my best friend forever

iklan nuff

Sila godek

Memaparkan catatan dengan label ikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ikan. Papar semua catatan

Ikan Tenggiri Masak Kicap dengan Rempah Soto

Assalammualaikum di hari Jumaat yang mulia ini. Maaf sahabat followers kakpb kerana tak sempat blog walking blog anda. Terima kasih sudi follow blog yang intipatinya hanyalah kisah surirumah yang sibuk dengan dapurnya.

Esok, in sya Allah kakpb nak puasa sunat sempena 9 Zulhijjah. Sama-samalah kita ye. Sebelum ni ada yang kata kena puasa hari ni, kalau puasa esok (sabtu) tak dapat pahala. Tapi kakpb dah baca di Harakah Daily..

Diluar sana hujan lebat dari malam tadi. Kakpb tidur lewat sikit sebab ada tempahan cheese tart. Sehari dua ni cuaca kalau panas, panas terik. Kalau hujan, lebat betul......

Ni masak kicap petang semalam. Sebenarnya nak update yang lain tapi gambarnya tak save dalam draf dari handphone.,,,iye laaa....kita takde camera canggih, handphone sajalah yang mampu.

Kakpb campurkan rempah soto dalam masakan ni. Rempah soto ni dari Johor kalau tak silap. Selalunya kakpb minta dengan kakak di Bangi. Kita orang memang tak guna rempah sup yang dalam peket kat pasaraya tu. Masak soto ke....buat sup sayur ke...sup ayam ke...rempah ni la kami bedal. Memang sedap gila. Rempahnya kasar2 sedikit, taklah halus macam debu.




IKAN TENGGIRI MASAK KICAP DENGAN REMPAH SOTO
@blogsurirumah

Ikan tenggiri dipotong dan bersihkan
1 sudu besar rempah soto
3-4 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
sedikit halia dihiris halus
2 sudu besar cili kering kisar
Kicap manis cap apa2 pun boleh
1 sudu besar cuka makan
sedikit air
Bawang besar untuk hiasan
Cili hidup hijau potong serong utk hiasan
Gula dan perasa secukupnya

Garam kunyit ikan tenggiri dan digoreng dahulu, jangan garing sangat
Tumbuk bawang merah dan bawang putih.
Panaskan kuali dengan sedikit minyak, masukkan cili kisar, bahan tumbuk dan halia.
Setelah naik bau, masukkan rempah soto, gaul sebati.
Tuangkan sedikit air, masukkan kicap dan cuka.
Sedikit gula saja sebab kicap dah manis.
Masukkan ikan goreng tadi dan bawang serta cili hijau
Angkat dan hidangkan.

Kakpb lawankan dengan sayur lemak putih kubis letak udang segar, yummy..

Kerapu Bara

Biasa makan ikan kerapu? Bagi setengah orang yang suka, mestilah sedap kan? Kakpb tak berapa minat dengan kerapu. Kalau beli pun biasanya masak sweet sour, goreng dan steam saja. Hubby suka sangat kerapu.

Kerapu bara suka? haaa....yang ni betul2 kakpb suka. Sedap isinya, lembut. Memang patut pun mahal. Hari tu kakpb beli 2 ekor kecil2, sekilo RM25. Beli dengan orang yang kita dah biasa, kalau tak alamatnya berpuluh2 hengget ler.....ada kawan kata di semenanjung sekilo RM60? Khabarnya ikan ni kegemaran kaum cina.





Fikir punya fikir nak masak apa, ikannya 2 ekor je, macamlah nak masak untuk 20 orang. Nasib baik penjual tu dah tolong siangkan. Senang banyak kerja kakpb. Menyiang ikan jenis kerapu ni, kulit dia keras. Parang kena tajam. Lepas siang, rendam air limau kasturi lama sikit supaya hilang bau hanyir.

Bawah ni kakpb masak tiga rasa. Simple dan sekejap je siapnya.
Ikan kerapu digaram kunyit dan digoreng, jangan garing sangat
2 ulas bawang putih
sedikit halia, hiris halus
1 labu bawang besar (untuk hiasan)
2 sudu besar cili kering kisar
sos tomato
sos cili
sos tiram
sedikit nenas (kalau takde pun takpe)
tomato buah kalau suka
cili padi untuk hiasan (suka letak, tak suka tak perlu)
Garam dan gula
Minyak untuk menumis





Tumis bawang putih, halia dan cili kering hingga naik bau.
Masukkan semua jenis sos, jika pekat, tambah sedikit air.
Masukkan garam dan gula.
Masukkan nenas, bawang potong dan tomato.
Masukkan garam dan gula.
Angkat dan tuangkan keatas ikan yang dah digoreng tadi.


Sambal Sardine Adabi

Selama ni kakpb guna sardine biasa yang tin merah tu, King Cup kalau tak silap. Jenama ni memang sejak dari emak kakpb dulu jadi kegemaran. Hinggakan nak tukar jenama lain pun agak susah kerana dah terbiasa.

Sekarang sardine dah naik harga. Daripada RM3 lebih yang tin besar tu (kalau tak silap) meningkat ke RM5 lebih rasanya. Mahal betul kan? Untuk makan 3 orang seperti keluarga kakpb setakat tin kecil, dah mencukupi. Tapi keluarga besar? Mana cukup 1 tin kecil, mesti tin besar. Sekali sekala tidak apa. Selera kita ni kekadang bosan makan ikan kembong, cencaru, merah dan lain-lain.

Kakpb akan masak sardine bila mood malas melanda. Cicah dengan cekodok, roti atau biskut krim kraker....fuhh...memang lupa diet seketika.


  
Nak resipi juga ke? Masak simple begini sekali adap je dah licin. Oklah...kakpb tulis juga cara kakpb masak. Untuk mereka2 yang baru belajar masak, mungkin malu nak bertanya boleh la curi-curi tengok resipi kakpb ni.....hehe....

1 tin kecil sardine adabi
1 labu bwg merah besar
2 biji cili hijau hidup, hiris biasa
2 ulas bwg putih 
2 sudu makan cili kisar
1 sudu makan asam jawa, ambil airnya
garam dan gula
sedikit minyak untuk menumis

Panaskan minyak dalam kuali.
Bawang putih cincang atau hiris. Bawang merah di potong kasar, potong melintang.
Tumiskan bawang putih seketika, masukkan cili kisar.
Biar masak betul, baru masukkan ikan sardine bersama kuahnya.
Masukkan air asam.
Perasakan dengan gula dan garam.
Akhir sekali masukkan bawang potong dan cili hijau potong

Kadang-kadang kalau takde asam jawa, masukkan tomato sos sebagai ganti. Kakpb lebih suka asam jawa. Emak suka buat cair tapi kakpb buat pekat sebab nak cicah dengan cekodok. Cubalah.....untuk jadi tukang masak yang terbaik, kena cuba masakan yang simple dulu...hehe...seperti puan blog ni...haha..perahsantan!!

nota kakpb: suka pula sardine adabi ni, ikannya comel2 je..

Singgang Ikan Parang

Cepatnya masa berlalu, tak terasa sungguh kerana kesibukan dibulan Ramadhan ini. Kakpb rasa teman2 blogger semua pun begitu juga, lebih2 lagi kaum ibu. Mana nak bersiap ke tempat kerja, nak berkejar hantar anak sekolah, nak siapkan juadah berbuka dan lain-lain aktiviti lagi. Alhamdulillah, walaupun kita berpuasa, kita masih dapat meneruskan rutin harian seperti biasa, cuma agak letih sedikit.

Semalam kakpb bershopping juga, cari baju anak dan ayahnya. Kakpb ada sehelai baju kurung pun dah cukup dah. Menjelang raya ni, jalan memang sentiasa sesak apatah lagi shopping komplek. Rasa tak larat nak tawaf. Bagaimanapun kakpb boleh sambung shopping di semenanjung.

Bila dah letih, masak pun simple je. Beli ikan parang sekilo RM7, murah ye? Tak pernah kakpb beli ikan parang semenjak tinggal sini. Orang kata mahal ikan ni.......teringat masa kat Johor, arwah tok selalu masak asam pedas ikan parang, laksa Johor pun selalu guna ikan ni kan?

Oklah, kakpb share resipi cara kakpb masak singgang. Kalau sebelah pantai timur di panggil asam rebus. Ni yang biasa emak kakpb buat.




SINGGANG IKAN PARANG
@blogsurirumah

4 ketul ikan parang
1/2 labu bawang bombay (yg kuning tu kan?)
2 ulas bwg putih
Halia (sedikit saja)
Kunyit hidup (agak2 sendiri)
1 btg serai
1 biji tomato buah
3/4 btg cili padi dibelah-belah
Air asam jawa secukupnya
Minyak untuk menumis

Tumbuk halia, bawang putih dan kunyit, panaskan minyak dan tumis.
Bila dah naik bau masukkan air asam jawa.
Kuah mendidih masukkan ikan, serai, bawang yang di belah2 dan tomato.
Cili padi boleh diganti dengan lada hijau, saja untuk hiasan atau rasa pedas2 sedikit.
Perasakan garam dan sedikit gula.

Ikan Cencaru Bakar salut sambal


Cikgu fahmi kata, buatlah ikan bakar macam kat restoran yang selalu saya nampak tu. Ikan macam mana ni? Sebenarnya tau, saja buat tak faham. Alah....yang salut sambal kat luarnya, huhu....sedap sangat, kena pula puasa2 begini, angan cikgu fahmi.

Daun pisang ada secotet!! Nak bakar ikannya 2 ekor, ngam2 bila letak ikan dalam kuali leper. Tak dapat nak balut sebab sikit sangat, lapik saja. Sambalnya kakpb dah masak awal. Pukul 6 petang baru bakar (buka puasa 6.35)

Resipi sambalnya :
1 labu bawang besar merah
1 ulas bawang putih
sedikit air asam
2 sudu besar cili kering kisar
garam dan gula

Mesin bawang merah, bwg putih.
Tumis cili kering dan bawang mesin hingga naik bau.
Masukkan air asam. Tunggu agak kering baru masuk gula.


Ikan di lumur sedikit garam dahulu setelah di bersihkan. Kakpb tak buang kulit keras cencaru.
Lapikkan kuali pembakar dengan daun pisang.
Letakkan ikan di atasnya dengan api kecil.
Lumurkan ikan dengan sambal yang telah dimasak tadi.
Bakarlah sehingga ikan masak.
Kakpb tutup dengan penutup kuali ketika membakarnya.
Cicah dengan sambal asam pun sedap ketika menghidang.

Ikan Patin Masak Asam - mood malas masak

Ikan patin lebih hari tu ada lagi. Tempoyak takde...takkan nak masak tempoyak je? Asal patin mesti masak lemak, asam pedas, tempoyak. Bosan kan?

Tadi kakpb nak masak simple2 je. Google punya google kat myresipi.com, jumpa resipi patin masak asam. Rasanya arwah tok dulu selalu masak macam ni. Kakpb nak buat juga tapi ikannya, ikan patin. Ahh....cuba je la. Sebelum ni belum pernah goreng ikan patin, takut juga meletop2. Ehh...tak meletop la....(sebab tutup kuali masa menggoreng..hehe)

Bagi kakpb ni resipi orang malas masak. Kakpb tak letak halba dan daun kari takde stok. Memang menyelerakan dan teringat arwah tok. Resipi asal checkmate@myresipi.com guna ikan kerisi, kakpb tukar ikan patin.

Ikan Patin Masak Asam
@blogsurirumah
sumber asal : checkmate@myresipi

4 ketul ikan patin yang telah di bersihkan, rendam dgn limau atau asam jawa
1 labu bawang besar, potong bulat
1 ulas bawang putih, hiris
3/4 btg cili padi, belah dua
1 biji cili merah, di hiris
sedikit halia di hiris halus
garam dan gula
kiub ikan bilis (kakpb letak sikit je)
1 cwn air asam jawa

Cara membuatnya:-
Ikan di lumur dengan garam dan kunyit hidup. Gorengkan dahulu.
Tumis bahan hiris hingga layu dan masukkan air asam.
Masuk garam dan gula, biar kuah pekat sedikit.
Tuang atas ikan yang telah di goreng atau masukkan terus ikan bersama kuah asam tadi.

nota kakpb: mood rajin pula update petang hari..


Patin Masak Tempoyak

Assalammualaikum,

Apa khabar teman2 blogger semua. Kakpb minta maaf kerana jarang dapat blog walking beberapa hari ni. Mood nak berblog agak terbatas. Bagaimana pun mood memasak tetap maintain...3DHari minggu aktiviti paling boring bila kena pergi pasar. Stock lauk banyak dah licin. Udang, sotong, daging adalah benda wajib ada dalam peti kakpb. Ternampak ikan patin, tekak kakpb teringin sangat nak makan. Tapi kakpb lupa nak beli daun2 seperti kesom, daun kunyit, kunyit hidup....Rabbit 3bila dah nampak banyak benda kat pasar, otak mula kelain. Beli keledek pulak.

Jadi kakpb masak patin tanpa daun2 yang sepatutnya. Tempoyak pun tinggal ciput je dalam peti. Cikgu fahmi tu, masa kakpb nak beli ikan patin, rupa dia macam tak setuju je. Bila dah masak...Mimimo mousedua pinggan kau!!

PATIN MASAK TEMPOYAK
@blogsurirumah

4 ketul ikan patin (cuci bersih dengan limau kasturi)
5/6 biji cili padi
1 keping asam keping
1 batang serai di titik
1 biji buah tomato di belah2
2 sudu besar tempoyak
2 ulas bawang merah (saja kakpb tambah)
sedikit air
garam dan gula

Tumbuk cili padi dan bawang merah.
Masukkan semua bahan dalam periok.
Tutup api setelah ikan masak. Kakpb masak dengan api sederhana.



Kakpb bukan pandai sangat masak apa2 pun menggunakan tempoyak sebab ia bukan kegemaran kakpb. Jadi bila dah siap tu, rasa macam tak menjadi je. Rasa tak menarik walaupun cikgu fahmi kata sedap.

Ok la....sekadar nak lengkapkan diri sebagai tukang masak blog surirumah, kakpb tak kisah kalau orang kata resipi ni tak best. Hidup harus mencuba, merasa, mencabar diri....barulah ada keseronokkannya. Betul tak? Mimimo mouse

Kari Ikan Tanpa Santan


Boring ke datang blog kakpb ni? Maaflah...kekadang kakpb menulis takde gurau senda, maklum la...surirumah ni walaupun kerjanya kat rumah sahaja tapi percayalah....sibuknya sampai kemalam. Nak baca Mastika bulan lepas pun tak habis2 lagi. Bila malam, mata dah layu.  Kekadang kakpb bawa buku kemana2, kononnya nak membaca.....haram...bawa pergi bawa balik je.

Entry ni pun nak cepat, tadi takde karen kejap. Bosan betul, kerap sangat takde karen bulan ni. Ok, resipi kakpb ambil drp Myresipi. Copy paste sajalah.....

KARI IKAN TANPA SANTAN (ikan putih)
@blogsurirumah
sumber : myresipi, linapg.blopspot

  • 2 ketul kepala ikan jenahak (dibelah dua)
  • 2 paket kecil rempah kari ikan (jadikan pes)
  • 1 sudu kecil serbuk kas-kas (xletak pun xpe)
  • 1 sudu kecil halba campur
  • 2-3 sudu makan cili giling
  • 2 sudu makan gula merah
  • 1 labu bawang besar (dihiris nipis )
  • 6 ulas bawang merah ( tumbuk )
  • 2 ulas bawang putih ( tumbuk )
  • 1 cm halia ( tumbuk )
  • 2 kuntum bunga kantan ( dibelah 4)
  • 2 biji cili merah
  • Sedikit daun kesum
  • 2 biji buah tomato dibelah empat
  • Daun kari
  • Kacang bendi
  • Minyak
  • Air asam jawa
  • Garam dan perasa
  • Air secukupnya

Cara-cara

  1. Tumiskan bawang besar, daun kari dan hamba campur hingga sedikit layu dan wangi masukkan bahan tumbuk.Tumis hingga garing.
  2. Masukkan cili giling tumis lagi.Masukkan rempah ikan tumis hingga pecah minyak
  3. Masukkan air asam jawa. Kacau sebentar.
  4. Masukkan air ikut suka banyak mana.Masukkan garam & perasa, reneh sehingga kuah kelihatan pekat.
  5. Kemudian masukkan kepala ikan,daun kesum dan bunga kantan.Simbah2kan kuah ke atas kepala ikan.Sesuaikan rasa
  6. Masukkan kacang bendi, cili merah dan tomato.Kacau sekejap. Tutup api

Ikan gulai Sumatera

Foto kakpb snap ni memang tak cantik tapi rasa masakan gulai Sumatera ni memang menawan hati encik suami. Cumanya, kalau masakan yang perlukan daun kunyit, jangan harap la kakpb ada stock.

GULAI IKAN SUMATERA
@blogsurirumah
sumber:  TryMasak

1) ikan tenggiri (300 gram ) kakpb guna ikan putih/kerisi
2) santan (1 gelas)
3) serbuk kunyit (1 sudu teh )
4) kerisik (2 sudu makan )
5) bawang besar (dikisar) (2 ulas )
6) halia (dikisar) (½ inci )
7) bawang putih (dikisar) (1 ulas )
8) ketumbar (dikisar) (1 sudu makan )
9) cili tumbuk (1 sudu makan )
10) asam gelugur (2 keping )
11) daun kunyit (1 helai )
12) garam
13) serbuk perasa


1. Tumis bahan yang dikisar bersama cili tumbuk dan serbuk kunyit hingga wangi.
2. Masukkan santan kacau hingga rata.
3. Kemudian masukkan kerisik 
4. Setelah mendidih, masukkan ikan dan daun kunyit


Tomyam Thai Ikan Yu


Ikan yu lagi.......kakpb taknak masak macam hari tu. Goreng pun dah bosan. Belasah je la buat tomyam, ingatkan pes tomyam ada lagi dalam peti. Rupa-rupanya habis juga. Alternatif lain, buat pes sendiri ikut mana bahan yang ada saja.

Resipi dah pernah buat ikut MyKitchen Anymz tapi rasanya kakpb lupa nak letak dalam blog. Kakpb ni kalau tulis blog lepas tu labelnya kekadang ikut suka hati je. Kemudian sendiri yang susah nak cari balik...:)

TOMYAM THAI IKAN YU
oleh: @blogsurirumah
sumber: Anymz

6 ulas bawang merah*
2 biji cili merah*
7 biji cili kering (ikut kepedasan masing2)*
1 in lengkuas*
2 batang serai*
1 sudu besar udang kering*
4 helai daun limau purut*
1 in belacan di bakar
air asam jawa.gula dan garam

Cara

Semua bahan di atas di kisar
Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar.
Masukkan air asam jawa,garam dan gula.
Masaklah sehingga menjadi pes
 
*Untuk sup tomyam ikutlah apa yang kita nak masukkan.(kakpb tak masuk sayur2an sebab si bujang tu tak suka sayur dalam tomyam)
 
Bawang merah besar di belah2.
Bawang putih 2 ulas, di ketuk
1 batang serai, di ketuk
1 kiub stok ayam
3/4 btg cili padi, diketuk
Daun limau purut
Perahan air limau nipis (kakpb guna limau kasturi pun ok)
2 sudu besar susu cair
1 biji tomato buah
garam
(kakpb jarang guna lengkuas dalam masakan sb selalu takde stok)
Dah siap kuah, akhir sekali kakpb masukkan ikan yu.
Pes tomyam tu jangan lupa masukkan, nanti jadi masak singgang pulak haha...
Tak perlu lama sebab ikan ni agak lembut.
 

Ikan Pari Masak Lada Gaya Chef Ismail


Haaa...bukan main panjang lagi nama masakan ikan pari ni. Nama je Chef Ismail tapi kakpb ambil kat blog MatGebu. Kakpb takde terong macam Mat letak. Maklumlah....masa masak ni, cikgu fahmi takde kat rumah, jadi masak ikan tu togel je tanpa hiasan sampingan..:)

Bagi kakpb, sedap rasanya. Lain kali boleh cuba ikan lain pula. Terus pada resipinya lah ye. Kakpb sibuk pepagi ni, nak cepat. Minta halal ye Mat, kakpb copypaste je ni.

IKAN PARI MASAK LADA GAYA CHEF ISMAIL
copypaste: MATGEBU
oleh: @blogsurirumah

 BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ikan tenggiri (kakpb guna ikan pari)
2 camca besar kerisik
80 gram asam jawa
500 ml air
2 senduk nasi cili kisar
1 biji terung biru, belah 2 dan hiris serong besar2
Minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa


BAHAN KISAR KERING :-)
1 camca teh lada hitam
1/2 camca teh jintan manis
1/2 camca teh jintan putih
1 camca teh ketumbar biji

BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2 cm belacan
4 cm halia
4 cm kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)


  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus hingga wangi, tambah bahan kisar kering dan tumis sekejap. Masukkan cili kisar dan terus menumis hingga cili garing dan terbit minyak. Guna api sederhana dan kacau selalu.
  2. Masukkan jus asam jawa dan juga kerisik, kacau dan masak sekejap. Tambah ikan, kacau perlahan dan renihkan hingga ikan masak. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Jika nak kuah lebih, boleh tambah sedikit lagi air. Hidangkan bersama nasi putih dan ulam2.

 

Ikan Yu, kali pertama


Pernah makan ikan yu?? Masa kakpb baru menetap di Sabah, serius....kakpb takut tengok ikan yu melepak atas meja penjual ikan. Besar-besar you, kalau kecil ok juga. Memang tak lalu la nak masak apa lagi makan.

Baru-baru ni kakpb sebenarnya nak ikan pari. Ikan yu ni pula sebelah dengan ikan pari. Cikgu fahmi tanya, nak ke ikan tu? (kakpb ingatkan pari) Nak la.....anak bujang awak kan suka ikan pari. Bila dah siap bungkus, rupa-rupanya ikan yu daaaa.....

Sebab dah terbeli, masak la jugak, kan....fikir punya fikir tak reti nak masak apa. Kakpb goreng salut tepung. Lepas tu masak ikut suka hati, letak sos tiram, black pepper, tepung jagung, garam dan gula. Hiaslah cili dan karot. Anak bujang kata sedap!!

Maaf la ye pada mereka yang rajin komen blog kakpb ni. Selekeh je kan? Komen pun tak reply kat sini. Kakpb pergi komen blog korang nanti. Sebenarnya nak ubah suai juga blog ni, nampak kusam je.....tapi mood tu kelaut pula perginya. Sekarang masa agak kurang depan blog. Walau bagaimana pun kakpb rajin bertwitter. Siapa2 ada twitter jom la join, hilangkan bosan.

Sambal petai tempoyak ikanbilis


Dah lama rasanya kakpb tak update tentang masakan kan? Rindu la pulak, lepas ni ntah dapat ke tidak upload gambar masakan bila dah kesana kemari nanti.

Dalam petiais kakpb ada stok tempoyak jiran sebelah bagi. Walaupun satu tupperware taufu fa saja tapi lama betul nak habis. Minggu baru ni kakpb beli petai kat pasar tamu, RM5 tiga tangkai. Mahal kan? Kalau tempat kita dapat RM3 kot.

Semalam kakpb dah buat sambal belacan tempoyak udang petai, jadi hari ni taknak guna udang. Nak ikan bilis pula. Kakpb jumpa resipi ni kat blog Dari Dapur kecil cik Azz. Terima kasih ye Cik Azz sebab bagi idea bagaimana nak pelbagaikan masak petai dan tempoyak. Kakpb ubah sikit dari Cik Azz.

SAMBAL PETAI TEMPOYAK IKANBILIS
@blogsurirumah

1 mangkuk kecil ikan bilis (dlm 2 genggam)
3 papan petai, dibuang kulit
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
 10 biji atau lebih cili padi
1 biji bawang besar (di hiris kasar)
sedikit minyak untuk menumis
sedikit gula dan garam
2 sudu besar tempoyak

Cara-caranya:

Tumbuk cili padi, bawang merah kecil dan bawang putih.
Panaskan kuali, tumis bahan tumbuk.
Kemudian masukkan ikan bilis (basuh dulu ye)
Biarkan sedikit garing tumisan tu, baru masukkan tempoyak.
Masukkan petai pula (masa ni kakpb tak tambah air, saja nak buat pekat-pekat)
Masukkan garam dan gula. Akhir sekali masuk bawang yang dihiris kasar.
Siap dihidang dengan nasi panas.

nota kakpb: kalau tengok pada rupa memang tak menarik, bila dah masuk mulut...fulamak...

Ikan pari bakar bersambal

Rasanya dah lama sangat tak update blog dengan masakan. Hari ni kakpb dah mula masak-masak seperti biasa. Anak bujang kakpb teringin benar makan ikan pari. Masa balik Kelantan tempohari, singgah bazar Ramadhan sana, banyak betul ikan pari panggang. Dia tanya, sedap ke? Ibu dia masak selama ni dia tak pernah sentuh.

Biasanya kakpb masak asam pedas daun kesum ikan pari ni. Kali ni panggang bersambal. Caranya kakpb ikut macam CMG, cuma ubah sikit-sikit. CMG guna bunga kantan, daun kunyit, santan....tapi kakpb tak guna tu semua. Kakpb main ikut suka je.....

Ikan pari kakpb perap dulu dengan sos tiram, bawang putih dan sedikit gula. Kemudian tumiskan bahan2 kisar, balutkan pada ikan tadi dan gulung dengan daun pisang. Bakar atas kuali leper atau oven.

Bahan kisar:
4 biji cili hidup
2 biji bawang putih
sedikit halia
1 biji buah keras
3 biji limau kasturi, perah dalam sambal
2 batang serai (di hiris saja, tak perlu kisar)

Suka sangat si bujang kakpb tu makan. Bakar 2 potongan ikan (masa beli ikan ni besar), belah malam tu dia siap ulang makan dengan ayahnya. Inilah kali pertama dia merasa ikan pari. Anak kakpb memang agak susah mencuba makanan yang dia tak biasa. Bukan macam setengah budak yang pantang di hulur makan, semua menganga. Sejak kecil dia tak suka bubur dan benda yang lembik-lembik melainkan susu yang dalam botol. Nestum pun tak sentuh.

Sekarang ni barulah nak merasa itu ini. Alhamdulillah, ada perubahan. Takdelah ibunya susah memasak lepas ni.

Ikan Masak Mangga


Ikan Masak Mangga ni kakpb buat hari Khamis lepas, tak sempat nak update hari tu. Ikannya kakpb guna ikan kerisi. Simple je masaknya dan bagus untuk kita yang takde selera nak makan dibulan puasa ni. Terima kasih pada kawan@myresipi kerana buatkan kakpb berselera :)

IKAN KERISI MASAK MANGGA
oleh:@blogsurirumah
sumber: kawan@myresipi
  • 1 ekor ikan kerapu digoreng dengan tepung- kakpb tak goreng dgn tepung
  • 2 biji mangga muda dihiris halus dan panjang-panjang
  • 4 biji cili api dihiris
  • 3 biji cili merah dihiris nipis
  • 4 biji bawang merah dihiris nipis
  • 2 tangkai daun ketumbar
  • 2 cawan santan, 1 sudu makan gula
  • 1 sudu makan sos ikan - tak letak
 Cara-cara
  1. Campurkan santan, sos ikan dan gula.
  2. Kemudian masak di atas api yang kecildan biar sehingga ia mendidih.
  3. Padam api dapur,masukkan bawang merah,cili api, cili merah dan daun ketumbar.
  4. Gaul hingga rata.
  5. Letakkan ikan di dalam pinggan dan taburkan mangga yang telah dihiris halusdi atas ikan.
  6. Kemudian tuangkan kuah yang telah dimasak ke atas ikan dan hidangkan. 

Memohon Kekuatan Tenaga dan Kekuasaan
Ertinya:
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; dan tiadalah daya dan kuasa melainkan dengan daya kuasa Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung."

Ikan Kerapu Masak Tempoyak kali pertama

Tempoyak ni beli minggu lepas lagi. Beli sikit je, takut tak habis. Tadi kakpb masak ikan kerapu. Resipi pun ikut-ikut macam dalam myresipi.com. Rasa pelik pula makan lauk yang ada tempoyak. Cikgu fahmi ok je....tolak batu dengan kayu, sedap katanya.


Resipinya simple saja, cili padi, asam keping, air, tempoyak, kunyit dan serai. Blend semua bahan bersama air dan tempoyak. Masak bersama ikan, tambahkan gula dan garam. Titikkan serai. Kakpb tak letak pun daun kesum dan kantan sebab takde dalam simpanan.


Kakpb saja potong2kan sedikit nenas.


Hidangan kami petang tadi. Bagi kakpb tak begitu umph, mungkin kerana kakpb tak pandai menyesuaikan rasa garam gula dan tempoyak itu.

Terima kasih bagi yang sudi komen dan silent readers, kakpb mengantok sangat ni sebab temankan anak tengok bola pagi tadi. Sudahnya.......tak tengok juga.....pejam celik, pejam celik....terus belayar di buai mimpi. Mimpikan MIL dan cikgu fahmi hulur duit kat dia. Orang kata kalau mimpi duit, nak putih mata? atau ada hajat yang tidak tercapai........hanya Allah yang mengetahuinya.

Esok kalau mood dah ok, kakpb akan bertandang ke blog korang, insyaallah.

Asam rebus ikan putih


Ikan putih ni kakpb beli minggu lepas dan ini yang terakhir dalam stok. Nak digoreng, nipis sangat ikannya, jenis yang kecil. Confirm lepas goreng jadi mengecut, alahai.....banyak mana la dapat isi ikan tu. Akhirnya kakpb buat asam rebus simple je. Kalau orang Johor kata, singgang tapi biasanya letak kunyit kan?

Cikgu fahmi suka kuah takde kunyit begini. Sedap buat hirup-hirup katanya. Baguslah, senang kerja si isteri, main campak-campak je. Cuma ni kakpb tumis sikit, bagi naik bau.




ASAM REBUS IKAN PUTIH
oleh: @blogsurirumah

2 ekor ikan putih yang sedang besarnya
sedikit halia, hiris halus
2 ulas bawang putih, hiris halus
1 btg serai, titik
1/2 labu bawang besar, belah-belah
1 biji tomato, belah-belah
Air asam jawa secukupnya
Sedikit gula melaka
garam

Tumis halia, bawang putih hingga naik bau.
Masukkan air asam jawa, gula merah, tomato dan garam.
Setelah mendidih, masukkan ikan.
Siap! lawankan dengan sambal belacan di cicah dengan kacang bendi...huhu...


KERAPU KUKUS ASAM LIMAU

Assalammualaikum.
Cuaca berjerebu betul sekarang ni kan?  Tapi sekitar KK tidak teruk sangat rasanya berbanding dengan di semenanjung. Banyakkan minum air ye.......terutama anak-anak kita yang banyak aktiviti di sekolah pagi dan petang. Kakpb selalu pesan kat si bujang tu, kena minum air masak banyak. Semalam dia balik dari sekolah kak pb nampak dia beli air mineral sebotol. Selalunya dia susah nak minum air masak. Tektik kakpb, kat rumah saja tak buat air manis satu jug, buat setengah je. Bila habis air dalam jug tu, dia akan minum juga air masak....=D>

Ini resipi semalam petang, untuk makan malam. Simple dan menyihatkan. Kerapu ni badannya warna merah, taktaulah kerapu bara ke.....atau ada nama lain....yang penting sedap di kukus.


 terjungkit siripnya, tak sopan betul siang ikan macam ni.....



KERAPU KUKUS ASAM LIMAU
oleh: @blogsurirumah
sumber : halaqah.net


Bahan-bahannya:

500 gram ikan kerapu atau siakap 
10 gram cili api di cincang halus
50 gram bawang putih dicincang halus
1 tangkai akar ketumbar jugak di cincang halus (takde akar ketumbar, kakpb cincang daun sadri dgn batang-batangnya)
½ cawan air limau nipis
¼ cawan kicap cair
gula dan garam secukup rasa 
(campurkan kesemua bahan2 dan kacau hingga sebati)

Cara menyediakannya:

1.        Ikan dibersihkan lalu dikukus selama 15 minit

2.       Angkat dan tuangkan sos yg telah disediakan tadi diatas ikan lalu dikukuskan semula selama 3 minit

3.       Angkat dan hidangkan.  Enak dimakan dengan nasi panas2.



 Memang enak makan dengan nasi panas. Kakpb kurangkan sukatan air tu dan tuangkan kicap biasa je (kes takde kicap cair). Senang, tak payah nak buat sos untuk cicah, sekali gus kukus semuanya.

nota kakpb: takziah untuk ahli keluarga kami yang baru meninggal kerana pelbagai penyakit, alfatihah.



Ikan merah tumis cuka


Masakan paling simple dalam dunia kot....haha....angin malas sudah mariiiii.
Resipi dari encik MatGebu yang gebuss, walau belum pernah ku jumpa orangnya tetapi popularnya mengalahkan Aznil Haji Nawawi.....hehe..

IKAN MERAH TUMIS CUKA
oleh: blog surirumah
sumber n asal: matgebu, 1001resepi

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan merah saiz sederhana, disiang, cuci bersih dan kerat 4
Sedikit garam dan serbuk kunyit
3 ulas bawang putih, dihiris
1 biji bawang besar, hiris bulat
2 cm halia muda, hiris halus
1 biji cili hijau, belah 2
1 biji cili merah, belah 2
1/2 camca teh biji sawi
1 kayu manis, resipi asal tak letak
1 kuntum bunga lawang, resipi asal tak letak
1 camca besar cuka (mat lebihkan sedikit)
3/4 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan dilumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit, goreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis biji sawi, bawang besar, bawang putih, halia, kayu manis dan bunga lawang hingga harum, masukkan air, bila mendidih tambah gula dan garam secukup rasa.
  3. Masukkan cuka dan cili merah/hijau. Tambah ikan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat.....

Sup Ikan Merah dan terima kasih Shahriah

Salam sejahtera semua, subuh tadi kita di kejutkan dengan kehilangan pelawak yang di sayangi, Bob Kuman. Al Fatihah untuk arwah dan takziah kepada keluarga beliau. Teringat lawak-lawak beliau yang buat kak pb sakit perut gelak masa di panggong wayang. Kisah yang dia jadi bomoh tu......memang lawak gila. Kini tinggal kenangan......

Ok, nak cepat dan pantas ni.......lauk sup macam ni sesuai untuk orang nak diet. Asyik makan berlemak, bergoreng je sesekali kena tukar channel. Kak pb ikut macam Kak Jee kita tu resipinya sebab selama ni kak pb masak sup ikan tak letak asam keping.

 tabur bawang goreng maggi, tu yang nampak ketul-ketul tu....
chop kejap....


(tak larat mata ni......sambong esok pagi pulak)



SUP IKAN MERAH
oleh: @blog surirumah
copy: kak jee


BAHAN2NYA:

1 ekor ikan merah (+- 1.2kg)
1 labu bawang besar dimayang - yang ni kak pb belah2 je
4 biji bawang putih dihiris
2 inci halia (dihiris halus)
1 kayu manis
1 keping asam keping
1 sudu kecik lada hitam
2 biji kentang (potong empat)
daun bawang untuk hiasan

 CARA MEMBUATNYA:

Tumis bawang, kayu manis dan halia hingga wangi. Masukkan air ikut banyak mana kuah diperlukan. Biarkan mendidih dan masukkan kentang. Reneh hingga kentang separuh empuk. Masukkan ikan yang telah dibersihkan dan dipotong. Biarkan mendidih dan masukkan garam, asam keping, msg dan juga lada hitam. Perlahankan api dan apabila kentang sudah empok dan ikan sudah masak, padamkan api. Ketika menghidang, taburkan dengan daun bawang serta bawang goreng.


Terima kasih kak jee, walaupun dah biasa masak sup ikan tapi kak pb tak pernah letak asam keping dan lada hitam. Berselera hubby makan semalam kerana dia dalam proses diet, katanya dan kononnya.

Ikan merah tu kak pb beli dalam RM12 sekilo. Beli 2 ekor adalah besar tapak tangan hubby setiap seekor. Murah kan?


Gambar blog kak pb memang takde munger2 macam blog orang lain, siap hiasan pinggan mangkok cantik-cantik sebab kak pb takde semua tu. Kak pb dengan hubby memang jenis yang simple orangnya. Walaupun begitu..... bukan bermakna kak pb tak berminat, pasti akan cari juga yang berkenan. Tapi tak perlu yang mahal.

Terlanjur dah update ni, nak share juga AWARD yang di tujukan khas oleh penulis novel si cantik manis ini kepada teman-temannya, termasuk kak pb. Shahriah Abdullah yang fofular ni selalu jengah blog kak pb tapi kak pb segan nak war-warkan kehadiran dia tu. Masa Masterchef dulu selalu tengok gelagat dia yang outspoken, cergas dan tegas orangnya. Kak pb rasa dia ni berjiwa kental sebab tak nampak pun dia nangis masa dalam program tu. Ni bukan nak bodek Sha sebab kak pb dengan Sha pun bukan ada hubungan apa-apa. Ini yang kak pb nampak dalam tv.



Ok Sha, terima kasih banyak kerana hadiahkan Award ni kat geng-geng blogger. Mudah-mudahan persahabatan kita berkekalan hendaknya. Ada peluang dan masa yang sesuai, boleh kita berjumpa. Mana tau........Sha nak jemput datang rumah ke?

Bagi yang belum mengenali beliau (ada ke tak kenal lagi? rasanya Sha lebih popular dari Ezani...muehehe) boleh ke blog dia SHAHRIAH ABDULLAH.