy Birthday Mizan~~

Sabtu lepas, kami pindah.........kali ni.....insyaAllah, takkan pindah lagi kot......kalau tuan rumah ok.....tu yang aku tak sempat 'jalan2' ke blog member. Blog sendiri pun terabai. Proses mengangkut barang dan mengemas rumah tak abis2. Ada 2 bilik lagi menunggu untuk di kerjakan........apa tak tertangguhnya? ada selori barang tuan rumah tak angkat......sian dia.....mana sibuk nak tukar sekolah anak, nak kemas barang lagi......laki bini kerja.....jadi, satu bilik kecil kat rumah ni, di buat stor barang dia orang.

Tak payah cerita pasal pindah la......boring pulak.....kisah orang pindah ni, bukannya best pun......nak cerita hari Ahad lepas, kami dijemput ke majlis hari jadi anak kepada pakcik belah suami. Hamizan namanya, teman rapat Aziz di Sabah ni. Dengan hidangan soto mihun, bubur kacang dan ayam kfc. Simple je, mama dia sibuk manjang, nasib baik buat jugak kecil2an dan jemput kawan2 rapat dia.
Aku sekeluarga sebenarnya banyak terhutang budi dengan mereka ni. Hanya Allah saja yang dapat membalasnya. Pakcik suami ni dah puluh tahun menetap di Sabah, kalau dia cakap loghat sabah, confirm orang tak kata dia orang semenanjung. Mereka berdua memang berhati mulia, tidak meninggi diri, low profile dan berbudi bahasa. Aku dan suami bangga dapat mengenali keluarga ni..........
Dalam pada menyambut hari lahir Mizan yang ke 6, sempat juga kami selitkan sambutan hari ibu. Ada la sesi bergambar untuk ibu2 tapi tak dapat ku siarkan kerana perasaan malu ku ini.....ahak....kat gambar tu....aku tambah montel lak.......

Masa sesi sembang2 kaum ibu ni, aku baru kenal dua tiga orang kawan2 makcik ku ni. Kak zu namanya......peramah gila.....tak henti2 mulut dia bercerita. Dalam banyak2 cerita dia tu.......ada satu yang aku nak share di sini......kisah anak2....dulu dan sekarang.

Anak kak zu ni study lagi di uitm skudai. Kalau balik sana, selalu talipon mak dia, rindu nak makan sambal ikan bilis. Kak zu kata, dia bangga sangat kalau anak rindu nak makan masakan dia walaupun tak sedap mana. Anak2 sekarang, mana yang selalu mak dia tak masak (makan luar) kerap nak makan kfc, mcdonald dll. Umur baru 3 tahun dah pandai nak kfc, kata dia. Makcik ku pula sampok, dia dulu masa kecik2, time makan mesti di suap oleh mak dia........berderet2 duduk bersila tunggu di suap dengan tangan, lauk telur goreng dgn kicap je.....takde lari sana sini macam bebudak sekarang, nak di suap bukan main susah. Aku tumpang dengar dan tumpang sengih..........macam2 hal.......kesimpulannya, anak2 yang merasa makan dari air tangan ibu masing2 lebih mesra dengan ibubapa dan adik beradik......hemm...ada betulnya juga kan?

Potong kek dan doa selamat

Happy dapat hadiah dari Mizan dan kak Liana dia...

Hidangan simple........soto nasi impit, karipap kentang dan sadin, cucur badak dan mihun goreng. Nak buat banyak pun bukan ramai yg di jemput, takut membazir pulak. Lagipun periuk dirumah ni kecik je..........

Nampak tak sabar nak potong kek. Mulanya dia nak tiup lilin tapi ayah dia tak berapa suka, jadi kami baca doa selamat je. Lepas potong kek.........bebudak ni bukan nak makan, tapi pergi main ps2 kat bilik pulak. Padahal sebelum orang datang, dia yang beriya2 nak makan.

Kek Ben 10 pilihan dia kali ni.




Selamat panjang umur Aziz!!!

Hari ni genap 7 tahun umur Aziz. Aku takde beli hadiah untuk dia, hanya 2 bji kek mini, itu sementara je sebab hari isnin nanti baru nak celebrate. Kek 'Ben 10' dah tempah........saje nak sambut hari isnin sempena Maulidul Rasul dan kebetulan anak makcik yg jadi best friend dia tu balik KL sekarang ni. Ahad petang baru ada di sini.

Balik sekolah tadi dia terus mengadap kek tu. Kesian pulak aku tengok.........sorang je.....tapi Aziz ni jenis tak kisah......tapi ada juga plan nak bagi 'sesuatu', mungkin bukan sekarang......

Memandangkan takde potong kek harijadi, aku masak nasi ayam kesukaan dia. Walaupun kesukaan dia, makan takde la banyak mana........ala kadar je buat nasi ayam tu. Tapi sejak di Sabah ni, aku tak jumpa lagi di restoran nasi ayam style aku buat ni (mcm kat semenanjung ada sambal lada...).

Masa makan ni, teringat kat keluarga di sana. Kalau la mereka ada, kan best...........baru ni ada talipon mak, tak sihat rupanya dia. Ada juga pelawa dia datang Sabah. Kalau dia setuju tinggal lama sikit di sini, seronok juga, aku ada kawan. Tapi........orang tua ni liat sikit nak tinggalkan rumah......bukan mak aku je, aku rasa ramai warga emas yg begitu sikapnya. Harap2 dlm tahun ni dia boleh datang............insyaAllah....