my best friend forever

iklan nuff

Sila godek

Promote adik

Assalammualaikum semua....

Pagi ni update sepantas kilat...hehe...jika ada sesiapa yang mencari t-shirt muslimah, bolehlah tengok di SINI. Blog ni baru je di ujudkan. Adik kakpb buat bisnes kecil2an, mungkin bersama kawannya. Maaf ye kerana kakpb pun baru tau dan tak banyak yang kakpb boleh kongsikan di sini. Maklumlah, kami ni berjauhan, di pisahkan oleh lautan luas. Kalau talipon pun kekadang lain yang nak di tanya, lain pula keluar sembangnya. Orang adik beradik la katakan.......di side bar tu ada kakpb sertakan link beliau. Pergilah tengok2, belum banyak pun, orang baru nak mula. Tapi adik kakpb ni ok orangnya, terlebih ramah, out spoken...haha...bual dengan dia memang nak ketawa je.

Errr...nampak berbeza eh kakpb dengan dia? Memang laaa.....satu emak lain bapak!!

Nasi Briyani & Kurma Daging


Anak bujang kakpb ni suka sangat nasi yang berwarna, seperti nasi briyani, nasi bukhari dan seumpamanya. Semalam kakpb tak plan langsong nak buat nasi briyani. Kebetulan kakak talipon, sembang-sembang hal famili, kakpb pun teringat kurma daging yang selalu kakak dan emak masak bila kenduri. Dia bagi resipi sekali imbas je dan kakpb catit pun lebih kurang je.

Jadi ini kurma daging resipi dari kakak dan emak kakpb. Rasanya sama seperti orang lain, cuma kakpb takde rempah briyani, dah habis stok.

KURMA DAGING
oleh: @blogsurirumah

1/2 kg daging lembu potong kiub
2 sudu besar rempah kurma campur rempah briyani
1 inci halia
3 ulas bawang putih
2 labu bawang besar (kakpb campur bwg merah kecil)
2 sudu besar cili kering mesin
4 btg cili hijau
sedikit cili padi
Kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
2 biji tomato (kalau ada tomato puri lagi senang)
2 sudu kerisek
Susu cair atau santan
minyak untuk menumis
Bawang goreng

Cara membuatnya:-

Panaskan minyak, masuk kulit kayu manis dll.
Masukkan bawang, halia, bawang putih, cili padi, cili hijau yang telah di mesin.
Masukkan rempah dan cili kering.
Tumis hingga pecah minyak, masukkan daging.
Masukkan susu cair dan kecilkan api, biar reneh hingga daging empuk.
Kisar buah tomato dan masukkan bersama kerisek.
Akhir sekali tabur bawang goreng.
Kalau ada daun2 seperti ketumbar dan pudina lagi bagus, rasa dan bau lebih sedap.

Nasi briyani pula kakpb buat simple je. Tumis bawang merah, bawang putih yang di hiris. Kemudian masukkan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah di mesin. Jangan lupa rempah 4 sekawan tu. Beras basmati basuh awal-awal dan toskan. Masukkan sedikit garam dan air mengikut sukatan beras tadi. Masuk daun pandan sehelai dan susu cair.
Bila dah mendidih, masukkan beras. Tunggu hingga nasi masak baru masukkan pewarna. Kakpb guna pewarna kuning telor saja sebab takde bahan. Titikkan dalam nasi, kakpb biar beberapa ketika baru gaul rata.

Kalau ikut cara emak kakpb, dia letak jus limau nipis dalam susu. Orang kata, tairu?
Nasi briyani setengah restoran kekadang tak menepati citarasa kakpb. Warna yang keterlaluan dan beras pun tak sesedap yang kita buat sendiri. Nasi briyani ni kalau tak habis, esoknya boleh buat sarapan. Kukus sekejap, lebih sedap.

Kari Ikan Tanpa Santan


Boring ke datang blog kakpb ni? Maaflah...kekadang kakpb menulis takde gurau senda, maklum la...surirumah ni walaupun kerjanya kat rumah sahaja tapi percayalah....sibuknya sampai kemalam. Nak baca Mastika bulan lepas pun tak habis2 lagi. Bila malam, mata dah layu.  Kekadang kakpb bawa buku kemana2, kononnya nak membaca.....haram...bawa pergi bawa balik je.

Entry ni pun nak cepat, tadi takde karen kejap. Bosan betul, kerap sangat takde karen bulan ni. Ok, resipi kakpb ambil drp Myresipi. Copy paste sajalah.....

KARI IKAN TANPA SANTAN (ikan putih)
@blogsurirumah
sumber : myresipi, linapg.blopspot

  • 2 ketul kepala ikan jenahak (dibelah dua)
  • 2 paket kecil rempah kari ikan (jadikan pes)
  • 1 sudu kecil serbuk kas-kas (xletak pun xpe)
  • 1 sudu kecil halba campur
  • 2-3 sudu makan cili giling
  • 2 sudu makan gula merah
  • 1 labu bawang besar (dihiris nipis )
  • 6 ulas bawang merah ( tumbuk )
  • 2 ulas bawang putih ( tumbuk )
  • 1 cm halia ( tumbuk )
  • 2 kuntum bunga kantan ( dibelah 4)
  • 2 biji cili merah
  • Sedikit daun kesum
  • 2 biji buah tomato dibelah empat
  • Daun kari
  • Kacang bendi
  • Minyak
  • Air asam jawa
  • Garam dan perasa
  • Air secukupnya

Cara-cara

  1. Tumiskan bawang besar, daun kari dan hamba campur hingga sedikit layu dan wangi masukkan bahan tumbuk.Tumis hingga garing.
  2. Masukkan cili giling tumis lagi.Masukkan rempah ikan tumis hingga pecah minyak
  3. Masukkan air asam jawa. Kacau sebentar.
  4. Masukkan air ikut suka banyak mana.Masukkan garam & perasa, reneh sehingga kuah kelihatan pekat.
  5. Kemudian masukkan kepala ikan,daun kesum dan bunga kantan.Simbah2kan kuah ke atas kepala ikan.Sesuaikan rasa
  6. Masukkan kacang bendi, cili merah dan tomato.Kacau sekejap. Tutup api

Ulangtahun sanding

Tarikh ni mengingatkan kami beberapa belas tahun yang lalu, dalam hati berbunga riang terselit juga rasa kecewa, kecil hati, bersalah, berbelah bagi dan semua rasa dalam jiwa yang tak terluah. Namun siapa sangka, dugaan Allah terhadap hambaNya yang dikasihi, akhirnya kami masih di sini, bersama selamanya...InsyaAllah.

Tiada apa yang dapat memisahkan hati kami melainkan Dia. Mudah-mudahan rahmatNya senantiasa mengiringi kami sekeluarga dalam menempuh hidup yang penuh ranjau duri. Kami takkan lupa jasaNya, tak pernah luput mengingatiNya, bibir kami tidak akan jemu menyebut namaMu sehingga roh berpisah dari jasad.

Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu. (surah As-Syuara ayat 169)

Sup Ayam Berempah CT Delima





Sup ayam ni sedap sangat bagi kakpb. Hari tu kakpb masak sikit, hubby bawa balik anak murid 4 orang pula. Dapat la kami sorang seketul ayam. Tak boleh nak ulang2 makan. Sebenarnya kakpb tak tahu dia nak bawa anak murid tidur di rumah. Mengejut je........kebetulan kakpb masak sup lebih...makan je la nasi dengan sup tu. Budak-budak memang suka sup.

Resipi dari blog CT Delima. Terima kasih CT ye, kakpb simpan resipi ni dalam blog. Halalkan ye.

SUP AYAM BEREMPAH
oleh: @blogsurirumah
sumber: SitiDelima

Bahan-bahan :
1 ekor ayam ayam - potong kecil
5 biji bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1 biji bawang besar *
1/2 inci halia *
Sedikit kunyit hidup *
1 sudu kecil lada hitam biji *
1 sudu kecil jintan halus * ( bahan bertanda * blender halus)
1 sudu besar rempah sup - bancuh dengan sedikit air
1 sudu besar rempah kurma - dibancuh bersama sedikit air
1 kiub pati ayam knorr
3 biji kentang - potong baji
2 batang carrot - potong baji
1 batang daun salary - potong kecil
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 biji bunga cengkih
2 buah pelaga
Air secukupnya
Garam dan serbuk perasa jika suka
Daun sup/bawang
sedikit minyak untuk menumis

 cara-cara :
1. Ayam dibersihkan dan tos airnya.

2. Panaskan 1 sudu besar minyak dalam periuk dan masukkan rempah tumis kacau sekejap, kemudian masukkan bahan yang diblender dan kacau lagi hingga naik bau.
3. Masukkan air dan ayam tadi. Biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan kentang dan carrot serta kiub ayam berserta rempah sup dan rempah kurma. Kacau sekejap dan tutup periuk.
4. Setelah ayam kentang dan carrot empuk, masukkan daun salary, garam dan sedikit serbuk perasa jika suka. Kacau sebentar dan perasakan jika sedang elok boleh matikan api dan angkat.
5. Sedia untuk dihidang bersama nasi putih atau boleh juga dimakan bersama menu pilihan. Selamat mencuba.

Oh ye, terima kasih mereka yang doakan kakpb sempena ulangtahun perkahwinan kami tempohari. Nak betulkan sikit. Sebenarnya ulangtahun pernikahan kami jatuh pada 19hb Feb. tapi kakpb lupa ingatan...haha...pergi update blog esoknya 20hb. Hari yang sepatutnya celebrate tu kami melangut kat bengkel, repair tayar kereta yang dah nampak benang. Masa tu langsong tak ingat tarikh tu la sepatutnya kami celebrate sebab cikgu fahmi ada masa free. Tapi dah terlepas, nak buat macamana kan? Akhirnya celebrate juga dengan pizza hut.  Ada lagi satu tarikh yang boleh kami raikan, 25hb Feb.....tarikh sanding...ok kan?:))


:

The Impossible

Kakpb lupa nak update cerita The Impossible...layan anak bujang kakpb masa cuti chinese new year lepas. Takkan ibu dengan ayah je menonton, kesian pula kat dia. Beberapa hari cuti dia dihabiskan kat rumah opahnya. Bila dapat sehari bersama, kami plan tengok wayang dan makan-makan. Itu saja yang dapat kami penuhi. Nak cuti jauh-jauh sekitar Sabah ni kena fikir sepuluh kali, samada sanggup tak encik suami memandu berjam-jam samada ke Kudat, Labuan atau kemana2. Fikir2 balik, bagus lepak di rumah saja.

Kisah benar tsunami yang berlaku beberapa tahun dahulu di filemkan. Tentang Doktor Maria, suaminya Henry dan tiga orang anak mereka yang terpisah ketika tsunami melanda. Ketika itu mereka bercuti sempena Krismas di sebuah pulau di Thailand. Bayangkan......laut yang terbentang luas tiba2 menerjah ke pantai, menghentam cermin hotel, pokok2 tumbang dan sebagainya. Nasib baik dalam cerita tu mereka pandai berenang. Walau dihanyutkan air deras, masih kuat semangat berpaut pada apa saja yang lalu depan mata.

Masa tengok cerita ni, kakpb membayangkan kakpb berada pada situasi mereka. Macam mana la nak berenang? Masuk dalam air paras dada pun dah menggelabah, itu dalam swimming pool. Belum lagi dalam paya ke.....dalam sungai ke...pengsan!!

Kisah mereka ni yang terpisah 5 beranak, amat mengharukan. Air mata bergenang, sebak sepanjang masa. Tengok anak-anak kecil yang ketakutan, buat kakpb risau seandainya berlaku dalam keluarga kami. Apa2 pun yang berlaku telah di takdirkan. Sebagai hambaNya, kita hanya mampu merancang dan berdoa moga di jauhkan dari segala bencana. Ajal maut ketentuanNya.

Kisah benar mereka yang di filemkan ini memang jika di fikirkan kembali, memandang pada kejadian tsunami itu, seolah mustahil mereka dapat jumpa semula. Tapi....itulah yang berlaku. Di penghujung cerita mereka bersatu setelah mengalami keperitan, kesedihan, dugaan dan sebagainya. Senang cerita....tengok sendirilah.


Kek Pisang sumber MatGebu dan IzahDaut


Kakpb buat kek pisang ni dah beberapa hari lepas. Dah tayang kat instagram, ada juga yang tanya resipi ni. Resipi kek pisang Mat Gebu tu asalnya ada coklat urai dan dia buat versi kek. Kakpb buat dalam cup, senang nak makan dan takde hiasan apa2 cuma kakpb lebihkan pisang yang di potong kiub. Tersangatlah sedapnya dan lembut. Terima kasih encik Mat dan juga empunya resipi asal. Minta izin copy paste ye.....


KEK PISANG COKLAT CHIP
@blogsurirumah
sumber: MatGebu

150 gram mentega atau marjerin (kalau guna marjerin rasa lain sikit)
200 gram tepung kek (mat guna tepung naik sendiri)* kakpb takde tepong naik sendiri, campur je tepung gandum dgn baking powder)
1/4 camca teh soda bicarbonat*(*disatukan dan diayak)
100 gram gula perang (resipi asal 150 gram gula kastor)
3 biji telur
100 ml susu segar
100 gram pisang, dilecek halus
Beberapa titik esen pisang
50 gram coklat urai (chocolate rice)- yang ni takde stock
1/3 cawan pisang yang didadu besar
1/4 cawan cincangan kacang gajus secukupnya- tak letak, ganti dgn coklat chip

  1. Panaskan oven pada suhu 170C, lenser tin berukuran 8 inci x 3 inci x 3 inci dengan mentega, alas dadar tin dengan kertas minyak, lenser juga kertas tadi. Ketepikan.
  2. Putar mentega dengan gula perang hingga sebati, masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga kembang dan berkrim. Pada kelajuan perlahan, masukkan tepung berselang seli dengan susu segar hingga habis, putar rata.
  3. Masukkan pisang lecek dan esen pisang gaul dengan spatula. Tambah coklat urai dan pisang yang telah didadu tadi, gaul hingga semua rata. Tuang dalam tin tadi, ratakan dan tabur dengan cincangan kasar kacang gajus.
  4. Bakar selama 40 - 50 minit atau hingga kek masak. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dipotong. Hidangkan untuk minum petang....

Bawah ni pula resipi dari Izah, minta izin copy paste ye Izah. Kakpb siap bagi makcik lagi, sedap katanya. Memang sedap sangat, kakpb tak campur coklat chip dalam adunan. Kakpb tabur atas kek sebelum bakar. Terima kasih ye Izah, peminat tegar pisang kita ni kan?:)



  MUFFIN PISANG COKLAT CHIP
@blogsurirumah
sumber: IzahDaut

2 cawan tepung gandum
 1 1/3 cawan gula
*izah guna 1/2 cawan dan beberapa sudu
2 biji pisang yang ranum
*izah letak 200gm
1\2 cawan minyak masak
2 biji telur
1\3 cawan  susu segar
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 1/2 sudu kecil baking powder
beberapa titik esen vanila
beberapa ketul coklat dairy milk ( ros guna jenama meiji)
*izah guna coklat chip

1. Hancurkan pisang dengan menggunakan gelas dan letakkan 1/2 sudu kecil garam.

2. Ayak tepung gandum bersama baking powder dan soda bikarbonat, kemudian pukul telur hingga berbuih baru masukkan gula, pukul lagi hingga kembang.

3. Selepas itu, masukkan pisang dan kacau sebati, kemudian masukkan minyak, dan tepung sedikit demi sedikit, titik kan beberapa esen vanila, akhir sekali masukkan susu segar, masa ni jangan guna mixer ye, guna spatula atau senduk kayu je.

4. Cedokkan adunan tadi didalam papercup muffin ( isikan 3/4 papercup) dan letakkan coklat di tengahnya, bakar pada suhu 170darjah selama 18 ke 20 minit, *izah bakar 25minit, sejukkan atas redai dan tabur sedikit dengan sugar powder

*kedua2 resipi di atas kakpb guna susu cair sahaja.

Selamat Hari Lahir Cikgu Fahmi


Selamat hari lahir, moga di panjangkan usia, di murahkan rezeki untuk keluarga yang menyayangi mu dan moga kamu tabah, sabar dan redha atas segala ketentuan yang Allah telah tetapkan untuk mu.

Walau cikgu fahmi komplen, katanya hadiah yang kakpb beri tu 'mahal',  'CINTA' kami berdua terhadap dia lagi mahal tau. Taknak la cakap panjang, nanti melalut kelain pula. Celebrate simple saja, makan malam di luar sambil hulurkan kad dan hadiahnya. Entah apa yang si Aziz tulis, kakpb pun tak baca. Tapi ayah dia tersengeh2 kakpb tengok malam tu. Hadiah yang memang dia perlukan dan pernah di sebut-sebut untuk memilikinya.

nota kakpb:  ulangtahun perkahwinan kami tapi tak dapat celebrate..19hb Feb.

Ikan gulai Sumatera

Foto kakpb snap ni memang tak cantik tapi rasa masakan gulai Sumatera ni memang menawan hati encik suami. Cumanya, kalau masakan yang perlukan daun kunyit, jangan harap la kakpb ada stock.

GULAI IKAN SUMATERA
@blogsurirumah
sumber:  TryMasak

1) ikan tenggiri (300 gram ) kakpb guna ikan putih/kerisi
2) santan (1 gelas)
3) serbuk kunyit (1 sudu teh )
4) kerisik (2 sudu makan )
5) bawang besar (dikisar) (2 ulas )
6) halia (dikisar) (½ inci )
7) bawang putih (dikisar) (1 ulas )
8) ketumbar (dikisar) (1 sudu makan )
9) cili tumbuk (1 sudu makan )
10) asam gelugur (2 keping )
11) daun kunyit (1 helai )
12) garam
13) serbuk perasa


1. Tumis bahan yang dikisar bersama cili tumbuk dan serbuk kunyit hingga wangi.
2. Masukkan santan kacau hingga rata.
3. Kemudian masukkan kerisik 
4. Setelah mendidih, masukkan ikan dan daun kunyit


Pulut Kuning dan rendang, sahabat karib!


Assalammualaikum semua....

Masih mood bercuti? Area Sabah ni dah sekolah hari ni. Aktiviti pun berjalan seperti biasa. Nak update pulut kuning yang kakpb buat minggu lepas. Betul, kakpb tak pernah buat pulut kuning seumur hidup. Selalu makan mak atau kakak yang buat. Kali ni kakpb cuba buat sendiri sebab permintaan anak bujang.

Balik dari sekolah hari tu dia mengadu. Ibu, aziz teringin nak makan pulut kuning macam kat sekolah jual tapi aziz tak boleh beli. Kenapa tak beli? Aziz nak makan macam mana kalau dia jual dalam plastik. Aziz taknak makan gitu (budak2 sini makan nasi lemak, mee yang dibungkus dalam plastik, bila nak makan, gigit je bucu plastik gitu)

Ibu pun berusaha tanya kakak kat KL, macamana nak kukus pulut. Senang je rupanya. Rendam pulut dengan kunyit dan asam jawa. Kukus seperti biasa, kemudian curah santan yang dah digaul dengan garam. Ulang hingga pulut masak. Kakpb ada juga pergi blog kawan2 yang dah buat pulut kuning ni. Tak perlu share resipilah......cari je kat google tu mesti ada.

Pulut kuning ni kakpb buat 3 cawan je. Boleh simpan dalam peti ais, nak makan kakpb kukus semula. Hari tu makan dengan rendang ayam. Bila rendang ayam habis, makan pula dengan serunding daging. Suka sangat Aziz dengan makanan yang berpulut begini, dua pinggan dia makan.

Kalau cuti dua hari seperti sabtu dan ahad dia memang takde kat rumah. Selalu berkepit dengan anak opahnya tu, yang gambar kat atas tu. Minggu depan famili mereka nak makan angin sebelum singgah buat umrah. Pasti dia akan rindukan Aziz kerana berpisah tiga minggu lamanya.

Kawan karib yang dah macam belangkas. Main bowling, golf, badminton dan berenang mesti nak ada Aziz. Kalau di tanya siapa kawan yang paling Mizan sayang, sudah tentu Aziz pemenangnya :)

BULLET to the HEAD

Semalam tak plan nak tengok wayang lagi sebenarnya. Plan cari cadar dan langsir untuk bilik si bujang kecik tu, bila lalu kat depan pawagam, rasa ditarik2 tengok wayang lagi. Kebetulan cikgu fahmi nak sangat tengok cerita ni. Ni filem action ganas ni, jangan bawa anak tau (18sx)

Agak keliru juga cerita ni pada awalnya. Sylvester Stallone style dia slow and steady, suara garau kedalam, mata kuyu poyo jek!! Dia orang ni walau dah tua, tetap watak hero dalam filem. Perut tak boroi...hehe...time scene buka baju, tang tu ler kita tengok dulu. Ish...jangan fikir lain pulak. Iya la...majoriti orang kita perut memboyot je kan?

Kisah ni tentang pembunuh upahan Jimmy Bobo dan detektif Taylor Kwon yang berkerjasama mencari penjenayah yang dikehendaki. Kebetulan pula dia telah membunuh sahabat karib Jimmy satu ketika dulu. Bayangkan bagaimana dua orang yang berbeza kerjaya dan pendapat cuba bersatu dengan tujuan yang sama.



Soal ganas jangan cakaplah....memang tembus kepala je tembakannya. Dah nama tajuk filem pun Bullet to the Head kan? Rasa ngilu pedih sepanjang tengok cerita ni.....huhu....kalau tak suka ganas, tak payah pergi tengok tau. Kakpb bukan suka sangat tapi dah takde nak bercuti kemana-mana, layan je wayang tiap minggu.

nota kakpb: ingat nak update masak2, tapi bagi laluan wayang dulu ler...kang lupa pulak.

A Good Day to Die Hard

Asal ajak tengok wayang je, mesti mengejut nak pergi. Bayangkan pukul 10.30 am cikgu fahmi tetiba suruh siap, kita tengok Die Hard pukul 11.50. Masa tu bini dia tak mandi lagi, faham-faham je la orang perempuan kalau nak bersiap, mana cukup setengah jam kan?

Gosok baju, gosok tudung (style kakpb memang tak suka gosok awal-awal), mandi dan make up mau setengah jam. Itu yang main rembat je t-shirt dan tudung. Kalau tudung segera ok la, sauk kepala dah selesai. Tapi kalau tudung bawal ke......memang terkial-kial jawabnya. Lepas tu bila dah booking tiket online, tak pergi nanti rugi pula. Duit dah bayar, orangnya takde, kan membazir tu.

Mula la kakpb nak membebel, lain kali kalau nak ajak dating tu, signal awal satu jam. Bila dah lambat, bawa kereta macam pelumba F1, jalanraya dia yang punya. Siapa yang slow tapi ambil line kanan, memang kena sound (dalam kereta je, tak berani nak buka tingkap pun). Tapi tadi (hari sabtu) kami sampai tepat pukul 11.50 am. Kebetulan kereta tak banyak macam biasa. Parking pun senang dapat. Terus ambil tiket dan kejar ke panggung. Dah agak dah, baru iklan. Termengah2 juga kakpb.


Cerita A Good Day to Die Hard ni dari awal sampai akhir, accident sepanjang masa. Entah berapa banyak kenderaan yang jahanam dalam masa shooting tu agaknya. Memang tak berkelip mata tengok Bruce Willis dan anaknya tu. Asal tujuannya nak jumpa anak, lain pula jadinya bila dah terbabit dengan masalah.

Baik pergi tengok kat panggong, korang mesti tak rugi bayar tiket (macam nak galakkan orang tengok cerita org putih pulak kakpb ni) Betul kakpb kadang anti matsaleh ni. Tapi kalau wayang setakat hiburan je, nak menyangjung sesangat tu, tidak le! Kenyataan filem mereka lebih baik dari filem kita tak dapat di sangkal. Bagaimanapun kakpb lebih bangga dengan pelakon filem negara kita sendiri.

Apa nak jadi!

Hari ni kakpb tertarik hati nak sentuh tentang berita hangat antara Shila Amzah dan Sharnaz. Bagaimana boleh jadi kecoh begitu? Salah wartawan ke atau salah orang yang mengeluarkan kenyataan tu? Bila dah jadi public figure, hati-hatilah menyatakan sesuatu lebih-lebih lagi soal jodoh, merisek, cinta hati dan hal-hal yang bersangkutan dengan perasaan ibubapa masing-masing.

Bagi kakpb, bapa Shila berhak untuk mempertikaikan atau mengongkong anak gadisnya selama dia masih belum bernikah. Itu tanggungjawab dia sebagai bapa. Dosa anak perempuan dia kena tanggung hingga anak itu berumahtangga, barulah di tanggung sepenuhnya oleh suami.

Bakal suami anaknya sepatutnya bersikap mengalah atau berdiam diri lebih baik. Bukan membalas kenyataan yang boleh merosakkan lagi hubungan yang telah retak (mungkin). Tidak berbaloi menyakiti hati bakal isteri (katanya) dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak manis kepada pihak perempuan sedangkan dia menyintai si gadis itu. Itu belum bernikah, bayangkan jika telah menjadi suaminya? Seolah ingin meracun fikiran bakal isteri agar membuat sesuatu yang tidak baik terhadap bapanya.

Betul, Sharnaz nak kahwin dengan anaknya, bukan bapanya....itu yang Sharnaz sebut tetapi sedar atau tidak dengan mengahwini sigadis itu, bermakna ibubapa gadis itu telah menjadi ibubapa dia juga? Mengasari mertua (bakal la kiranya ni) sama juga seperti mengasari ibubapa kita sendiri.

Maaf la kalau ada yang tersinggung dengan nasihat dari orang yang lebih tua dari mereka ni. Jangan ikut sangat hati yang panas tu. Terlajak perahu boleh di undur, itu pun kalau ada pendayung....kalau tak, kayuh la dengan tangan, larat ke?
Terlajak kata, buruk padahnya. Sekali kita berbuat jahat, seumur hidup akan di kenang. Tidak rugi berbudi bahasa, tidak rugi merendahkan ego, tidak rugi mengalah kerana orang yang mengalah adalah orang yang teramat sabar dan orang yang sabar adalah orang yang BERIMAN.

WW : SAYANG


Dah lama video ni berleluasa di youtube, makcik pada si drummer tu baru nak upload ke blog....hehe..
layaaaaan!!

Tomyam Thai Ikan Yu


Ikan yu lagi.......kakpb taknak masak macam hari tu. Goreng pun dah bosan. Belasah je la buat tomyam, ingatkan pes tomyam ada lagi dalam peti. Rupa-rupanya habis juga. Alternatif lain, buat pes sendiri ikut mana bahan yang ada saja.

Resipi dah pernah buat ikut MyKitchen Anymz tapi rasanya kakpb lupa nak letak dalam blog. Kakpb ni kalau tulis blog lepas tu labelnya kekadang ikut suka hati je. Kemudian sendiri yang susah nak cari balik...:)

TOMYAM THAI IKAN YU
oleh: @blogsurirumah
sumber: Anymz

6 ulas bawang merah*
2 biji cili merah*
7 biji cili kering (ikut kepedasan masing2)*
1 in lengkuas*
2 batang serai*
1 sudu besar udang kering*
4 helai daun limau purut*
1 in belacan di bakar
air asam jawa.gula dan garam

Cara

Semua bahan di atas di kisar
Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar.
Masukkan air asam jawa,garam dan gula.
Masaklah sehingga menjadi pes
 
*Untuk sup tomyam ikutlah apa yang kita nak masukkan.(kakpb tak masuk sayur2an sebab si bujang tu tak suka sayur dalam tomyam)
 
Bawang merah besar di belah2.
Bawang putih 2 ulas, di ketuk
1 batang serai, di ketuk
1 kiub stok ayam
3/4 btg cili padi, diketuk
Daun limau purut
Perahan air limau nipis (kakpb guna limau kasturi pun ok)
2 sudu besar susu cair
1 biji tomato buah
garam
(kakpb jarang guna lengkuas dalam masakan sb selalu takde stok)
Dah siap kuah, akhir sekali kakpb masukkan ikan yu.
Pes tomyam tu jangan lupa masukkan, nanti jadi masak singgang pulak haha...
Tak perlu lama sebab ikan ni agak lembut.
 

Cekodok Pisang Kembung kak Besah


Dah tua-tua buat cekodok pun nak update kat dalam blog? Peduli hape kan? Ini cekodok paling top di alam maya tau. Biasanya kakpb buat takde sukatan, main ikut sedap tangan ni je. Kalau emak kakpb suka letak santan dalam cekodok. Jadinya lemak2 gitu, sedap juga.

Cekodok kakbesah ni kakpb tak ikut sangat sukatan dia. Minta maaf ye Kak Besah.

CEKODOK PISANG KEMBUNG KAK BESAH
oleh : @blogsurirumah
sumber : myresipi

2 cawan pisang lenyek
1 cawan gula pasir @ gula castor- (kakpb guna sekeping gula melaka + gula pasir)
1 penutup sodabikarbonat (1 sudu makan)
1 sudu kecik baking powder
3 cawan tepung gandum (kakpb guna 2 cwn tepung)
1 sudu besar susu tepung
1/2 sudu kecik garam

Gaulkan pisang lenyek dengan gula dan garam.
Cara kakpb, ayak baking powder, soda bikabonat, susu tepung bersama dengan tepong.
Masukkan kedalam adunan pisang. Gaul rata.
Kakpb guna jari saja ketika masukkan adunan dalam minyak, cantik jadinya, bulat comel.
Goreng dalam minyak yang sederhana panas. Api kecil sahaja.
Nampak garing, boleh di angkat.

Adoi, kalaulah emak baca ni, mesti dia komen. Goreng cekodok pun nak di ajar?

Hansel And Gretel



Petang semalam kakpb dan cikgu fahmi tengok wayang lagi. Takde aktiviti lain kami ni selain daripada wayang dan wayang. Bila si bujang kecil takde, kami tengok cerita yang bawah 18sx. Anak kakpb ni dari kecil lagi kakpb tak biasakan dia dengan cerita tv, video atau wayang yang ada unsur ganas. Itu sebab dia jadi manja dan mudah menitis airmata.....hehe...alasan....sebenarnya cengeng!!

Ok, cerita Hansel and Gretel ni agak ganas. Maklumlah, ahli sihir menentang dua beradik yang berani kerana pengalaman mereka dari kecil yang telah di sorok oleh ayah mereka dalam hutan. Ibu dan bapa dua beradik ini di fitnah oleh ahli sihir jahat, mereka di gantung dan di bakar oleh penduduk kampung. Dua beradik ini membesar jadi orang yang berani dan bertugas menghapuskan ahli sihir yang menculik kanak-kanak pada setiap bulan untuk dijadikan korban.

Watak Edward paling kakpb suka. Dia menjadi hamba kepada ahli sihir tetapi hatinya baik. Tidak suka melihat wanita di sakiti. Walaupun berwajah hodoh, kebaikkannya menyentuh hati....haha...memang tak hensem langsong.

Jadi, sesiapa yang suka cerita rekaan macam ni, pergilah menonton ye. Sekadar hiburan, kalau ada pengajarannya pun cuma......yang jahat akan terima pembalasannya, itu saja. Selamat berhari minggu semua!!

Marinated Grilled Shrimp

Sabtu menjelma lagi.....hemm...mana nak pergi teman-teman kakpb tu? Jalan-jalan cari makan dihujung minggu? Berkelah di air terjun....oh..rindunya nak mandi manda tempat begitu. Kat sini tak berapa cantik, seciput je air terjunnya. Anak bujang kakpb pula takut tempat2 yang dikelilingi hutan, biasalah...orang bandar la katakan (prasan).

Udang grill ni kakpb buat hari apa tah.....kat Instagram dah tayang. Kebetulan ada udang yang masih segar dan besar-besar. Nak buat sambal petai, anak kakpb tak makan. Kesian dia, kalau macam ni memang dia suka sangat. Omputeh la katakan (prasan).

MARINATED GRILLED SHRIMP
oleh: @blogsurirumah
sumber: allrecipes.com

3 ulas bawang putih, cincang
1/3 cwn minyak zaiton
1/4 cwn tomato sos
1 sudu besar cuka (kakpb ubah drp red wine vinegar)
daun basil di cincang (kakpb guna daun yg dah dikeringkan)
sedikit garam
serbok lada hitam (kakpb tambah sendiri)
Udang segar yang telah di buang kulit, tinggalkan ekor saja, belah ditengahnya dan basuh.
Lidi beberapa batang


Caranya:
Campurkan semua bahan seperti minyak zaiton, bawang putih, garam, sos, serbok lada hitam.
Gaul rata hingga sebati.
Masukkan udang yang telah di siang, perap seketika.
Cucukkan udang ke lidi (kakpb grill guna kuali Frico je)
Tak perlu lama sangat, agak2 masak boleh angkat.



Nak lebih detail boleh tengok SINI

Terong Sambal


Salam di hari Jumaat yang mulia ni para sahabat kakpb yang di kasihi. Terkezut ke tengok blog kakpb hijau tetiba, ada koala comel pulak tuh!! Ni sementara tengah bosan, lepas ni nak godek lagi kalau ada masa. Sekarang ni kakpb jarang dapat mengadap lappy lama-lama sebab mengejar masa untuk memasak dan kerja-kerja lain.

Hari jumaat pula anak bujang dan ayah dia balik awal dari sekolah. Kalau balik tu, selak je pintu dah tanya, ibu masak apa? Kasut tak buka lagi, beg tersandang pun tak letak lagi dah macam lapar sangat rupa tu. Dia tak tahu ibu dia hari2 memerah otak nak masak apa. Masak yang biasa2 nanti bosan katanya. Mu ingat, ibu mu ni chef tersohor ke? Hari-hari nak selera mat saleh, mana boleh tahan? Tekak ibu ni tekak orang jawa, ayah pulak selera Kelantan, kenalah ikut!!

Walau si bujang kakpb tu agak cerewet pasal makan, kakpb tak layan sangat. Budak ni bukan boleh kita turut je kemahuan dia. Lemak jadinya.....
Masak terong macam ni memang kesukaan kakpb dan famili, tak termasuk anak bujang tu. Resipi simple berlambak kat internet. 

TERONG SAMBAL
@blogsurirumah

2 biji terong
garam dan kunyit
air asam jawa sedikit
cili merah atau cili kering mesin boleh juga
2 ulas bawang putih
2 labu bawang besar
sejemput ikan bilis (tumbuk)
sedikit kicap (takde pun takpe)
sedikit gula

Potongkan terong ikut suka, samada menyerong atau memanjang. 
Garam kunyit terong dan goreng separuh masak.
Angkat terong dan ketepikan.
Tumbuk atau mesin cili merah, bawang merah, bawang putih, ikan bilis.
Tumis bahan tumbuk dan masukkan asam jawa serta gula.
Kalau nak gelapkan, letak kicap.
Dah masak, tuangkan atas terong yang dah goreng tadi.