my best friend forever

iklan nuff

Sila godek

Bertemu blogger KBBA, Papa Blogger dan FatihahFazlin

Entry ni dah lapuk sebenarnya. Perjumpaan dengan blogger KBBA hari ahad lepas tapi tak sempat nak update. Baru hari ni terhegeh-hegeh nak cerita....hehe...

Plan asal di whatsapp nak jumpa diluar, kedai makan je. Kakpb dan cikgu fahmi kebetulan free. Blogger yang nak joinnya 2 orang je....haha...plan bagai nak rak!! Kalau jumpa di restoran, paling lama pun satu jam je melepak situ. Lebih-lebih nanti tuan kedai jeling marah pulak.

Fikir punya fikir, kakpb cadangkan buat perjumpaan dirumah saja. Plan masak laksa johor sebab kebetulan ada barangnya. Gorengkan karipap dan puding karamel yang dah sedia ada dalam peti. Cukuplah....

Akhirnya 8.30 malam kami berkumpul dirumah. Iaitu Papa Blogger Azmi dan FatihahFazlin/Nik.
Sambil makan sambil borak, tak sedar jam hampir 10.30 malam. Pelbagai cerita yang kami kongsi, tak terasa pun sedangkan baru je bersua muka. Kena pula cikgu fahmi yang ramah tamah bergabung dengan Papa Azmi yang becok dan lawak orangnya.

Maaflah kakpb takde gambar nak share. Ada gambar tengah makan tapi nampak macam gelojoh je....haha....Azmi jangan marah sebab gambar tu berleluasa di whatsapp!! Kakpb takkan masukkan dalam blog kerana teramatlah handsome!

Akan datang kita gathering ramai sikit tau......

Kuih Kaswi resipi mak

Orang kata kakpb pandai masak, itu boleh ini boleh. Kadang rasa macam superwoman pun ada juga. Iyelah.....kalau surirumah ni kena serbi serbi boleh. 
Masak memasak memang wajib tau dan mahir. Kena tau macam mana lipat kain, susun dalam almari cantik2. Kena pandai kemas rumah, luar dan dalam baru nampak segar mata encik suami. Kena tau berbelanja, bukan boros menghabiskan duit dengan perkara tak berfaedah.
Kalau pandai memandu, lagi bagus. Terutama jika terdesak, encik suami tiada dirumah, out station ke......kitalah jadi driver.

Tapi superwoman pun ada kekurangannya tau. Kakpb tak pandai belanja dipasar ikan. Semuanya cikgu fahmi yang pilih, tawar menawar lagi kakpb tak pandai. Bila dipasar kakpb hanya jadi pemerhati. Kalau dia tanya nak beli? kakpb hanya angguk dan geleng je. Selebihnya dia yang uruskan.
Kakpb juga tak pandai buat kuih yang jenis kukus seperti talam ubi, serimuka, kaswi dan seumpamanya. Selalu buat tak jadi. Bila teringin makan, kakpb beli je. Masalahnya, tak memuaskan hati. Keras, tawar.....sakit hati betul.

Kuih kaswi adalah favourite kakpb. Kalau balik kl mesti cari. Baru2 ni call kakak, tanya resipi dia buat kaswi sebab dia buat memang sedap. Rupanya resipi yang biasa dia guna adalah daripada emak juga. Dulu mak kakpb ambil tender kantin Felda di Perak. Masa tu kakpb sekolah lagi. Kakak la yang rajin membantu dia buat kuih. Ingat lagi, mak selalu buat pastri currypuff sendiri. Sekarang ni ada jual jenama Kawan. Kita orang dulu semua mak yang buat. Ingat balik kl nak minta resipi dari kakak.

Kaswi ni kakpb buat semalam. Resipi mak buat agak banyak, jadi kakpb buat separuh je..... kalau nak cuba pandai-pandailah adjust ye.



KASWI (resipi mak)
@blogsurirumah

3 cawan tepung gandum
1 setengah cawan tepung ubi
1 cawan gula pasir
2 sudu kecil kapur makan
Gula melaka (kakpb guna 2 keping untuk 1/2 adunan)

Masak gula melaka dan gula pasir hingga larut, sejukkan. (gula pasir separuh je)
Bancuh tepung gandum, kapur dan tepung ubi dengan air sejuk/biasa hingga sebati.
Sukatan air untuk setengah adunan kakpb buat dalam satu cawan atau lebihkan lagi bagus sebab dapat kaswi yang lembut dan kenyal..
Tapis adunan atau nak senang blend baru tapis.
Biarkan adunan terperap selama setengah jam.
Sapu sedikit minyak pada loyang.
Panaskan kukusan, masukkan adunan dalam loyang dan kukus hingga masak.
Sejukkan barulah di potong. Gaul dengan kelapa putih yang diletak garam sedikit.

Rasanya lebih sedap daripada beli diluar sekalipun tak sesedap jika dibandingkan dengan mereka yang dah expert. Alhamdulillah, dah menjadi kawi ku, licin seloyang.

Tumis labu kuning dan batang saleri

Entry ni dah beberapa hari tak sempat publish, ada hal yang menghalang bila buka laptop, mengantok. Bila buka laptop, ada permintaan nak makan, nak minum, ada tetamulah....kepasar la....huhu...banyak alasan kakpb ni ye?

Ok, kakpb memang suka sangat dengan labu kuning ni. Kalau makan hari2 pun takpe tapi cikgu fahmi tu disuruh pantang makan. Maknya kata tak boleh makan sangat dari dia kecil, sebab apa taktaulah. Angin kot? Bagi kakpb labu ni kan banyak khasiatnya....


Biasa kakpb masak lemak putih dengan lada hitam. Kali ni kakpb tukar pula, ikut resipi dari blog Cik Akak. Ok juga, bosan masak lemak, tukar selera sesekali.

Cuma kakpb ubah sikit, campurkan batang saleri. Sedap. Batang saleri ni masukkan dalam sup atau tomyam memang menyelerakan. Terima kasih Cik Akak kerana memberi idea masak labu ni.



TUMIS LABU KUNING DAN BATANG SALERI
@blogsurirumah
sumber : Cik Akak

Labu kuning (ikutlah banyak mana) kupas kulit dan potong kiub 
2 batang saleri, potong serong
Bawang merah
Bawang putih
Ikan bilis
Sedikit cili padi
Sedikit belacan
Minyak untuk menumis

Tumbuk semua bahan diatas.
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga naik bau.
Masukkan 2 gelas air, biarkan mendidih.
Masukkan labu dan masak hingga lembut.
Letak garam dan gula.


Dah siap. Kakpb ratah gitu je, memang sedap sangat.

Rezeki 2014, ke Penang?

 

Banyak kan buku tu......alhamdulillah semua buku tentang pejuang agama Islam. Bukan beli tapi dapat free. Macam mana?

Lepas exam SRU, anak kakpb rasa lega sangat. Tinggal tunggu exam akhir tahun sekolah saja. Seminggu tak sekolah pagi sebab SRU tu, minggu ni baru pergi. Tiba-tiba pukul 9 am dia balik dengan ustazahnya. Ingatkan sakit atau apa.......

Rupanya ustazah pilih dia untuk menghadiri kem ibadah anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Sebelah rumah je kem tu dijalankan sebab Kementerian Belia dan Sukan memang bersebelahan dengan rumah kakpb. Senang hati, malam2 boleh jengok dia.

Tiga hari dua malam disana. Apa aktiviti bila ditanya, seperti biasa solat berjemaah, riadah petang hari dan pengisian rohani. Kakpb harap pengalaman begitu membuatkan dia pandai berdikari, lebih matang, berani dan berdisiplin dimasa akan datang.

Kem ibadah ni bukan saja disertai dari sekolah anak kakpb tapi sekolah-sekolah lain juga menghantar murid masing2. Maka berjumpalah dia dengan kawan sekolah lamanya. Dia juga dipilih sebagai leader bagi group sekolahnya.

Hari ketiga, (cuti Depavali) dia balik dan bawa berita gembira. Terpilih di antara 10 peserta yang terbaik untuk keperingkat negeri. Khabarnya di Penang nanti. Alhamdulillah rezeki tahun ni memang murah untuk dia.  
Teringat kata2 anak sebelum ni masa dia kena chicken pox tempohari. Tahun ni tahun paling banyak dugaan bagi dia. Kakpb gelak je, rezeki Allah nak bagi dalam pelbagai bentuk. Dugaan Allah beri pun dalam pelbagai cara.

Tahniah anaknda.....

Mengait lagi bagus!

Apa khabar sahabat kakpb yang dikasihi?

Mood nak update memang kelaut. Entry masakan takde yang menarik pula. Semalam cuba buat kuih talam, hampeh. Kena belajar lagi.

Macam ni....
Mengait lagi best....
Ada tapi nya....
Sudah berapa bulan tak selesai juga...
Benang baru habis satu buku, masuk yang kedua...
Ada lagi dua buku menanti :)

Projek alas meja...
Suka buat sendiri, tahan lama, lain dari yang lain...







Alhamdulillah..hari lahir ku

15hb October 2014......hari lahir ku yang ke..... (biarlah rahsia) yang dah tau tu, dendiam boleh? hehe...

Alhamdulillah masih bernyawa lagi dan bergembira dalam menyambut hari lahir tahun ni. Mudah2an Allah berikan kesihatan yang baik, boleh beribadat, menguruskan segala tanggungjawab didunia ni.

Terima kasih tak terhingga doa2 dari sahabat di facebook, whatsapp. Hingga ada yang update kat blog. Terhutang budi pula pada Reena kerana sudi highlight nama kami berdua. Kakpb share birthday, bukan kembar ek....dengan sahabat blogger Papablogger/Azmi/ameng/keluangman...hehe..

Bangun pagi semalam, 4.30 pagi...ahh..dah lewat nak tahajud, sementara masuk bilik air, buang itu ini, mandi....subuh pun sampai. Lepas mandi (dua orang tu bangun juga wish happy bday) terus capai telekong nak solat. Masa tu kaup sekali dgn sejadah, tak rasa apa pun.

Bila buka je.....nah...terkezut beruk...(beruk kalau terkejut melompat kot...hehe...kakpb tak melompat) menitis air mata ni, dek terharu sangat. Mungkin sebelum ni ada tersalah sangka dengan cikgu fahmi, tapi tidaklah fikir yang bukan2. Tahun lepas dapat warna merah, tahun ni pun merah juga. Ada sikit2 pink....hehe...terima kasih encik suami tercinta mati ku...

Susah payah awak sorok takut saya jumpa ek? Patut la anaknda tanya, birthday ibu nanti nak hadiah apa? Ibu tak terjawab pun, takde hadiah tak apa. Doakan ibu sihat, boleh masak dan uruskan rumahtangga, boleh beribadat.....dah cukuplah tu.  Rupanya dia berdua pergi senyap2 cari barang tu...

Oklah....jumpa lagi nanti dengan kisah apa, belum ada idea.
Oh  ye...selamat menjalani peperiksaan untuk mereka yang bersekolah agama. Seminggu ni anak kakpb exam SRU. Ada senang ada susah katanya. Nasiblah....


Puding Karamel Segera

Sekarang ni takde alasan tak reti buat puding karamel tau....
Dah ada puding segera, tinggal masukkan dalam periok, kacau2...siap.



Kakpb selalu buat banyak2, letak dalam peti, cuaca panas sedap makan puding sejuk.



Mula2 masak gula hangus, jangan sampai hangus nanti pahit takde siapa nak makan puding awak.
3-4 sudu gula pasir panaskan dalam kuali/periok, dah hancur boleh masukkan air (ikutlah banyak mana, agak2), biarkan sejuk.



Pergi beli susu kotak yang besar, 1000 ml. Tuangkan dalam periok, letakkan atas api sederhana panasnya. Tambahkan air biasa dalam 2 atau 3 cawan. Bila dah panas, masukkan 1 peket caramel pudding mix (cari kat bakery ye)
Kacau hingga sebati. Agak2 5 minit, boleh tutup api.



susu dan caramel pudding mix bergabung, meletop!
Cedokkan kedalam cawan/mangkuk plastik. Sejukkan seketika (kejap je) kemudian sudukan air gula hangus tadi kedalam puding. Tutup dan simpan dalam peti ais.



Model penting dalam ini cerita, memasak puding karamel....hehe
Habiskan sepeket tu boleh dapat lebih dari 10 cup yang kecil. 

Ada benda ni dalam simpanan senang, tetamu nak datang petang, pagi boleh buat sekejap.

Anugerah Tokoh Kokurikulum

Assalammualaikum, pagi Jumaat menjelma lagi. 
Fenomena hujan ribut ditempat kakpb ni, jemur baju tak kering2. Dah rasa macam musim tengkujuh di Kelantan pula. Khabarnya ada setengah tempat pendalaman Sabah yang dah banjir. Ada juga tak pendalaman pun banjir. Sekarang ni hidup di kawasan bandar besar pun boleh alami banjir, macam mana tu? Apa tah lagi dikawasan kakpb ni yang perparitannya manjang tersumbat.

Hari ni Jumaat, so kalau free, bolehlah baca surah alkahfi kan....
Entry kali ni pasal anak je nak ceritanya. Semalam sibujang tu dapat anugerah Tokoh Kokurikulum untuk tahun 2014 disekolah dia. Tahniah dan alhamdulillah.....

Gambar dikongsi sekadar kenangan, bukan untuk bangga diri. Setakat baru lepas upsr, apalah sangat kan? Tapi ibu dan ayahnya tetap bangga. Bukan sekadar mengumpul anugerah piala dan sijil saja dalam hidup ini. Apa yang penting mendidik anak kita supaya menjadi anak yang soleh, sempurna ilmu dunia dan akhirat. Kalau sijil tebal menimbun perangai macam setan, apalah maknanya kan?



Baru2 ni anak dan ayahnya sibuk mengisi borang sekolah berasrama penuh. Harap2 keputusan upsr akan cemerlang. Pilihan pertama bersekolah di sekitar Sabah, kedua Labuan dan ketiga di Putrajaya (kalau tak silap)
Anak bujang mengadu ibu.....ayah nak hantar Aziz bersekolah di semenanjung ibu.
Ibu rasa 'tersentap' seketika...
Betul ke??
Alah...itu pilihan ketiga, kata ayah.

Dalam fikiran ibu,,,,,baik Labuan, jauh sikit pun takpe asalkan tak perlu naik kapalterbang nak jumpa anak setiap bulan....hehe...perancangan je ni.

Cempedak Goreng

Apalah sangat update entry blog dengan cempedak goreng kan? Dah takde idea ke??
Musim cempedak berleluasa, haruslah kakpb pun terpengaruh nak makan cempedak hari2. Tapi takkan nak beli je. Setakat makan 3 biji, mana cukup? Kalau beli RM3 dapat dalam 9 biji, baik beli buahnya sebiji baru RM5. Murah tu.....

Jadinya.....hari2 melantak cempedak goreng. Cikgu fahmi pulak asal nampak nak beli buah tu (murah katakan) Bila dah berlebihan kat rumah, hari2 menggoreng cempedak, perut pun naik kembung dibuatnya. Kalau dah kembung tu, faham-fahamlah ye......nak buang angin je!!

Biasanya kakpb goreng cempedak macam orang lain juga, tepung beras campur tepung jagung sikit, kapur makan sikit, garam. Kali ni ikut style Wani

CEMPEDAK GORENG
@blogsurirumah
sumber : galeriduniaku


BAHAN - BAHAN
1 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung kastard
1/2 sudu teh baking soda
sedikit garam
air secukupnya
isi cempedak secukupnya

CARA- CARA
1. tepung beras, tepung kastard, baking soda dan garam digabungkan.
2. masukkan air sedikit demi sedikit dan kacau  sehingga agak pekat sikit tapi bancuhan jangan terlalu cair ..
3. panaskan minyak dengan api sederhana ..sementara tu masukkan isi cempedak ke dalam bancuhan tepung buat sikit demi sikit la ya.. sehingga bergaul dengan rata dengan bancuhan tepung tu..
4. bila minyak dah panas, boleh goreng cempedak sehingga perang kekuningan.. sedap makan masa panas panas tu...




Terima kasih Wani......percubaan lain dari kebiasaan. 

Lepat Pisang - resipi bunda MG

Assalammualaikum dan selamat pagi. Hari ni rajin tau update pepagi sebab kakpb free, puasa.....dah sahur tadi, tak perlulah bergegas kedapur buat sarapan. Sahur pun dengan roti sekeping, cikgu fahmi 2 keping (dia mesti lebih) cicah dengan lauk rendang yang simpan dalam peti. Mata tak larat nak buka sebab tidur lewat, jam bunyi pukul 3 pun tak dengar.

Lepat atau orang Johor selalu panggil belebat pisang ni kakpb buat minggu lepas. Biasanya kakpb buat ikut macam emak, letak gula merah, santan sikit/susu cair, tepung gandum. Ni ikut resipi CMG, boleh tengok SINI





Suka pulak kakpb resipi Mat Gebu ni, sedap sangat. Buat sekukus, bagi2 makcik di King Fisher.
Tapi balutan lepat tu memang buruk benor, jari ni tak pandai2 membalut lepat. Tu sebab masa kakpb muda2 dulu jarang tolong famili bungkus nasi lemak (masa ada restoran dulu)

Resipi kakpb tulis disini ikut cara kakpb ye....

LEPAT PISANG
@blogsurirumah

Pisang emas/berangan sesisir
Gula melaka/kabung - kakpb masak dulu
1 cwn kelapa parut
1 cwn + 2 sb tepung gandum
3/4 sk baking powder
garam
Daun pisang secukupnya, dilayur

Lecek pisang dan masukkan gula melaka
Masukkan semua bahan, tepung, garam, baking powder, kelapa parut
Gaul rata, sudukan kedalam daun pisang dan balut cantik2 tau.
Letak dalam kukusan lebih kurang 20 minit


Entah berapa kali kakpb ulang2 makan....naik kembong perut!!

Ikan Tenggiri Masak Kicap dengan Rempah Soto

Assalammualaikum di hari Jumaat yang mulia ini. Maaf sahabat followers kakpb kerana tak sempat blog walking blog anda. Terima kasih sudi follow blog yang intipatinya hanyalah kisah surirumah yang sibuk dengan dapurnya.

Esok, in sya Allah kakpb nak puasa sunat sempena 9 Zulhijjah. Sama-samalah kita ye. Sebelum ni ada yang kata kena puasa hari ni, kalau puasa esok (sabtu) tak dapat pahala. Tapi kakpb dah baca di Harakah Daily..

Diluar sana hujan lebat dari malam tadi. Kakpb tidur lewat sikit sebab ada tempahan cheese tart. Sehari dua ni cuaca kalau panas, panas terik. Kalau hujan, lebat betul......

Ni masak kicap petang semalam. Sebenarnya nak update yang lain tapi gambarnya tak save dalam draf dari handphone.,,,iye laaa....kita takde camera canggih, handphone sajalah yang mampu.

Kakpb campurkan rempah soto dalam masakan ni. Rempah soto ni dari Johor kalau tak silap. Selalunya kakpb minta dengan kakak di Bangi. Kita orang memang tak guna rempah sup yang dalam peket kat pasaraya tu. Masak soto ke....buat sup sayur ke...sup ayam ke...rempah ni la kami bedal. Memang sedap gila. Rempahnya kasar2 sedikit, taklah halus macam debu.




IKAN TENGGIRI MASAK KICAP DENGAN REMPAH SOTO
@blogsurirumah

Ikan tenggiri dipotong dan bersihkan
1 sudu besar rempah soto
3-4 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
sedikit halia dihiris halus
2 sudu besar cili kering kisar
Kicap manis cap apa2 pun boleh
1 sudu besar cuka makan
sedikit air
Bawang besar untuk hiasan
Cili hidup hijau potong serong utk hiasan
Gula dan perasa secukupnya

Garam kunyit ikan tenggiri dan digoreng dahulu, jangan garing sangat
Tumbuk bawang merah dan bawang putih.
Panaskan kuali dengan sedikit minyak, masukkan cili kisar, bahan tumbuk dan halia.
Setelah naik bau, masukkan rempah soto, gaul sebati.
Tuangkan sedikit air, masukkan kicap dan cuka.
Sedikit gula saja sebab kicap dah manis.
Masukkan ikan goreng tadi dan bawang serta cili hijau
Angkat dan hidangkan.

Kakpb lawankan dengan sayur lemak putih kubis letak udang segar, yummy..