my best friend forever

iklan nuff

Sila godek

Memaparkan catatan dengan label pemberian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pemberian. Papar semua catatan

Majlis sanding Idham & Suryanie dan cenderahati Sariyusa

Assalammualaikum teman-teman yang kakpb kasihi,

Terlebih dulu maaf kakpb pinta kerana begitu lama tak update blog. Tapi siapa kisah kan? Kakpb bukan orang popular yang ditunggu2 ceritanya setiap hari. Bagaimana pun terima kasih pada teman2 yang sudi berkunjung walaupun kakpb belum sempat membalas kunjungan itu. Sejak balik dari KL, letih majlis sanding anak saudara belum hilang, sambung pula aktiviti kat rumah sendiri. Kain baju 4 kali mesin, lauk dalam peti dah kosong, kena pergi pasar.

Oh ye....kakpb terima kiriman dari Sariyusa setelah kakpb sampai di KL. Cikgu fahmi yang terima kiriman dan dia bawa balik KL pula. Nanti kakpb upload gambarnya. Sekarang ni susah beno nak upload foto dari handphone, tu yang lambat update blog.

Ok la...serba sedikit kenduri kahwin pihak lelaki sebelah kakpb. Buat simple tapi meriah. Pelaminnya pengantin yang buat sendiri, kesian kan? Majlis dibuat pada waktu malam sabtu, masa tu JDT lwn Kelantan. Abang ipar kakpb siap pasangkan layar lebar area menhidang untuk memudahkan budak2 yang bertugas di dapur dapat sama menontonnya. Semuanya anak2 Kelantan yang tolong2 kat dapur kami. Tuan rumah pula, Kelantan kahwin dengan Johor, perang habis!!


Simple je kan? Pukul 9.30 mlm baru pengantin terjengol. Janjinya pukul 8.30 mlm. Kakpb tak sempat snap foto pengantin dekat2 sebab sibok dan orang pula ramai. Juru makeup oleh Norul Syukur yang glamer tu.....memang cantik dan nampak natural kerja dia.


Hitam putih tema kad kahwin mereka, begitu juga meja dan kerusi tetamu.


Ada persembahan 'abang api' sebelum pengantin masuk kedalam. Budak2 suka sangat kerumun. Sebelum tu mereka pasang bunga api, dah macam nak raya pulak!!


Cikgu fahmi nak juga snap foto kat layar detik2 Kelantan menjunjung piala kemenangan. Kesian dia. Adik2 dia turun dari Kelantan tengok bola kat stadium tapi dia tengok dengan anak je....

Dalam sibuk2 kehulu kehilir tu, kakpb terjumpa kawan lama kakpb masa kerja dulu. Dia sedang lepak dengan Isma Alif ni. Ramah orangnya dan paling terok, gila-gila. Memang betul la dia ni pantang dapat mikrofon. Entah berapa lagu dia nyanyi malam tu. Sebenarnya ada persembahan dari kawan pengantin sendiri bersama piano tapi tak sempat kakpb ambil gambar.


Menyanyi sambil melawak...Isma...Isma...



Last sekali, puan blog nak juga tayang muka yang keletihan tu. Kakpb dah lama sangat tak jumpa sepupu kakpb dari Singapore ni. Hujung tahun dia suruh pergi sana, takyah tidur hotel katanya, tidur rumah dia. InsyaAllah dah lama tak ke Singapore. Lama sangat tak jumpa saudara mara sana.




Setakat ini dulu yang dapat kakpb kongsi. Cerita kenduri, perkara biasa je takde istimewa sangat. Akhir sekali gambar kiriman rempah dan cenderahati dari SARIYUSA untuk kakak dia yang belum pernah jumpa ni...hehe..SAAAAYANG KAMU, PELOK ketat2!!


Bye...jumpa lagi.



Kiriman dari kakak

Assalammualaikum semua, kak pb beberapa hari ni rasa sunyi sangat (baru je sehari sebenarnya...hehe) sebab encik hubby hampir seminggu di Sandakan. Kak pb mula puasa dengan izin dia, tak lalu sangat nak makan berdua, baik puasa. Nampaknya tidak ada la gambar masakan kot......agaknya la.....nak makan sedap-sedap teringat pula dia yang jauh. Alhamdulillah, setelah call berkali-kali tak dapat dari siang sampai ke malam, akhirnya hubby sampai dengan selamat ke sana dalam pukul 10 malam. Dia call pun kak pb dah tidur.

Semalam, bakal anak saudara (tunang kpd anak saudara, orang sabah juga) datang ke rumah bawakan barang-barang kiriman dari kakak yang kak pb pesan.


Paling kak pb suka bila dapat Puff Pastry tu, tak la sakit hati cemburu tengok blogger tayang puff masing-masing kat blog, kita pun adaaaaa......Kakak tolong carikan juga permintaan kak pb rempah bukhari tu. Kat sini tak jumpa, dah lama intai kat Survey dan Giant, haraaaaam.....takde! Minuman segera cereal jagung tu pemberian dia, kak pb suka tapi kat sini macam tak jumpa je.

Terima kasih kakak ku sayang, juga Aneng/Suryani yang susah payah membawanya. Baju yang tinggal dulu pun di bawa sekali. Harap pemberian kami tempohari dah selamat sampai ke tangan masing-masing.


nota kak pb: apa ayah makan agaknya?


Saya tak mampu cikgu...

Hari Guru baru saja berlalu meninggalkan seribu kenangan, mungkin....kepada guru-guru semua. Walau kak pb bukanlah guru, sebagai isteri guru kak pb juga turut merasainya apa yang mereka rasa, sedih, gembira, kesal dan sebagainya kerana kak pb menjadi tempat suami mengadu.

Anak bujang kata, tahun ni anak murid ayah ada perubahan. Perubahan apa? Katanya tahun ni ayah banyak sikit dapat hadiah.....hehe.....budak ni, itu pulak yang di fikirkan. Ayah tak kisah anak murid bagi hadiah ke tak. Dulu-dulu pun dah berbakul ayah dapat, sampaikan ada lagi dalam kotak yang tersimpan kemas. Biar pun kecil, ayah tetap hargai.

Masa balik dari sekolah hari tu, anak bujang yang tak sabar nak buka hadiah. Tapi ibu larang sebab.....ibu nak bergambar dulu....hehe.....lepas makan, sembahyang, belajar......barulah sesi membuka hadiah berlangsong.

Ada yang bagi coklat, gelas, mug haruslah ada, jam, frame dan paling melucukan ada yang balut buah limau bali tapi jenis kecil. Anak bujang ingatkan bola.....haha....siap sepak-sepak lagi, rupanya limau.
Tahun ni ayah agak seronok kerana dapat pujian dari cikgu-cikgu sesi pagi. Sebabnya ayah dapat buktikan pasukan kriket sekolah dia terpilih (sorang je murid yang pergi tu) untuk bertanding peringkat negeri di Johor nanti. Maka katanya berduyun-duyun murid datang nak join kriket. Ayah senyum je......dulu sorang pun tak peduli. Ayah susah payah beli barang kriket beratus ringgit guna duit sendiri, taknak harap duit sekolah. Sampaikan bat kriket pun dah patah sekarang ni. Nak ganti baru bukan murah. Tapi ayah tak berkira, keluar duit, keluar peluh demi anak murid dan minat.


 hadiah selepas sesi mengoyak balutan....

Ada sorang anak murid ayah, datang pada dia dan ucapkan selamat hari guru dengan wajah sayu. Katanya, cikgu maaf ye, saya tak beli hadiah untuk cikgu. Ayah jawab, tidak apa.......yang penting, saya nak awak belajar sungguh-sungguh, hadiahkan kejayaan untuk cikgu.

Lantas dia pun peluk ayah erat, penuh kasih dan sayang.......ibu pula yang syahdu mendengarnya.
Anak ibu pun tersengih je dengar cerita ayah. Ucap hari guru, hari ibu pun kena suruh, kena ingatkan......kalau tidak.....entah la...anak lelaki mungkin kurang sensitif benda-benda begini. Sabar je la ibuuuu...

Nak selit juga bab-bab masakan.....

ni kuih kundas (mengikut dalam resipi) tapi kita orang biasa panggil jemput-jemput manis je....

Emak biasa buat dulu-dulu, tepung gandum secawan, 3 sudu gula, 1/2 st soda bikabonat, 1/2 cwn air. Kak pb ikut sukatan dalam blog siapa tah....maaf la lupa pula. Kak pb goreng pun main tuang atas minyak gitu je, takde bentuk-bentuk, tak kuasa. Dapat sepiring untuk sarapan pagi semalam.







Good Friday dan cenderahati dari Niezza


Terima kasih pada Our Journey Begins, NIEZZA kerana susah payah buatkan cenderahati untuk kawan-kawan bloggers. Tak dapat pegang bunga yang real, dapat tatap gambar pun jadilah. Bagi kak zana, Niezza seorang yang baik budi dan peramah. Walau kita belum pernah bersua muka (jumpa kat blog dengan facebook je) kak zana rasa mesra sangat seolah dah kenal lama dengan Niezza. Tak sombong walau kakzana ni tak berkerjaya macam orang lain. Setengah blogger tu akan pilih-pilih kawan yang dia suka (jangan ada yang terasa ye, ini kenyataan) Harap persahabatan kita berkekalan hingga Niezza pulang menetap di Malaysia....eh tak....hingga bila-bila. Amin.

Hari ni Good Friday bagi mereka yang beragama Kristian. Pb tak pernah pula tanya pada mereka-mereka ni walau ada jiran yang kerap ke gereja. Majoriti jiran pb depan, kiri kanan dan belakang semuanya beragama Islam. Jadi pb google sikit untuk pengetahuan kita.

*assalamualaikum Berikut sedikit informasi saya kutip dari laman Wikipedia: Hari Easter merupakan kepercayaan penganut agama Kristian bahawa Jesus Christ telah dihidupkan kembali (dibangkitkan) pada hari Ahad itu. Lazimnya ia disambut antara akhir bulan Mac dan akhir bulan April setiap tahun (awal April hingga awal Mei bagi penganut Kristian Timur), menurut kitaran bulan. Sebelum perayaan Easter, Minggu Suci (Holy Week) disambut oleh mereka dan pada Jumaat sebelum Easter dikenali sebagai Good Friday iaitu hari Jesus telah disalib. Pada Ahad Palma (Palm Sunday) yang menandakan permulaan Minggu Suci, setiap penganut akan diberikan daun palma yang telah diurapi oleh para paderi. Perayaan Easter terkenal dengan pemberian telur berwarna-warni yang berisikan coklat. Tradisi memberi telur sebenarnya bukan tradisi Kristian tetapi merupakan tradisi kuno Yunani merayakan datangnya musim bunga. Perayaan musim ini selalunya dirayakan dengan meriah mengiringi kegembiraan meninggalkan musim dingin yang suram dan beku. Telur adalah lambang kesuburan


Pb tak pernah tengok mereka ni memberi telor dan sebagainya. 

  Kita telah ketahui bahawa Hari Easter merupakan hari di mana penganut agama Kristian mempercayai bahawa pada hari itu Jesus Christ telah dihidupkan kembali (dibangkitkan). Hari Easter atau dengan nama lain sham al-nasim dll turut dikongsi sama perayaannya oleh bangsa Firaun kuno, Yunani kuno, Yahudi dll yang berlaku perkembangan & perubahan. Aktiviti mewarnakan telur dengan warna merah (walaupun kini telah diwarna warnikan) itu melambangkan darah Jesus Christ. Justeru, merayakan Hari Easter & menjayakannya adalah bertentangan dengan akidah Islam. Adapun hukum memakan telur itu tidak dibolehkan & seboleh mungkin jangan diterima langsung pemberian telur & barang-barang lain yang berkaitan dengan perayaan Hari Easter ini, kerana;
 1-Barang-barang tersebut adalah syiar perayaan Hari Easter.
 2-Mereka (penganut agama tersebut) memakannya sebagai ibadat
 3-Perbuatan menerima, memakan dll akan menyebabkan kita tasyabuh (bersikap menyamai mereka) & seolah-olah membenarkan agama mereka.

 Firman Allah SWT di dalam surah al-Kafirun yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku."

sumber :iluvislam 

Semoga serba sedikit dapat membantu kita dan mungkin ada kawan-kawan lain nak share, silakan komen.

nota: terima kasih pada yang rajin singgah blog picisan ni, sangat menghargainya dan insyaAllah, masa terluang kak pb jelajah blog korang.

Souvenir dari Bandung, tunggu giliran kami....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi... SURAH AL-MAIDAH,AYAT 88:"Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan oleh Allah kepada kamu,iaitu yang halal lagi baik,dan bertakwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman"

Semalam adik ipar pb balik dari Bandung dan Langkawi, bercuti sakan dia, bujang la katakan. Dari Bandung terus ke Langkawi, shopping lagi. Cantik juga pemandangan di Tangkuban Parahu dan lain2 tempat. Bila la turn pb nak kesana, merancang dah lama. Mungkin kalau ada rezeki tahun depan kot. Pak sedara hubby ada job kat Jakarta, selalu pelawa pergi sana tapi takkan nak orang belanja kan?




Adik ipar pb belikan abang dan adiknya t-shirt sorang satu. Ada juga keychain, telekong untuk mak, baju melayu untuk abah, sandle, baju untuk anak sedara dia. Katanya habis dalam RM1000. Nampak gaya dari ceritanya, barangan kat sana lebih murah dari tempat kita. Kalau pb pergi, pb nak beli telekong dua tiga pasang........berangan ni....


Keychain dan fridge magnet juga menarik, terima kasih ye.........lenkali kalau pergi tempat lain, buat macam ni lagi tau, tanda kasih, betul tak?

Tempat paling disukai dan barang disukai

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Hari sabtu lepas (ingat nak buat entry malam tu tapi mata ni ngantok gila) pb sekeluarga window shopping lagi. Tiap2 minggu window shopping ek? Saje nak exercise kaki, kan bagus jalan kaki untuk kesihatan....hehehe....(lepas tu lengoh mula cari anak soh urut kaki ibu dia)

Hubby sibuk cari t-shirt, entah angin apa tetiba nak beli t-shirt sedangkan dia tu payah beno nak beli baju. Kena marah, kena bebel baru beli. Dapat 2 barang dia, kami pergi isi perut kat kfc pulak. Sebenarnya dah muak juga makan bendalah tu tapi ikutkan selera anak, makan la jugak.

Lepas tu ingat nak balik dah tapi kebetulan Body Shop hantar message, ada offer sehari je (29hb tu la) sempena Deepavali dan kebetulan birthday pb baru lepas. Dapat 50 peratus potongan untuk barang yang dibeli. Pb memang guna barangan ni. Hubby kata beli la apa yang awak nak. Senangnya dalam hati.........




 Harga? takyah bagitau la ye.......biasa2 je berbanding dengan orang yang berkerja, pb dah bersyukur dapat barangan ini. Terima kasih En Hubby......tapi......terdetik juga di hati. Ada apa-apa ke? Tetiba baik hati hari tu. Bukan la nak buruk sangka tapi apa yang pb tengok dalam drama dan baca di majalah, kalau orang lelaki 'buat baik' ada maksud tertentu....hehe....Harap2 tidak bermaksud nak pasang dua kan?

Teringat dialog kat petrol pam hari tu, dia tak mati enjin kereta masa isi minyak. Habis je isi, pb tegur, kenapa tak mati enjin, kan salah? Dia jawab, kesian kat awak, nanti panas pulak (alah, selalunya matikan enjin pb ok je, tak merungut pun)
"Sayang bini la ni?" macam perli je dialog pb tu.
"Abis tu?" dia jawab.
"Sayang bini la ni?" pb tekankan lagi sekali sambil tersengeh...
"Abis tu? sayanglah!" serius je muka dia cakap 'sayang'
ngeeeee.......orang lelaki kalau dah kahwin, ucap sayang tak seromantik masa bercinta kan? tapi tak kisah la.....tak ambil hati pun, memang susah nak ucap sayang namun kita faham segala perhatian dia pada kita dengan cara tersendiri.

Oh ye, tinggalkan dulu suami isteri tadi, pb suka sangat kedai barangan Jepun, Daiso ni. Ada baru buka kat satu tempat tu. Kalau masuk, memang wajib rembat satu barang, terutamanya barangan felt.


Meriah tengok kaler yang ceria ni tapi warna purple takde la pulak........

Si bujang pb ni tekun memilih kertas untuk origami dia. Dah beberapa minggu ni bilik dia penuh dengan lipatan kertas, pelbagai bentuk. Beli buku origami dah lama baru sekarang berminat nak buat.

Ole-ole dari semenanjung (2)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Tadi jumpa teman yang datang dari semenanjung kat airport. Dia ada program pelancongan disini. Sempat la peluk cium kejap dan dia hulur buah tangan yang kami kirim tempohari. Kerepek pisang, ubi pedas dan lain2 lagi. Sedapnya....


Kerepek pisang idaman......
Lama betul tak makan kerepek pisang dari teman pb ni, tak tau samada Banting punya atau Sungai Pelek. Tapi memang dua2 sedap, terima kasih Tina. Sayang kat awak....



Paling best dapat kuih bakar dari kakak hari tu. Dia tau kesukaan adik dia, terima kasih Che Lon (dah anak empat masih panggil che' lagi, tu yang nampak muda, bodek ni), Nanti bila2 datang, bawa lagi ye.....




Ole-ole dari kami pula, ikan-ikan segar dari pasar KK untuk emak disana. Harap emak gembira dengan pemberian yang tak seberapa dari kami.


Nota : jika ada penulisan pb yang tertinggal huruf 'm' tu harap maaf, keyboard ni buat hal....

Award dari`` Story of Mama``

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Buka je blog hari ni ada message dari Puan Noorsafone, blog beliau http://storyofmama.blogspot.com/  suruh ambil award. Dia tu baru je berblog tapi follower dah beratus, aku?
Tak kisah la.......niat awal ku berblog bukannya nak kejar follower atau apa. Mungkin Puan Noor memang rajin orangnya, tak macam aku ni. Kena pulak kalau balik semenanjung berminggu-minggu, memang berhabok la blog ni.

Terima kasih Puan Noor ye, insyaAllah lepas ni turn saya pula.......

Sebenarnya ada juga plan nak buat GA tapi sedang cari idea yang menarik dan hadiah pun kena la menarik. Aku lebih suka kalau pemberian itu dari hasil tangan aku sendiri. Bila la agaknya ye? Tengok kat blog orang meriah je......blog aku ni dah bertahun aku buat tapi follower tak berapa nak ramai.

Asalnya berblog dulu hanya untuk suka-suka melepaskan tension dirumah. Tapi trend sekarang bukan saje nak lepas tension, nak cari teman untuk berkongsi apa yang boleh sebagai ilmu pengetahuan.

Apa pun pandangan orang lain terhadap blog ku ni, aku tak kisah asalkan aku dan kamu semua gembira berblog!!

Kad 50 sen


Pulang dari sekolah semalam, Aziz tanya ayahnya......."bila sebenarnya Hari Ibu, ayah?". Ayahnya jawab, "10hb atau 11hb agaknya, macam tulah.....kenapa?" tapi dia tak jawab. Tiba di rumah, dia hulur sebungkus coklat pemberian drp kawanku (Ida).....nah...ibu ambik la sebagai hadiah hari ibu........tetiba dia teringat ada sesuatu yang di beli di sekolah tadi.

Sekeping kertas berharga 50 sen, tertulis Selamat Hari Ibu......."untuk ibu ni, bacalah....". Terharu sebenarnya ketika dia menghulur kertas ni padaku. Anak sekecil Aziz sudah pandai menghargai 'ibu'nya...........walaupun murah......apa yang penting, ingatannya terhadap ku......setiap tahun dia tak pernah lupa kad atau bunga, sejak tadika lagi. Mungkin juga sejak di tadika, dia dah di ajar oleh guru2 agar menghormati, menghargai pengorbanan ibubapa. Mudah2an dia akan menjadi anak yang berjasa pada bangsa, tanah air dan agama satu hari nanti. InsyaAllah.......



CINTA BUAT IBU KU.........


Menyayangi ibu ku....
Bagaikan hatiku tiada sempadan
Aliran jiwaku mengalir bersama
arus sungai cinta ibuku....
Melalui kerikil batu-batu
tanpa sesak dan kesusahan
Oh sungguh indahnya
perasaan cinta ibuku......


Mengasihi ibuku,
Meluaskan kecilnya ruang hatiku
menyegarkan lesunya jiwaku
membakar semangat
yang kekadang melemah
dek keringnya dari
siraman cinta ibuku.....


Indahnya kasih ibu,
apabila ia menjadi
perangsang kepada semangat
dan penyuntik ilham
serta penerang obor cahaya
kepada berlikunya jalanku ini.........


petikan sajak drp sekeping kad berharga 50 sen.......Dari Anakmu Tersayang.....


Sempena Hari Ibu, ku tujukan kepada semua ibu-ibu terutama sekali IBU ku, ibu mertua ku, kakak ku, adik perempuan ku, adik2 ipar ku dan juga teman2 yang mengenali ku di blog ini.



Coklat Labuan

Pagi tadi, jiran ku yang baik hati ni......Eda....bagi coklat lagi. Suami dia baru pulang dari Labuan. Tempohari dah rasa 2 plastik coklat, ni bagi lagi......katanya harga coklat kat sana murah. Entah la, aku tak jejak lagi ke Labuan. Satu hari nanti nak pergi juga rasanya.
Mungkin pemberian ini untuk mengucapkan selamat tinggal pada kami atau mengurangkan stres dengan apa yang kami alami akhir2 ini. Eda juga bersimpati tentang masalah kami. Nasib baik dia ada, boleh juga aku jadikan tempat untuk meluah perasaan. Nanti bila dah selesai semua, aku nak ajak dia sekeluarga makan2 di rumah sewa baru kami.